Monday, May 9, 2011

Menanti Umno terjerat perangkap sendiri?

Agak ramai bersetuju dengan rumusan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal dalam pilihan raya umum akan datang. Kecenderungan pengundi Melayu menjadi perbahasan menarik, manakala mood masyarakat Tionghua yang berterusan menolak BN seperti sukar hendak dilentur lagi. Rata-rata membayangkan pengundi India, walaupun masih tidak dapat menerima MIC, tetapi mungkin "ada yang berpatah balik".

"Bukan saja DAP yang untung besar dengan mengekalkan prestasi Mac 2008, malah mungkin dapat melonjak lagi," seorang pembaca dari Ipoh memberi respons kepada tulisan saya. "Dan jika tiada usaha luar biasa dilakukan untuk mengubah persepsi masyarakat Melayu di luar bandar, terutama di kawasan bukan kubu tradisi PAS, saya juga percaya Umno boleh mempertahankan undi dan kuasa mereka," tambahnya.

Namun, seperti kata Perdana Menteri, Najib Razak, "selagi semboyan belum dibunyikan, persiapan (menghadapi pilihan raya) boleh ditingkatkan." Ya, biar segenting mana sekalipun kedudukan PAS, berdepan dengan pelbagai tipu helah dan gugatan mencabar, khususnya berkaitan senarai pendaftaran pemilih yang mudah dimanipulasi, segalanya masih boleh dipengaruhi dan diperbetulkan.

Namun, untuk menggagalkan usaha terancang BN itu, ia memerlukan kerja kuat, berkemahiran dan mempunyai dana mencukupi. Proses pendaftaran pemilih dalam sistem First-Past-The-Post (FPTP) memang terdedah kepada "kerja jahat" elit penguasa. Oleh itu, masih ada desakan agar reformasi pilihan raya dapat dilaksanakan segera, antara lain memperkenalkan elemen sistem pengundian Proportional Representation (PR).

Mungkin proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, ala gerrymandering, tidak dapat dipraktikkan lagi disebabkan BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, namun masih banyak ruang boleh diekspolitasi. Kadang-kadang ia sukar dihidu dan hanya dapat dikesan selepas pilihan raya, mengakibatkan pembangkang sekadar gigit jari.

Harakah telah mendedahkan komplot di antara Umno-BN, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya dirancang rapi bagi memindahkan pengundi ke kawasan strategik, menurut kepentingan parti itu, terutama di Selangor. Ini belum dikira taktik jahat memberikan kad pengenalan kepada warga asing, membolehkan mereka mengundi BN dalam PRU13.

Keghairahan (sebenarnya keserakahan) Najib, yang juga Pengerusi Umno Selangor, untuk merampas kuasa di negeri termaju itu tidak boleh disembunyikan lagi. Tidak salah untuknya menawan kembali Selangor dan juga negeri-negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat tetapi biarlah "bertarung secara anak jantan".

Ia mengingatkan kita tentang taktik kotor Najib menumbangkan kerajaan pilihan rakyat di Perak (waktu itu Pengerusi Umno Negeri) pada 2009. Rekod menunjukkan, hampir semua negeri yang pernah jatuh ke tangan pembangkang, diambil alih BN (sebelumnya Perikatan) secara "keji" misalnya dalam kes Kelantan (1978), Terengganu (1961, 2004) dan Sabah (1994). Target berikutnya adalah Selangor. Operasinya berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain.


Melihat "permainan" Umno-BN terkini, mereka seolah-olah tidak mahu membuang masa lagi untuk meraih kepercayaan pengundi Cina yang dirasakan semakin menjarak, sebaliknya tertumpu untuk mengaut sebanyak mungkin sokongan masyarakat Melayu. Pengundi Melayu perlu dipindahkan ke kawasan yang mana BN kalah dengan majoriti kecil (lebih membabitkan kerusi PAS dan KeADILan) dengan membiarkan kawasan di sebelahnya yang mungkin sedia dimenangi DAP mendapat majoriti lebih besar.

Pokoknya, dalam sistem FPTP, menang dengan majoriti satu undi atau 10,000 undi tidak membawa apa-apa perbezaan. Oleh itu, Umno merancang untuk menyerakkan undi Melayu ke kawasan yang begitu diperlukannya, dengan andaian orang Melayu adalah asset buat mereka. Dalam proses gerrymandering selepas PRU1999, andaian Dr Mahathir Mohamad, pengundi Cina akan memberikan kelebihan kepada BN.

Akhirnya, strategi menyerakkan pengundi Cina itu, walaupun berjaya pada 2004, sehingga membentuk banyak kerusi campuran, telah "membunuh" BN pada 2008.

Pelawaan Najib agar PAS bekerjasama dengan Umno, dan meninggalkan Pakatan Rakyat (terutama DAP) juga dilihat mahu mengikat simpati umat Islam. Umno cuba mempamerkan watak "merendah diri", sekali gus mempersepsikan PAS sebagai parti "penuh kesombongan" yang menolak tawaran perpaduan. Meskipun dari segi jumlah penguasaan kerusi Parlimen, PAS berada di tangga terendah berbanding DAP dan KeADILan, namun ia tetap berada pada posisi paling penting dalam percaturan politik Melayu.

Strategis Umno cukup sedar hal ini. Justeru, perancangan secara halus difokuskan untuk melemahkan potensi PAS yang cukup membahayakan kedudukan Umno itu. Sekali pandang, seolah-olah Umno menghalakan sasarannya kepada KeADILan, tetapi bagi saya, yang lebih digeruninya adalah PAS.

Dalam pilihan raya umum 1999, PAS pernah mencipta kejutan apabila majoriti pengundi Melayu memihak kepadanya, terutama di negeri-negeri Malay belt, pengaruh PAS cukup dominan. Dan sekiranya pimpinan PAS berupaya menampilkan sosok parti itu yang meyakinkan orang Melayu, selain membetulkan persepsi salah mereka, dan dalam masa sama mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, tidak mustahil penguasaan BN di Putrajaya dapat ditamatkan.

Mengandaikan undi Melayu adalah "simpanan tetap" BN hanya mengundah padah buat Najib, apatah lagi dalam suasana kematangan berpolitik semua kaum makin meningkat. Bagaimanapun ia lebih banyak bergantung kepada ketekunan PAS untuk melakukan usaha luar biasa menawan hati dan membetulkan persepsi masyarakat Melayu dalam tempoh sesingkat ini.

Oleh Ahmad Lutfi Othman

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.