Institut Integriti Malaysia (IIM) mengalu-alukan dan menyokong cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menawarkan perkhidmatan untuk menapis semua calon parti sebelum pilihanraya umum Ke-13.
Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata, langkah proaktif ini akan membantu kepimpinan parti untuk mencalonkan individu yang berintegriti.
"Institut Integriti Malaysia juga melihat bahawa proses ini akan memastikan tahap keyakinanan rakyat terhadap sistem pilihanraya dan sistem demokrasi akan bertambah baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ini, tambahnya, secara tidak langsung akan menarik minat dan penglibatan rakyat dalam proses pilihanraya dan pemilihan pemimpin.
Inisiatif ini juga akan dapat memperbaiki persepsi masyarakat terhadap kepimpinan politik, katanya.
Menurutnya, hasil kajian yang dikendalikan IIM pada 2009 yang bertajuk “Sejauh mana Pemimpin Politik Berintegriti dan Bersih Rasuah dihargai rakyat,” mendapati pemimpin politik yang berintegriti dan bersih rasuah, amat dihargai rakyat.
"... dan kriteria kepimpinan berintegriti dan bersih rasuah, mengatasi elemen populariti dalam pemilihan pemimpin politik," tambahnya.
Sehubungan itu, menurut Dr Mohd Tap, IIM berpendapat amat penting untuk parti politik membuat pemilihan calon yang tepat, yang mempunyai ciri-ciri akauntabiliti, berintegriti dan telus dalam pilihanraya yang akan datang.
"Masyarakat juga akan berpeluang untuk mengenalpasti bahawa calon-calon merupakan pemimpin yang berintegriti.
"Secara tidak langsung, sistem pilihanraya yang akan datang juga akan meraih keyakinan dan kepercayaan masyarakat serta dilihat telus, bertanggungjawab dan mempunyai standard yang tinggi," tambahnya.
Sejak penubuhannya pada tahun 2004, katanya, IIM, menerusi sektor politiknya, telah mengendalikan pelbagai program dan kursus untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan nilai etika dan integriti, pengamalan budaya politik bersih dan pemantapan integriti politik dalam kalangan ahli politik dan juga parti-parti politik.
"IIM juga bercadang mengendalikan kursus pemantapan integriti politik yang berfokus kepada pemahaman sistem politik, perlembagaan, peranan institusi politik, cabaran integriti politik dan dasar awam negara.
“Negara ini amat memerlukan kepimpinan politik yang berintegriti tinggi. Sehubungan itu, nilai-nilai murni seperti amanah, bertanggungjawab, benar, telus, boleh dipercayai, jujur dan ikhlas adalah amat perlu dalam jiwa pemimpin untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada negara dan bangsa”, kata Dr Mohd Tap.
-MK
Tuesday, May 29, 2012
IIM sokong SPRM tapis semua calon PRU13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
x perlu! SPRM adalah barua UMNgOk, silap2 calon pembangkang lagi yg disabotaj dgn pelbagai laporan/tuduhan yg bukan2...
ReplyDelete