Friday, November 29, 2013

Umno terbuka bermuzakarah dengan PAS

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) berkata, Umno terbuka untuk bermuzakarah dengan PAS walaupun rancangan untuk mengadakan perbincangan sebelum ini menemui kegagalan.

Setiausaha Agung Umno itu berkata, Umno sememangnya terbuka untuk bermuzakarah dan terbuka kepada mana-mana parti politik yang berhasrat untuk mengadakan perbincangan demi kebaikan negara.

"Pada masa Tun Khalil Yaakob menjadi setiausaha agung Umno, kami mengadakan pertemuan bersama PAS tetapi gagal.

"Kami agak terbuka untuk bertemu PAS malah kepada pihak pembangkang yang mahu berbincang dengan kami untuk kebaikan negara, kami terbuka," katanya pada sidang media mengumumkan tentatif Perhimpunan Agung Umno pada Disember ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Muktamar PAS kali ke-59 berkata parti Islam itu bersedia untuk mengadakan muzakarah dengan parti lawannya Umno, namun hanya terbatas kepada hal ehwal Islam.

Katanya, kerjasama berkenaan adalah bagi kepentingan umat Islam di negara ini.

Pada sidang media itu juga, Tengku Adnan mengumumkan pelantikan tambahan sembilan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang akan diumumkan esok setelah surat pelantikan mereka ditandatangani oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

"Saya dah ada surat. Tunggulah, saya akan umumkan. Dia (Najib) dah setuju. Saya akan serahkan surat itu kepada presiden parti untuk ditandatangani," katanya.

Ketika ditanya apakah antara isu hangat yang akan dibangkitkan semasa perhimpunan agung Umno kali ini, beliau berkata antara isu yang bakal disentuh seperti proses pemilihan sayap pergerakan, pemilihan MT dan naib presiden yang lalu.

Katanya, presiden parti juga dijangka membangkitkan isu persediaan parti menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang katanya pelbagai penambahbaikan akan dicadangkan bagi mengukuhkan parti.

Najib pada minggu lalu mengumumkan pelantikan empat ahli MT Umno tambahan iaitu dua daripada pergerakan Wanita dan masing-masing seorang daripada sayap Pemuda serta Puteri.

Mereka yang terpilih adalah Naib Ketua Wanita Datuk Azizah Mohd Dun; Penolong Setiausaha Wanita Datuk Rosni Sohar; Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.

Najib berkata, MT juga mengesahkan untuk meneruskan khidmat penyandang jawatan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Penerangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau turut mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menerima sebarang cadangan dan pandangan untuk penambahbaikan proses pemilihan parti yang pertama kali diadakan bulan lalu selepas pindaan perlembagaan parti itu pada 2009. –TMI

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.