Wednesday, May 16, 2012

Aidil Zafuan Tarik Permohonan Cerai

Pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak menarik balik permohonan untuk bercerai dengan isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar, di mahkamah Rendah Syariah di sini, Rabu dengan alasan mahu berdamai selain memikirkan kebaikan kedua-dua anak mereka.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhamad bagaimanapun memerintahkan Aidil pada Rabu membayar kos kepada Rita sebanyak RM250.

Wan Mahyuddin mengeluarkan perintah itu selepas Peguam Syarie plaintif, Ahmad Nazib Johari memaklumkan kepada mahkamah yang anak guamnya telah memfailkan satu notis penarikan pada Selasa selepas Rita tidak bersetuju dengan permohonan yang difailkan sebelum ini di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 (Negeri Selangor).

“Anak guam saya telah memfailkan notis dengan alasan permohonan di bawah Seksyen 47 enakmen itu tidak boleh digunakan kerana Rita tidak bersetuju untuk bercerai ketika kes berkenaan disebut pada 30 April lalu.

“Aidil pula menuntut untuk berdamai dan tinggal bersama demi anak-anak dan jika kedua-dua mereka melantik ahli keluarga masing-masing bagi menyelesaikan masalah, dia bimbang, situasi berkenaan menjadi lebih buruk.

“Berdasarkan kepada alasan ini, anak guam saya memutuskan untuk membatalkan permohonan bercerai terhadap isterinya,” kata beliau.

Mahkamah sebelum ini menetapkan pada Rabu agar kedua-dua pihak melantik ahli keluarga masing-masing untuk membantu menyelesaikan masalah di hadapan Jawatankuasa Pendamai yang dipengerusikan oleh seorang pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

Rita diwakili Peguam Syarie, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga.

Sepanjang perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang berusia setahun.

-Mstar

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.