Saturday, November 23, 2013

BR1M3 sia-sia jika cukai pintu naik, kata ahli Parlimen BN

Perbincangan mengenai cukai pintu di Kuala Lumpur antara Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) dan 11 Ahli Parlimen KL, semalam.Ahli Parlimen Titiwangsa daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johari Abdul Ghani menyifatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M3) oleh kerajaan yang sepatutnya membantu mengurangkan beban rakyat tidak memberi makna lagi dengan pelaksanaan kenaikan cukai pintu.

Beliau menyelar tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan menaikkan cukai pintu bagi penduduk ibu kota bermula tahun depan dan menuntut kerajaan membatalkan cadangan tersebut.

"DBKL harus menarik balik notis kenaikan cukai taksiran baru yang diedarkan, sebaliknya mengeluarkan notis dengan kadar lebih munasabah kepada pemilik harta di ibu kota," katanya dipetik daripada akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

Johari berkata, kenaikan kadar baru itu mesti tidak melebihi tiga hingga lima peratus daripada jumlah yang dikenakan sekarang.

“Sekiranya kenaikan mencecah 100 hingga 300 peratus bermakna pemberian (BR1M3) kepada rakyat berpendapatan rendah di Kuala Lumpur tidak bermakna," katanya.

Johari merupakan antara 11 Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang menghadiri sesi pertemuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan DBKL semalam membincang mengenai pelarasan cukai taksiran yang dijangka bermula Januari depan.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengumumkan pemilik hartanah di ibu kota akan dikenakan tarif cukai baru bermula Januari 2014.

Ahmad Phesal berkata, kenaikan itu disebabkan peningkatan kadar penilaian semula yang dilakukan oleh DBKL.

Tengku Adnan dilihat tegas mempertahankan kenaikan itu dengan berkata, pelaksanaan tersebut wajar dilakukan memandangkan cukai tersebut tidak dinaikkan sejak 21 tahun lalu.

Cadangan pelaksanaan itu menyaksikan bantahan hebat bukan sahaja penduduk bahkan wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat (PR) dan BN. -TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.