Friday, November 29, 2013

3 kes dana awam hangus terbakar?

KES PERTAMA

Pada saat terdapat gerakan global untuk mengurangkan penggunaan tenaga, Malaysia mengambil pendirian untuk meneruskan pembinaan logi tenaga, walaupun pada hakikatnya rizab margin tenaga negara berada pada paras hampir 50%, menurut G Lalchand, seorang ahli akademik di Akademi Sains Malaysia.

Ini bermakna Malaysia mengekalkan rizab yang sangat tinggi sedangkan tahap optimum sepatutnya hanya 20% hingga 30%. Biarpun mempunyai kuasa yang berlebihan, kerajaan memilih untuk membina lebih banyak logi tenaga arang batu di Semenanjung Malaysia menjelang 2020. Logi tenaga yang baru ini nanti akan menjana kira-kira 3,000 megawatt tenaga.

Seterusnya, terdapat rancangan untuk membina logi tenaga nuklear selepas 2020. Sebuah logi tenaga nuklear berkuasa 1,000 MW menelan belanja daripada RM5 bilion hingga RM6 bilion. Kebanyakan logi tenaga di negara ini menggunakan arang batu untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Adalah dilaporkan pengeluar kuasa domestik menggunakan 23 juta tan metrik arang batu setiap tahun dan jumlah itu dijangka akan meningkat sehingga 33 juta tan apabila logi tenaga yang baru beroperasi menjelang 2020.

Dalam separuh pertama 2013 Tenaga Nasional Berhad mengimpot RM2.74 bilion arang batu pada harga US$74 (RM232.92) satu tan. Harga dijangka akan terus meningkat pada tahun-tahun yang akan datang. Tenaga adalah pengimpot tunggal arang batu dan pembekal tunggal arang batu kepada pengeluar kuasa bebas di negara ini.

Lelchand berpandangan, jika margin rizab kuasa dikurangkan sehingga optimum kira-kira 25%, pada harga anggaran 40 sen setiap kilowatt, kerajaan berupaya melakukan penjimatan sebanyak RM1.96 bilion.

Timbul soalan di sini: mengapakah kerajaan mengeluarkan belanja yang besar untuk membina logi tenaga yang baru sedangkan tenaga elektrik yang dijana di negara ini melebihi daripada yang diperlukan?

KES KEDUA

Kementerian Pendidikan membelanjakan RM270 juta untuk mendapatkan khidmat 30 "pakar bahasa Inggeris luar negara" untuk dijadikan mentor kepada kira-kira 7,500 guru-guru Malaysia untuk tempoh tiga tahun.

Ini bermakna setiap orang pakar berkenaan mendapat RM750,000. Lebih menyedihkan, "mentor" ini hanya dikehendaki mengendalikan kursus setengah hari untuk setiap bulan.
Ini bermakna kerajaan membelanjakan RM20,800 untuk setiap kursus setengah hari itu. Untuk tempoh tiga tahun, kerajaan membelanjakan RM36,000 untuk melatih bahasa Inggeris kepada seorang guru Malaysia.

Adakah perbelanjaan tersebut wajar?

Dr Chow Yong Neng, seorang veteren 17 tahun dalam bidang pendidikan dan latihan berpandangan usaha kerajaan membelanjakan sekian banyak untuk mendapatkan kepakaran mentor-mentor tersebut adalah sia-sia sahaja.

Beliau menjelaskan nisbah mentor dengan pelajar di kolej swasta dan universiti, begitu juga dengan kursus non teknikal sepenuh masa dan latihan korporat ialah 1:25 berbanding 1:21 di bawah program bertutur bahasa Inggeris bagi guru-guru kita.

Kerajaan boleh menjimatkan RM270 juta jika ia melihat ke dalam untuk mendapatkan pakar yang sama. Terdapat ramai guru bahasa Inggeris yang layak dan terlatih yang kini berada pada usia 60-an dan 70-an, sedia untuk berkhidmat dengan sedikit bayaran.

Chow mendapati ramai guru-guru berkemahiran boleh digunakan oleh kementerian pada bila-bila masa, tetapi ia terlepas pandang. Kementerian Pendidikan tidak bercakap sepatahpun mengenai program ini.

KES KETIGA

Ironisnya, badan pencegah rasuah negara tidak ada bezanya dengan badan-badan yang lain. Menurut Ahli Parlimen Kampar (DAP), Dr Ko Chung Seng, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diperuntukkan RM983 juta untuk lima tahun yang lalu.

Badan itu menerima RM161 juta dalam 2009 dan ia meningkat kepada RM251.67 juta pada tahun ini. Dana tersebut bertujuan bagi membolehkan badan tersebut memerangi rasuah.

SPRM kini mempunyai 2,331 kaki tangan, bertambah daripada 1,795 dalam 2009. Kerajaan berkata badan itu akan menambah kakitangan seramai 150 setiap tahun sehingga ia mencapai kapasiti 5,000 orang.

Walaupun ia mendapat dana yang banyak dan mempunyai jumlah kakitangan yang dikira mencukupi SPRM hanya berupaya mendapatkan RM17 juta sahaja sejak lima tahun lalu. Ini bermakna ia membelanjakan RM581,000 untuk menyiasat kes rasuah melibatkan RM34,000 dan mendapat balik hanya RM10,000 dalam tempoh lima tahun yang sama.

Dengan menggunakan geran yang begitu banyak, SPRM berjaya meningkatkan kadar tangkapan dalam tempoh dari 2009 daripada 54% kepada 89%, tetapi jumlah sebenar kes di mana pesalah didakwa dan dihukum dalam tempoh tiga tahun yang lalu merosot.

Menurut organisasi penyelidik dan penasihat Global Financial Integrity, Malaysia kehilangan RM871 bilion dalam bentuk pengaliran wang haram, melibatkan rasuah 20%.

Dr Ko berkata, kerajaan mengumumkan kes rasuah yang dibawa ke mahkamah berjumlah RM57.7 juta. Jumlah wang rasuah yang disiasat berjumlah 0.07% daripada jumlah keseluruhan, dengan hanya 0.02% daripada jumlah itu didapatkan semula.

"Duit ini kita tidak dapat balik, dan hutang negara menggunung. SPRM mengecewakan negara dan rakyat," kata Ko.

---------
Artikel mingguan The Heat ini diterjemahkan oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.