Friday, November 29, 2013

Zahida Rafique Disaman Fitnah Oleh Bekas Pemandu

Bekas pemandu peribadi kepada pelakon Zahida Rafik, memfailkan saman fitnah terhadap pelakon wanita berkenaan ekoran penyiaran satu artikel dalam sebuah akhbar harian, tahun lalu. Gambar fail: Mohd Shafie Apdal pernah dikaitkan mengadakan hubungan dengan Zahida Rafique

Saman difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, pagi semalam, melalui Tetuan Daim & Gamany.

Noor Azman Azemi, 39, selaku plaintif menamakan Zahida atau nama sebenarnya Zahida Mohamed Rafiq, 37, sebagai defendan.

Menurut penyataan tuntutan yang dikemukakan kepada mahkamah, Noor Azman yang merupakan anak saudara kepada penyanyi popular era 80-an, Dayangku Intan itu mendakwa, defendan telah mengeluarkan kata-kata fitnah kepada pemberita akhbar berkenaan yang menyebabkan penyiaran sebuah artikel bertajuk ‘Zahida Rafik Terkedu’ pada 3 Mac tahun lepas.

Kenyataan itu dibuat selepas Zahida membuat satu laporan polis yang memohon plaintif disiasat di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Menurut penyataan tuntutan itu lagi, akhbar berkenaan telah melaporkan bahawa Zahida kerugian sebanyak RM200,000 selepas wang itu dilarikan pemandu peribadinya yang diarah memasukkan wang berkenaan ke akaun bank milik Zahida.

Artikel itu turut menyebut bahawa pemandu peribadinya gagal dihubungi dan telah melarikan diri selepas Zahida menyerahkan wang tersebut.

Plaintif mendakwa perkataan-perkataan yang disiarkan itu palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat.

Plaintif mendakwa telah mengalami kecederaan teruk terhadap karektor, penghormatan, reputasi peribadi, dan menjejaskan peluangnya mendapat pekerjaan.

Plaintif menuntut gantirugi am; gantirugi teruk; gantirugi teladan; faedah empat peratus setahun ke atas jumlah gantirugi, serta satu perintah injunksi menghalang defendan mengulangi perkataan fitnah itu; dan kos.

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.