Tuesday, May 24, 2011

Husam sah tanding jawatan naib presiden PAS

Ahli jawatankuasa kerjas PAS pusat Datuk Husam Musa mengumumkan akan kembali bertanding jawatan naib presiden parti pada pemilihan bulan depan.

Bulan lepas beliau membuat pendirian bahawa tidak akan bertanding mana-mana jawatan tertinggi kecuali kerusi ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Husam (gambar) pernah memegang jawatan naib presiden selama satu penggal iaitu daripada 2007 hingga 2009.

Pada 2009, beliau bertanding jawatan timbalan presiden tetapi gagal.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu berkata, beliau membuat keputusan untuk menimbang semula pendirian selepas salah seorang penyandang jawatan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memutuskan untuk menyertai persaingan kerusi timbalan presiden.

“Pada mulanya saya hanya bercadang bertanding jawatan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, namun dengan perkembangan terbaru di mana Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan sikap (pendirian) mutakhirnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan lebih tinggi, maka saya terpaksa menimbang semula pendirian saya.

“Oleh itu, di atas perkembangan dalam dan luar parti, saya dengan penuh rasa rendah diri dengan ini mengumumkan untuk menerima pencalonan jawatan naib presiden pada pemilihan kepimpinan parti awal bulan depan,” kata Husam dalam satu kenyataan petang ini.

Pagi tadi, Tuan Ibrahim secara rasmi mengumumkan mahu bertanding jawatan timbalan presiden walaupun sebelum ini menegaskan tidak berminat turun gelanggang kerusi nombor dua parti itu.

Selain Tuan Ibrahim, penyandang jawatan itu Nasharudin Mat Isa dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu telah mengesahkan pendirian masing-masing.

Husam juga berkata, keputusan itu dibuat ekoran mendapat pencalonan yang memberangsangkan bagi jawatan nombor tiga itu.

“Saya berpandukan pandangan PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya, terutamanya di atas pandangan perlunya seorang wakil dari Kelantan untuk menduduki peringkat jawatan yang lebih tinggi dalam parti.

“Hal ini bertepatan dengan kedudukan Kelantan sebagai tapak utama PAS pada waktu ini dan juga secara keseluruhannya,” katanya.

Jelas Husam, gabungan antara golongan ulama dan profesional dalam PAS akan dapat diperkukuhkan dengan pendirian terbaru beliau itu.

“Saya percaya polisi PAS untuk menjalin gabungan kepimpinan ulama dan profesional melalui konsep memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional, yang telah terjalin selama ini, perlu terus diperkukuhkan.

“Dalam hal ini, kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS, diharap dapat diperkukuhkan dengan gabungan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, penyandang jawatan itu Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad mengesahkan mahu bertanding jawatan itu.

Seramai 14 orang layak untuk bertanding kerusi naib presiden. Bagaimanapun Ketua Penerangan PAS Nik Zawawi Nik Salleh dan dua ahli jawatankuasa kerja Dr Mujahid Yusof Rawa dan Mazlan Aliman memutuskan untuk menarik diri.

Ketika ditemui pada sidang media tengah hari tadi, Mazlan mengumumkan tidak akan bertanding jawatan naib presiden parti itu.

Beliau berkata tidak mahu bertanding jawatan itu kerana masih belum bersedia untuk memikul “tanggungjawab” itu walaupun mendapat pencalonan yang memberangsangkan.

Beliau sebaliknya memutuskan hanya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang yang disandang sejak dua penggal lalu.

“Saya pada hari ini mengumumkan tidak akan bertanding jawatan naib presiden PAS, sebaliknya saya bersedia untuk mempertahankan jawatan ahli jawatankuasa kerja.

“Saya akan terus tumpukan komitmen dalam menyelesaikan isu tanah rakyat kerana ada banyak aduan dan salah laku yang dalam Felda dan Felcra termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya. -TMI

13 comments:
Write comments
  1. Harap PAS akan membuat pelantikan secara teliti.

    ReplyDelete
  2. harap pemilihan yang dilakukan akan berjalan lancar.

    ReplyDelete
  3. terserah kepada ahli PAS untuk memilih siapa yang mereka mahukan.

    ReplyDelete
  4. Siapapun beliau harap dapat memberi komitmen penuh pada parti.

    ReplyDelete
  5. Jangan ada sejarah hitam sepanjang perjalanan hidup beliau jika tidak ini akan mempengaruhi perlantikan beliau.

    ReplyDelete
  6. kepada calon-calon yang bertanding jawatan naib presiden parti, 'selamat berjuang.'

    ReplyDelete
  7. Kita lihat siapa yang akan terpilih menjadi naib presiden PAS. Harap tidak akan berlaku seperti PKR baru-baru ini.

    ReplyDelete
  8. hrap pemilihan ini berlangsung tanpa sebarang masalah.

    ReplyDelete
  9. Make sure the chosen one is ready to fulfill his responsibility as the vice president. May the best man win!

    ReplyDelete
  10. Selamat berjuang.

    ReplyDelete
  11. well, good luck PAS..

    ReplyDelete
  12. PAS perlulah membuat pilihan yang terbaik antara semua calon-calon yang bertanding.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.