Monday, May 23, 2011

MIC Kembali Dalam Dilema?

Di satu pihak Datuk G Palanivel, yang mengambil alih kepimpinan MIC Disember lalu, mengetengahkan pendekatan mahu mengembalikan perpaduan dalam parti itu dengan membuka pintu kepada mereka yang pernah disingkirkan oleh kepimpinan sebelum ini.

Pun begitu, beliau tidak ketinggalan daripada kritikan dan kecaman sekumpulan kecil ahli dan pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Sewajarnya, mengambil kira beliau baru sahaja enam bulan menjadi presiden, persekitaran itu tidak wujud sama sekali.

Tetapi keadaan sebaliknya dilalui beliau sekarang.

Pengkritik mendakwa Palanivel (gambar), yang menggantikan Datuk Seri S Samy Vellu pertengahan Disember lalu, tidak mengutamakan soal perpaduan parti, sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan ke atas usaha memperkuatkan kedudukan beliau menjelang pemilihan presiden.

Pemilihan presiden yang sepatutnya diadakan awal tahun depan ditangguhkan sehingga pilihan raya umum ke-13 selesai.

Gara-gara kritikan ini dikaitkan dengan usaha Palanivel membawa masuk beberapa bekas pemimpin pusat yang pernah dipecat Samy Vellu.

Bulan lalu, Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC menerima balik tiga pemimpin yang pernah menganjurkan kempan Gerakan Anti Samy (GAS) — V. Mugilan, Kumar Aamaan dan K.P Samy. Mugilan telah dikembalikan jawatan timbalan ketua Pemuda MIC pusat dan Kumar dan K.P Samy sudah boleh menganggotai semula CWC.

Susulan keputusan CWC itu, Setiausaha Pemuda MIC, C Sivarraajh membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan mendakwa keputusan tersebut sebagai tidak sah. Sivarraajh menimbulkan persoalan adakah wajar perlembagaan parti diketepikan untuk memberi pengampunan kepada tiga pemimpin berkenaan dan menegaskan, ia bertentangan dengan Perkara 15.4 dan 61.5 perlembagaan.

Perkara 15.4 menyatakan seseorang ahli yang sudah dipecat hanya boleh dikembalikan ke jawatan asal jika merayu kepada CWC dan rayuan diterima oleh jawatankuasa berkenaan manakala Perkara 61.5 pula menyebut ahli yang dipecat hanya boleh diterima balik sebagai ahli selepas dua tahun daripada tarikh dipecat.

Sebahagian pemimpin sayap pemuda itu didakwa cenderung kepada kepimpinan timbalan presiden Datuk Dr S Subramaniam bersama ketua Pemuda MIC T Mohan.

Mugilan dilaporkan akan mencabar jawatan ketua Pemuda MIC susulan penerimaan balik ke pangkuan MIC. Jika tidak Mohan, Sivarraajh juga disebut-sebut bakal bertanding jawatan itu.

Keputusan CWC menerima balik tiga pemimpin pusat itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti, tegas pengerusi jawatankuasa disiplin Tan Sri K.S Nijhar sebelum ini.

Awal tahun ini, Palanivel memberitahu The Malaysian Insider, semua ahli MIC yang telah disingkir atau keluar parti sebelum ini akan diterima kembali dan dikekalkan jawatan mereka tetapi dengan syarat.

Aduan Sivarraajh disusuli dengan tindakan Ketua MIC Bahagian Bagan, Datuk Henry Benedict Asirvatham yang turut mempersoalkan cara dan motif Palanivel.

Dua perkembangan terbaru ini dilihat kemungkinan membawa kepada perpecahan terbaru dalam parti komponen BN itu ketika Palanivel mahu memperkukuhkan parti menjelang pilihan raya umum ke-13.

Beliau secara terbuka mendakwa Palanivel mahu membunuh Dr Subramaniam, antara calon yang disebut kemungkinan mencabar Palanivel dalam pemilihan presiden akan datang.

Dr Subramaniam, Ahli Parlimen Segamat, yang dilihat tidak mengulas perkembangan ini didakwa mempunyai sokongan Samy Vellu yang memimpin MIC selama tiga dekad.

Pihak yang mengecam Palanivel secara langsung dan tidak langsung mendakwa beliau tiada sokongan akar umbi dan menang pemilihan 2006 dan 2009 kerana restu Samy Vellu.

The Malaysian Insider juga difahamkan Samy Vellu sudah mula melahirkan rasa tidak senangnya dengan pendekatan dan gaya Palanivel.

Ekoran cabarannya itu, Asirvatham, seorang ahli perniagaan di utara Semenanjung itu menerima surat tunjuk sebab daripada Nijrar Khamis lalu.

“Ya, sudah pasti... saya akan menjawab surat tunjuk sebab ini.

“Jika memerlukan bukti, saya akan membawa saksi-saksi, yang merupakan penyokong Dr S Subramaniam, dari seluruh negara dengan bas untuk membuktikan adanya usaha mahu membunuh (politik) Dr Subramaniam,” tegas beliau.

“Saya ada bukti, Palanivel membawa masuk mereka yang dipecat oleh Samy Vellu untuk memperkuatkan kedudukan beliau, bukan kerana kepentingan parti tetapi kerana bimbang dengan populariti Dr Subramaniam,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Bahagian Bagan, Pulau Pinang itu, dakwa Asirvatham, digantung oleh Samy Vellu pada 2006 juga kerana Palanivel. Bekas presiden membatalkan hukuman itu pertengahan tahun lalu ketika kempen GAS diadakan.

“Perlembagaan MIC dengan jelas menyebut mereka yang dipecat hanya boleh diambil balik selepas dua tahun (dari tarikh dipecat)... tiada peruntukan untuk pengampunan, ini canggah dengan perlembagaan. Itu yang saya maksudkan,” katanya sambil menegaskan, tindakan Palanivel sebenarnya akan membawa kepada kehancuran MIC, bukannya menyatukan parti.

Katanya, Palanivel juga mahu membunuh kerjaya politik seorang lagi naib presiden Datuk M Saravanan, yang juga salah seorang daripada dua timbalan menteri MIC.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung MIC S. Murugessan berkata, jawatankuasa disiplin sudah mengeluarkan surat berkaitan isu itu dan beliau sewajarya memberi respons kepada badan tersebut.

“Aduan telah diterima, biar jawatankuasa disiplin menguruskan kes ini,” katanya ringkas.

Menjawab tanggapan bahawa MIC kini sudah dua kem dalam waktu yang singkat ini, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, beliau belum mendengar bahawa tindakan Palanivel sekarang akan membawa kepada perpecahan dalam parti, kononnya sudah ada dua kem masing-masing menyokong presiden dan timbalan.

“Saya tidak dengar apa-apa. Bagaimanapun apa yang penting, Palanivel perlu memastikan pendekatan hanya mahu memperkukuh parti dan mengembalikan perpaduan, bukan sebaliknya iaitu menguatkan kedudukan beliau menjelang pemilihan parti.

“Palanivel kena memastikan tindakannya tidak memudaratkan parti... itu yang penting,” kata pemerhati politik itu.

Katanya, pendekatan Palanivel kelihatan baik tetapi ada pihak tidak dapat menerima apabila pemimpin-pemimpin yang dipecat dikembalikan jawatan mereka.

Beberapa pihak yang rapat dengan Palanivel mempertahankan presiden itu sambil mendakwa pendekatan diambil oleh senator ini berniat baik untuk membantu MIC dan BN menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Mereka yang mempertikaikan Palanivel memang pencetus masalah kepada parti... cuba anda periksa latar belakang mereka di internet.

“Mereka masih amalkan kepimpinan berkasta, tidak bersetuju dengan Palanivel membawa ahli dan pemimpin akar umbi ke dalam parti... sangat mudah,” katanya.

Seorang penyokong Samy Vellu mendakwa menjadi lumrah bagi mana-mana presiden baru untuk mengukuhkan kedudukannya dalam parti.

“Itu yang dilakukan oleh Palanivel sekarang, yang turut mewujudkan hampir 1,000 cawangan baru, meneruskan dasar yang diambil Samy Vellu sebelum ini,” katanya. Asirvatham juga membuat dakwaan sedemikian.

Cuma dakwa penyokong Samy Vellu itu, mereka melihat tindakan itu cuba mencantas asas sokongan Dr Subramaniam. Dr Subramaniam, iaitu Menteri Sumber Manusia, merupakan satu-satunya wakil tunggal dalam Kabinet Najib.

Dr Subramaniam antara tiga wakil MIC menang pilihan raya umum 2008.

Palanivel yang turut tewas dilantik sebagai senator akhir tahun lalu selepas tidak dipilih sebagai calon bertanding semula pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April 2010. -TMI

7 comments:
Write comments
  1. Mereka yang pernah disingkirkan sebelum ini mesti ada alasan yang bernas. Adakah wajar untuk menerima balik mereka dalam parti?

    ReplyDelete
  2. MIC perlu menyelesaikan sebarang isu dengan sebaiknya..

    ReplyDelete
  3. adakah dakwaan oleh individu2 tersebut benar?

    ReplyDelete
  4. MIC perlu selesaikan dilemma mereka.

    ReplyDelete
  5. Harap presiden baru MIC ini dapat memberikan yang terbaik kepada parti itu sendiri.

    ReplyDelete
  6. sepatutnya hal2 yang berkaitan dengan parti perlu kerap dibawa ke meja perbincangan.. apa2pun, pandai2 la MIC urus parti sendiri..

    ReplyDelete
  7. Harap MIC ini akan menangani isu ini dengan cara yang betul.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.