Tragedi pegawai bank, Norazita Abu Talib yang ditembak dengan kejam oleh seorang pengawal keselamatan dengan tujuan merompak bank tersebut memang meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluargnya, terutama suami dan anak-anaknya yang masih kecil tetapi kesedihan mereka tambah berganda lagi apabila didapati gambarnya yang terbaring tanpa nyawa dalam keadaan menyayat hati turut tersebar di media-media sosial tidak lama selepas itu.
Berleluasanya penyebaran gambar itu sehingga memaksa suaminya memohon jasa baik orang ramai agar memadam semua gambar itu dan tidak lagi berkongsi gambar tersebut dengan rakan-rakan yang lain dengan gesaan agar kesedihan yang sedang mereka tanggung dapat difahami.
Penyebaran gambar itu menimbulkan persoalan bahawa sementara kita bersedih dan mengutuk kejadian yang sangat kejam itu, namun ada manusia lain yang gembira menjadi wartawan tanpa tauliah dengan menyebarluaskan berita serta gambar mengenai kejadian itu.
Jika hanya gambar perompak yang bersenjata itu saja yang yang dihebahkan, niatnya mungkin dapat difahami tetapi apakah sebenarnya faedah dengan turut menyebarkan gambar pegawai yang ditembak dalam keadaan menyayat hati itu?
Apakah manusia semakin hilang kemanusiannnya kerana media sosial yang semakin meluas sekarang ini menjadikan semua orang berlumba-lumba mahu menjadi pelapor atau wartawan tanpa tauliah?
Dalam keghairahan mahu menjadi pelapor yang paling pantas itu dan kerana tiada editor yang menapis kerja wartawan tanpa tauliah ini, maka hampir semua benda cuba dilaporkan atau dimuatkan dalam media sosial ini.
Penyebaran gambar Norazita barangkali adalah kejadian salah lapor yang paling teruk sekali kerana ianya menambahkan lagi kesedihan keluarga mereka yang sudah pun cukup terpukul dengan cara kematian menimpanya itu.
Orang yang pertama memuatkan gambar itu dalam media sosial barangkali sudah semakin menipis nilai kemanusiannya, manakala ramai lain yang turut berkongsi gambar tersebut, sebenarnya turut juga semakin menghilang nilai kemanusiannya.
Bukan saja orang biasa yang ghairah mahu berkongsi gambar tersebut dalam media sosial, malah bekas Exco Selangor, Dr Hasan Ali juga terghairah turut memuatkannya dalam fanfage Facebooknya. Hanya setelah menerima kecaman, malah ada yang memakinya dengan kata-kata yang kasar, barulah gambar itu dipadamkan kemudiannya.
Maknanya, sesiapa saja boleh hilang pertimbangan kerana keghairahan mahu menjadi pelapor atau wartawan tanpa tauliah ini. Walaupun polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti orang yang pertama menyebarkan gambar ini, ia memang sewajarnya dilakukan kerana bukan saja menambahkan kesedihan keluarga pegawai bank itu, malah turut mengganggu siasatan polis.
Dalam banyak kejadian lain pula, apabila ada kemalangan jalan raya, orang bergaduh, orang bertengkar dan sebagainya, kerana adanya media sosial juga menyebabkan orang lebih ghairah mahu membuat rakaman dan kemudian memuatkannya dalam media soaial daripada menghulurkan bantuan atau meleraikan pergaduhan yang berlaku itu.
Malah isteri seorang pemain bolasepak yang bergaduh dengan seorang pengawal keselamatan pun turut merakam kejadian tersebut yang akhirnya menimbulkan kecaman dan memalukan dirinya sendiri.
Walaupun demikian, tidak dinafikan media sosial juga banyak kebaikannya. Ia boleh mempertemukan rakan lama terpisah, menghebahkan maklumat, menyampaikan berita dan mengeratkan lagi silaturrahim. Banyak kejadian orang hilang, penculikan, kanak-kanak dilarikan, kehilangan kereta dan sebagainya akhirnya menemui jalan penyelesaian melalui maklumat yang disebarkan melalui laman sosial.
Polis dan ramai pemimpin kerajaan juga didapati aktif dalam media sosial untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan menghebahkan sesuatu program atau memaklumkan program yang mereka hadiri.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin misalnya, selain aktif dalam laman sosial untuk memaklumkan mengenai program yang dihadirinya atau memberi reaksi terhadap sesuatu isu, juga pernah menggunakan Twitter miliknya untuk menghebahkan mengenai keenakan burger bakar yang terdapat di Wangsa Maju sehingga akhirnya gerai itu menjadi tumpuan ramai dan terkenal. Dilaporkan bahawa tempoh menunggu untuk membeli burger bakar itu sekarang ini sekurang-kurangnya dua jam.
Oleh itu, memang diakui media sosial banyak manfaat dan kelebihannya. Banyak perkara yang dirasakan mustahil 10 atau 15 tahun dulu, tetapi sekarang sudah menjadi kenyataan dengan adanya bantuan daripada media sosial ini.
Namun keburukan dan kelemahannya juga banyak. Selain ada yang rumah tangga porak-peranda dan hubungan kasih sayang insan yang sedang bercinta terputus gara-gara media sosial, kejadian paling malang ialah bila semua orang mahu menjadi wartawan tanpa tauliah tetapi mengabaikan nilai kemanusiaan yang sepatutnya sentiasa dijunjung.
Merakam kemalangan jalan raya tanpa berusaha memberi bantuan atau merakam orang sedang bergaduh tanpa berusaha meleraikannya, adalah antara kejadian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh wartawan tanpa tauliah ini. Dan menyebarkan gambar ngeri Norazita yang dibunuh kejam oleh pengawal keselamatan yang masih bebas sehingga ini tidak syak lagi adalah rekod paling buruk nilai kebebasan wartawan tanpa tauliah ini.
Tidak salah menyebarkan sesuatu kejadian untuk makluman orang ramai kerana ia menggambarkan kepekaan sebagai manusia tetapi sentiasalah tahu pertimbangan baik dan buruk serta sentiasalah junjung nilai-nilai kemanusiaan agar sesuatu yang mahu dihebahkan itu tidak sampai menambahkan derita dan kesengsaraan pihak lain.
Ini kerana bagaimana pun hebat dan majunya kita, tanpa nilai kemanusiaan, apalah ertinya lagi. – shahbudindotcom,
Sunday, November 3, 2013
Media sosial menjadikan manusia semakin hilang kemanusiaannya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.