ADA pendapat mengatakan, MyKad adalah nyawa kedua bagi setiap orang.Hal ini disebabkan pertama jikalau tiada MyKad anda boleh dikategorikan sebagai pendatang asing atau pendatang haram. Kedua, sila-silap MyKad anda sudah terlepas ke tangan orang lain.
Ketiga, jika MyKad anda berada di tangan orang lain contoh penyamun, pembunuh malah penjenayah sekalipun anda akan diburu hingga ke lubang cacing.
Itulah akibat dan kesannya jika MyKad hilang atau tercicir. Tetapi yang banyak berlaku adalah Mykad tercicir atau tertinggal di kaunter fotokopi, kaunter bank, atau semasa mengeluarkan wang dari dompet atau anda pernah diragut yang menyebabkan Mykad hilang.
Kecuaian ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira dia itu remaja, orang dewasa, pemimpin politik dan juga orang berpangkat besar. Pendatang asing terutama pendatang asing jika terjumpa MyKad seperti terjumpa emas sebongkah atau wang seguni.
Ini kerana dengan MyKad anda mereka boleh merompak, menyamun kedai emas dan sebagainya.
Oleh itu berhati-hatilah bagi mengelakkan kehilangan MyKad. Ingat semasa membuat salinan MyKad untuk sesuatu urusan di kedai fotokopi, MyKad anda boleh sahaja terselit dan tertinggal, bayangkan akhirnya MyKad anda terjatuh kepada penjenayah dan menyebabkan muka anda keluar di akhbar kerana melakukan kesalahan jenayah.
Jika anda hilang MyKad antaranya pernah diragut segeralah melaporkan kepada pihak polis dan membuat MyKad baharu.
Atau sebelum itu ingatkan di mana anda pernah membuat salinan fotokopi atau berurusan dengan bank. Ini kerana di sinilah selalunya MyKad seseorang mudah tercicir atau terlupa.
Banyak kes sekarang ini melibatkan kehilangan MyKad yang kemudiannya dipalsukan digunakan untuk merompak wang di bank dan kedai emas yang digunakan oleh pendatang asing tidak bertanggungjawab. MyKad palsu adalah berpunca daripada MyKad rakyat tempatan yang hilang.
Memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said sebagai berkata, menafikan dakwaan bahawa MyKad palsu sangat mudah diperoleh warga asing.
Menurut Jariah, isu MyKad palsu tidak sewajarnya ditimbulkan kerana apa yang terjadi kebanyakan berpunca daripada kehilangan oleh pemiliknya iaitu rakyat tempatan sendiri sehingga disalahgunakan oleh warga asing.
“Warga asing ini memperoleh MyKad bukan daripada sindiket pemalsuan, sebaliknya kad pengenalan diri rakyat tempatan yang hilang sama ada dicuri, diragut atau kecuaian diri sendiri.
“Gambar dalam MyKad itu akan ditukar kepada gambar baharu tanpa mengubah nama, alamat, agama dan jantina pemilik asalnya. Inilah yang berlaku seperti dalam kes pengawal keselamatan menggunakan MyKad palsu telah menembak mati pegawai bank di Subang Jaya baru-baru ini.”
Beliau mengulas dakwaan bahawa MyKad palsu begitu senang diperoleh sehingga ramai pengawal keselamatan asing menggunakannya ketika memohon pekerjaan.
Berdasarkan statistik kehilangan MyKad oleh JPN, hampir 1.5 juta MyKad dilaporkan hilang hanya dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.
Lebih membimbangkan apabila statistik terbaharu sehingga Ogos tahun ini sahaja menunjukkan sudah 461,295 MyKad dilaporkan hilang, sekali gus memberi gambaran betapa rakyat negara ini dilihat seolah-olah tidak peka terhadap keselamatan dokumen penting tersebut.
Menurut Jariah, bagi membendung permasalahan ini, pihaknya meminta supaya orang ramai segera menukar MyKad lama kepada baharu yang ternyata mempunyai ciri-ciri keselamatan jauh lebih tinggi serta sukar disalahgunakan.
“Berbeza dengan MyKad lama, ciri-ciri keselamatan yang baharu lebih tinggi sehingga sukar untuk disalahgunakan. Antaranya, sebarang percubaan untuk menukar gambar yang tertera pada salinan plastik MyKad tersebut akan menyebabkan gambar baharu itu kelihatan tidak asli, tindakan susulan akan dilakukan bagi membendung kehilangan MyKad oleh rakyat tempatan supaya mereka lebih menghargainya selepas ini,” katanya.
Justeru, beliau turut meminta pihak syarikat keselamatan yang ingin menggaji pengawal keselamatan supaya terlebih dahulu mendapatkan pengesahan MyKad di JPN sebelum mereka diambil bekerja.
Sebagai peringatan kepada semua, ingatlah bahawa MyKad anda umpama nyawa kedua anda.
Oleh DR AMINUDIN MANSOR (S/H)
Tuesday, November 19, 2013
Hati-hati elak hilang MyKad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.