Berikutan beberapa rentetan peristiwa yang dialami oleh teman-teman mahasiswa yang menyuarakan kebimbangan akan ketelusan perjalanan Pilihanraya Kampus UMP tahun 2013, saya terpanggil untuk menulis sedikit nasihat dan juga saranan buat ayahanda Dato’Naib Canselor yang amat kita sanjungi.
Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi mahasiswa di Universiti Malaysia Pahang amat penting bagi denyut nadi perjalanan kampus itu sendiri di masa hadapan.
PRK yang telus dan perjalanan yang menarik minat mahasiswa UMP cakna akan PRK akan memberikan mesej jelas bahawa mahasiswa peduli akan untung nasib universiti mereka.
Mahu tidak mahu, di tanah gersang Gambang dan Pekan inilah mahasiswa akan membajainya, menyemai perjuangan untuk berjuang melaksanakan tanggungjawab sebagai harapan anak bangsa kepada Malaysia tercinta.
Mana mungkin mahasiswa bisa belajar dan berpartisipasi serta berjuang jika hak mereka dinafikan oleh tangan-tangan ghaib di dalam Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMP sendiri atau ringkasnya JHEPA.
Beberapa siri persengketaan yang sewenang wenang dijalankan bermula dengan menafikan hak bertanding dengan alasan terlalu aktif beraktiviti dan alasan lain yang melampaui asas munasabah, maka kita boleh memberikan mesej jelas bahawa PRK UMP tahun 2013 ialah antara PRK terburuk di dalam sejarah UMP(KUKTEM sebelum ini).
Saya memandang serius kebejatan dan kepincangan proses ini kerana ini pasti akan merencatkan proses demokrasi di IPT bahkan membuka ruang olahan persepsi buruk kepada Universiti Malaysia Pahang sendiri.
Justeru, saya ingin mencadangkan beberapa cadangan awal dan pantas untuk tindakan budi bicara Ayahanda Dato’ Naib Canselor UMP:
1. Mempertimbangkan agar Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP UMP) tidak terlibat langsung dengan proses PRK UMP 2013 dengan membekukan daripada memberikan arahan, terlibat dengan mesyuarat jawatankuasa pemilihan dan sebagainya.
2. Mempertimbangkan agar semua calon-calon yang ‘dihalang’ dan ‘dinafikan’ bertanding agar dinilai semula dan diberi ruang dan peluang untuk bertanding dan partisipasi di dalam pilihanraya kampus.
3. Meletakkan wakil-wakil mahasiswa sebagai contoh Mahasiswa Tahun Akhir sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus Universiti Malaysia Pahang untuk memastikan ketelusan PRK dan menghilangkan persepsi buruk perjalanan PRK kali ini.
Saya memohon pertimbangan ayahanda Dato’ Naib Canselor agar satu keputusan drastik dapat dilaksanakan agar semua pihak terutama mahasiswa Universiti Malaysia Pahang mendapat pembelaan sewajarnya.
Kita yang akan dipertanggungjawab ke atas seluruh keputusan kita di masa hadapan.
Kita mahu anak muda terus percaya bahawa proses demokrasi ialah milik semua bukan milik tangan-tangan ghaib Sang Penguasa!
Saya dengan ini mohon dipertimbangkan segera
Mohamad Suffi Bin Kamari
Wednesday, November 27, 2013
PRK Universti Malaysia Pahang paling buruk dalam sejarah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.