Kumpulan yang menggelar diri mereka Mahasiswa Aman menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membantah perhimpunan yang dijadualkan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Isnin ini.
Wakil kumpulan itu, Mohd Shahar Abdullah, yang juga presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), berkata bantahan tersebut berdasarkan empat asas termasuk aspek keselamatan mahasiswa.
Selain itu, beliau berkata mahasiswa di peringkat ijazah bakal berdepan peperiksaan akhir semester manakala kuliah bagi penuntut diploma berjalan seperti biasa pada hari berkenaan.
"Kita menolak perhimpunan ini kerana mahasiswa yakin terhadap sistem perundangan dan institusi kehakiman negara yang bebas serta adil.
"Perhimpunan ini hanya merupakan agenda politik individu terdesak yang memperalatkan mahasiswa," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Shahar berkata walaupun polis membenarkan perhimpunan itu diadakan secara bersyarat, penganjurnya perlu memastikan golongan mahasiswa dan pelajar sekolah tidak terbabit.
Justeru, katanya, Mahasiswa Aman yang dibarisi pimpinan mahasiswa institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia bersama 15 badan bukan kerajaan (NGO), meminta kerajaan mengkaji semula keputusan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Beliau berkaAUKU masih relevan dalam memastikan mahasiswa tidak terjebak dalam kancah politik yang akan mengancam keselamatan universiti, terutama apabila ada pihak tertentu mengambil kesempatan memperalatkan penuntut bagi agenda politik mereka.
Sementara itu, yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia Muhammad Idzuan Jamalludin berkata pindaan AUKU memberi peluang kepada parti politik menjadikan mahasiswa sebagai agen menyebarkan agenda mereka di universiti.
Beliau berkata insiden membabitkan mahasiswa seperti tindakan menurunkan bendera di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) serta demonstrasi di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, menunjukkan golongan itu diperalatkan pihak tertentu.
"Baru umumkan AUKU akan dipinda, mereka sudah bertindak dengan tidak rasional. Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana inilah yang berlaku di Luban dan Mesir di mana mereka memperalatkan mahasiswa sehingga negara kucar kacir," katanya.
Mengenai tuntutan Aspirasi agar Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah bertanggungjawab bagi insiden di PWTC, Mohd Shahar berkata pihaknya akan membuat tindakan susulan walaupun tempoh dua minggu yang diberikan menerusi satu memorandum pada 21 Dis lepas telah tamat.
Katanya, anggota parlimen Temerloh itu perlu menjelaskan pendirian beliau yang didakwanya seolah-olah cenderung menyokong tindakan demonstrasi puak pelampau mahasiswa sehingga mengancam keselamatan universiti.
- Bernama
Sunday, January 8, 2012
Mahasiswa Aman Bantah Perhimpunan 901
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.