Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) menempelak kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap yang disifatkan mereka sebagai naif, berkepentingan sendiri serta tidak peka terhadap hak pendidikan untuk semua.
Sebelum ini, Mary berkata golongan yang membayar untuk pendidikan akan lebih menghargainya daripada mereka yang menerima secara percuma.
Sambil menegaskan pendidikan percuma adalah hak rakyat dan bukannya perniagaan, GMPP juga mempersoalkan golongan mana yang mendapat keuntungan dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), anak muda atau pihak korporat.
“Kenyataan beliau yang menyatakan pendidikan harus dibayar untuk dihargai oleh penuntut adalah satu fakta songsang kerana ia tidak menyatakan maksud yang sebenar.
“Statistik menunjukkan lebih banyak wang PTPTN disalurkan kepada pihak swasta selepas tahun 2007. Contohnya, kolej-kolej yang menawarkan kursus kejururawatan menikmati keuntungan jutaan ringgit daripada wang PTPTN manakala ribuan graduan kejururawatan swasta tidak mendapat kerja kerana kelambakan dalam pasaran. Kini, lebih banyak kolej swasta diberi lesen untuk dibuka,” menurut satu siaran media GMPP yang diedarkan semalam.
GMPP mendakwa kegagalan kerajaan mengawal pertumbuhan kolej swasta serta penyertaan VIP dalam perniagaan ini menyebabkan pengaliran wang PTPTPN yang tinggi kepada kolej-kolej swasta.
“Perlantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah sebagai canselor Universiti Terbuka Wawasan adalah contoh terbaru bagaimana golongan penting dalam sistem kerajaan dipergunakan oleh sektor swasta demi kepentingan mereka,”
Jelas GMPP lagi, skim pendidikan percuma akan melahirkan sikap penghargaan yang lebih daripada penuntut kita kerana pendidikan mereka dibiayai oleh kerajaan melalui wang rakyat. Maka, kerajaan mempunyai hak tersendiri untuk menyuruh anak muda kita menyumbang balik penghargaan mereka kepada rakyat kita.
GMPP turut mempersoalkan nasib graduan yang, menurut mereka, majoritinya mendapat kerja yang bergaji kurang dari RM2,500 sebulan untuk melangsungkan kehidupan mereka dalam suasana ekonomi yang mencabar.
“Bayangkan, dengan kenaikan harga barangan keperluan dan spekulasi harga rumah masa kini, adakah gaji mereka mencukupi untuk berumahtangga atau sekurang-kurangnya membeli sebuah rumah? Inikan pula dengan kenaikan harga rumah di lembah Klang dan Penang, perlaksanaan cukai GST, kenaikan cukai taksiran di Kuala Lumpur, kenaikan harga petrol dan sebagainya,”
Tegas mereka, Malaysia hanya memerlukan RM6 bilion setahun untuk menampung sistem pendidikan percuma dari tadika hingga ke universiti dan bukannya sehingga RM45 billion sepertimana yang dinyatakan oleh Mary.
“Jka Mary berhujah bahawa 10 universiti terbaik dunia mengenakan bayaran kepada penuntutnya, adakah beliau sedar negara yang menjuarai sistem pendidikan dunia iaitu Finland memberikan pendidikan percuma untuk rakyatnya dan sudah menutup semua sekolah swasta mereka. Tiada universiti swasta di situ dan malah, sekolah ‘independent’ mereka juga ditanggung oleh kerajaan,”
GMPP turut mendakwa bahawa kedudukan Mary sebagai Lembaga Pemegang Amanah untuk Yayasan Pintar juga memberi refleksi kepada kenyataannya itu yang disifatkan mereka sebagai pro-korporat daripada kepentingan rakyat. -FMT
Friday, November 29, 2013
PTPTN: Kenyataan Timbalan Menteri Dibidas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.