Wednesday, November 20, 2013

Pemilihan PAS : Fauzi Tahir cabar Presiden

Fauzi Tahir (gambar) bukanlah nama besar di dalam PAS. Tetapi langkah yang beliau ambil untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyebabkan namanya terkenal ke seluruh negara.

Yang Dipertua PAS kawasan Padang Serai ini mengambil keputusan untuk bertanding jawatan Presiden PAS dalam muktamar PAS ke-59 yang akan diadakan 22 hingga 24 November di Shah Alam, Selangor.

Namun usahanya itu tidak kesampaian apabila beliau hanya mendapat satu pencalonan sahaja iaitu dari kawasannya sendiri, Padang Serai, sedangkan perlembagaan PAS meletakkan syarat sekurang-kurangnya dua pencalonan untuk melayakkan seseorang calon bertanding.

Namun hasrat Fauzi, 55 tahun, untuk membuktikan demokrasi hidup subur di dalam PAS berjaya. Selain mahu membuktikan demokrasi hidup subur, Fauzi juga mahu membuktikan pemimpin bukan maksum di dalam PAS. Mereka ada kelemahan dan kecacatannya selaku manusia biasa.

"Saya mahu beritahu ahli dan semua pihak bahawa dalam PAS ini pemimpin bukan maksum. Jadi ada kelemahannya," kata Fauzi kepada The Malaysian Insider.

Berbekalkan dua hasrat itulah, Fauzi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden PAS, jawatan yang paling berkuasa dalam menentukan hala tuju parti Islam itu.

Fauzi yang sudah 10 tahun atau lima penggal memimpin PAS Padang Serai mula menyampaikan hasratnya mahu bertanding jawatan tertinggi PAS itu ketika memberikan ucapan penangguhan Mesyuarat Agung PAS kawasan Padang Serai beberapa bulan lalu.

Ketika itu beliau sudah diumumkan sebagai YDP kawasan setelah menang tanpa bertanding.

Apabila perwakilan mesyuarat agung itu membuat keputusan menyerahkan urusan pencalonan kepimpinan tertinggi PAS, Fauzi memohon dari AJK PAS kawasan untuk mencalonkan beliau sebagai presiden PAS.

"Memang tidak semua AJK saya bersetuju ada yang membantah. Tetapi selepas berbincang mereka bersetuju dengan hasrat saya itu," kata Fauzi mengimbau kembali apa yang berlaku dalam mesyuarat AJK PAS kawasan Padang Serai yang pertama selepas mesyuarat agung tahun ini.

Fauzi sedar sudah tentu ada pihak yang marah dan tidak bersetuju dengan langkah beliau itu seolah-olah mahu memalukan Abdul Hadi selaku presiden PAS, namun Fauzi berpuashati dengan keputusan yang telah beliau ambil itu.

"Tujuan saya jelas untuk kepentingan PAS dan tidak ada niat untuk malukan Tuan Guru Presiden," kata Fauzi.

Walaupun sedar ramai yang tidak suka dengan keputusan beliau itu namun tidak ada seorang pun pemimpin PAS peringkat pusat atau negeri yang memarahi atau menasihat beliau.

"Yang jumpa saya semua senyum-senyum saja," kata Fauzi, seorang pembantu teknik di sebuah jabatan kerajaan.

Ketika ditanya, apa yang mendorongnya menawarkan diri, adakah kerana tidak berpuashati dengan presiden Presiden PAS yang ada, Fauzi memohon untuk tidak menjawab soalan itu.

"Biarlah, tak payah saya jawab soalan itu," kata Fauzi. – TMI

2 comments:
Write comments
  1. Klau bukn tdk puas ht krn pribadinya adalh krna tanyaan org2 umno tertntu untk sgaja mncri perpecahn dalmn pas. Krjnya adalah sia2 dn tdk mndtgkn keuntgn Pas.

    ReplyDelete
  2. Pertandingan presiden dalam parti pas adalah terbuka bukan seperti umno yang kononnya menyimpan presiden yang diragui macam najib... kalau ada penentangpun akan di nasihatkan oleh pembuntut...

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.