Monday, November 25, 2013

Pemilihan PAS : Naib Presiden pamer tiga elemen

Barisan Naib Presiden PAS yang dipilih pada Muktamar PAS ke-59 mewakili tiga elemen kepimpinan dalam parti itu iaitu ulama, aktivis dan profesional, kata muka baru penyandang jawatan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Datuk Husam Musa (kanan) menangis apabila Datuk Mahfuz Omar kalah jawatan Naib Presiden PAS. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 24 November, 2013.

"Mungkin orang melihat Salahuddin sebagai aktivis parti, Husam sebagai profesional, dan ana (saya) dilihat dalam konteks ulamak," kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, yang memenangi jawatan itu bersama penyandang Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub dalam pertandingan lima penjuru.

Pengumuman keputusan pemilihan jawatan Naib Presiden itu ditangguhkan ke hari ini berikutan pengiraan semula undi semalam.

Sementara itu, penyandang yang tewas dalam pertandingan itu Datuk Mahfuz Omar memohon maaf di hadapan kira-kira 1,129 perwakilan terhadap sebarang kekurangan ketika memegang jawatan itu selain menyifatkan soal jawatan atau kedudukan bukan suatu kepentingan sebaliknya perjuangan parti.

"Saya tidak kisah (kalah) kerana saya sudah tiga kali bertanding jawatan itu. Saya redha dan hormati keputusan yang dibuat perwakilan," katanya selepas pengumuman keputusan, sambil menolak andaian pengiraan semula undi menjadi punca kekalahannya.

Husam, yang berjaya mempertahankan jawatannya setelah meraih 520 undi, pula meluahkan rasa sedihnya apabila Mahfuz yang disifatkan sebagai sahabat "tergelincir" dalam pemilihan kali ini.

"Pada saya beliau lebih layak kerana beliau lebih petah dan mempunyai banyak idea berbanding saya ketika bermesyuarat.

"Apa pun keputusan telah dibuat, saya terima dengan hati terbuka. Tugas kita sekarang adalah untuk menyatupadukan PAS dan lupakan sengketa ekoran pemilihan ini, marilah kita melihat ke hadapan," katanya.

Ditanya mengenai majoriti tipis 16 undi yang diperolehinya dengan undi yang diterima Mahfuz, beliau berkata perkara itu sudah diduga.

"Sama ada saya atau Mahfuz, kami telah menjangkakan salah seorang daripada kami mungkin tergelincir," katanya.

Salahuddin pula berkata walaupun mendapat undian terbanyak iaitu 917 undi, beliau turut merasa sedih kerana pencabarnya Datuk Abu Bakar Chik yang dianggap sebagai abang tewas.

Abu Bakar, yang sebelum ini adalah anggota Jawatankuasa PAS Pusat dan memperoleh 364 undi pada pemilihan itu, berkata beliau bertanding dengan jangkaan yang beliau akan tewas.

Abu Bakar bagaimanapun berkata beliau tetap menawarkan dirinya kerana merasakan parti memerlukan sumbangannya berdasarkan pengalaman beliau dalam kepimpinan pusat selama 30 tahun termasuk memegang jawatan Ketua Pemuda PAS selama 10 tahun sejak 1988.

Dengan pengalamannya dalam bidang pendidikan sebelum ini, Abu Bakar berkata beliau yakin dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah parti itu yang mengalami kemerosotan sokongan masyarakat Melayu.

Ini termasuk meningkatkan hubungan dengan mereka yang terlibat dalam sektor sosial dan ekonomi seperti ahli perniagaan, wakil-wakil industri dan teknokrat di Malaysia.

"Apa pun, para perwakilan PAS sebenarnya telah memikirkan siapa untuk mereka pilih kali ini," katanya. – Bernama

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.