Thursday, April 18, 2013

PAS Kedah Bergolak, Bakal Tumbang?

Pengumuman calon PAS Kedah bagi kerusi parlimen dan DUN malam tadi sudah pasti amat ditunggu-tunggu oleh banyak pihak termasuk pemerhati politik tanah air.

Pengumuman yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Datuk Seri Azizan Razak itu juga memperlihatkan kejutan termasuk mengundang dakwaan pelbagai pihak 'cubaan membunuh' kerjaya politik dua doktor perubatan yang menjadi wakil rakyat terbaik sama ada di DUN atau parlimen.

Tindakan PAS menyenaraikan semula Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ismail Salleh mungkin sedikit melegakan penyokongnya di negeri itu.

Namun mempertaruhkan beliau di kerusi parlimen Jerlun dianggap banyak pihak sebagai usaha 'memancungnya' di situ, apabila beliau bakal berdepan tentangan Setiausaha Umno Kedah Datuk Othman Aziz.

Dr Ismail adalah yang dipertua PAS Alor Setar dan menjadi wakil rakyat Alor Mengkudu dalam pilihan raya umum lalu. Tempat beliau kini digantikan dengan Ketua Pemuda PAS Kedah Ahmad Yahya.

Pemerhati politik melihat tindakan PAS itu sebagai 'pelik bin ajaib' kerana sokongan terhadap Dr Ismail telah 'mengakar' di situ, tetapi dipindahkan ke kawasan baru walaupun rakyat Kedah mungkin maklum namanya.

Sebelum ini, desas-desus bertiup kencang apabila seorang lagi timbalan pesuruhjaya Datuk Phahrolrazi Zawawi akan diletakkan di kerusi tersebut.

Tetapi, dengan pengumuman tersebut berakhir misteri nasib beliau - antara pemimpin yang dianggap 'kritikal' terhadap pentadbiran Azizan - untuk dipindahkan ke Jerlun.

PAS memutuskan untuk mengekalkan Phahrolrazi mempertahankan kerusi Pengkalan Kundor yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lalu.

Persoalan yang timbul, apakah faktor yang menyebabkan berlaku perubahan calon di Jerlun yang sebelum ini ura-ura diberikan kepada Phahrolrazi, kemudian melepaskan 'baton' itu kepada Dr Ismail.

Apakah disebabkan desakan dan tekanan akar umbi menyebabkan PAS memutuskan untuk mengekalkan Phahrolrazi di DUN Pengkalan Kundor bagi meredakan 'pergeseran dalaman' dan menyerahkan kepada Dr Ismail yang sebelum ini dikatakan tiada kerusi untuknya.

Atau apakah usaha itu dilihat untuk 'membisukan' terus suara Dr Ismail dengan meletakkannya di kubu kuat BN - yang sebelum ini beliau dilihat 'tidak sebulu' dengan Azizan sehingga enggan dilantik semula menjadi exco kerajaan.

Dan apakah alasan yang terkuat untuk meletakkan ustaz muda - Ahmad Yahya - di Alor Mengkudu yang dianggap banyak pihak tidak mempunyai akar umbi sekaligus mensia-siakan peranan dan pengaruh Dr Ismail selama ini di kubu kuatnya.

Apakah kerana Ahmad dianggap oleh banyak pihak sebagai 'calon MB kita' menyebabkan Dr Ismail terpelanting nun di Jerlun. Atau wujudnya usaha 'mencantas' semua yang dianggap 'tidak sebulu' dengan 'warlord' PAS di Kedah.

PAS negeri boleh memberi seribu satu alasan, tetapi barang diingat perasaan dan semangat 'lillahi taala' jentera parti yang berpanas dan berembun perlu diambil kira bagi memenangkan calon pilihan mereka di peringkat kawasan dan cawangan.

Pemerhati politik melihat pengaruh Dr Ismail yang juga bekas exco Kedah diperlukan bagi membantu calon PKR merampas kerusi parlimen Alor Setar yang dimenangi tipis oleh menteri kabinet Datuk Seri Chor Chee Heung dengan majoriti 189 undi sahaja pada PRU 2008.

Namun begitu menjawab persoalan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri Mohamad Yusof Husin menjelaskan keputusan meletakkan Dr Ismail diputuskan oleh PAS Pusat yang menurutnya, Dr Ismail patut diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Ini kehendak PAS pusat. Beliau patut berada di parlimen. Beliau menang di Alor Mengkudu dan mungkin berdasarkan kepentingan tersebut, beliau perlu diangkat di parlimen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Ditanya sama ada tanggapan meletakkan PAS meletakkan Dr Ismail di parlimen itu dianggap mahu 'membunuhnya', Mohamad Yusof menolak dakwaan itu kerana "sokong parti itu ada di mana-mana dalam negeri itu".

"Penyokong PAS ada di mana-mana sahaja. Kita pernah menang parlimen Jerlun pada 1999. Tapi pada 2008 kita kalah kerana Mukhriz bertanding dan Dr Mahathir pun berkempen.

"Sekarang ini berbeza, di atas kertas kita tidak begitu sukar untuk menang. Kalau kita berjaya sedikit dan gelombang tambahan, mungkin Ayer Hitam (dipertahankan) dan Kota Siputeh dapat dekat kita," katanya.

Mengulas keputusan parti meletakkan Ahmad Yahya menggantikan Dr Ismail di Alor Mengkudu, Mohamad Yusof berkata kerajaan Pakatan memerlukan sumbangan beliau untuk membantu kerajaan negeri dan parti.

Persoalan kedua yang timbul lagi, ke mana hilangnya Dr Mohd Hayati yang berkhidmat dengan cemerlang di parlimen Pendang sebelum ini. Beliau hilang begitu sahaja 'tanpa kubur' dan tiada sebarang kerusi untuknya.

Sebelum ini diura-urakan bertanding di DUN Sungai Tiang, kini tidak disenaraikan terus dalam saf calon yang yang bertanding pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Apakah Dr Hayati dianggap tidak mampu mempertahankan auranya sekurang-kurangnya di dua DUN dalam parlimen Pendang. PAS memutuskan untuk meletakkan di Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di Pendang.

Manakala PAS mempertaruhkan Fadzil Baharom di Sungai Tiang dan mengekalkan Datuk Mohamed Taulan Rasul untuk mempertahankan kubu kuatnya di DUN Tokai. Nama Dr Hayati tidak disebut langsung.

Menjawab perkara berbangkit itu, Mohamed Yusof berkata Dr Hayati dengan 'rela hati' menyerahkan kerusi tersebut kepada timbalan presiden.

Malah, kata Mohamed, parti juga memberi 'hint' mengenai laluan sukar yang ditempuhinya jika beliau bertanding di Sungai Tiang khususnya berdepan dengan masyarakat Siam.

"Dia kata tak apa, tak tanding bagi laluan kepada orang lain. Lagi pun dia ada kerja lain, (beri) tumpuan kepada kliniknya," katanya.

Di DUN Tokai, parti dan kerajaan negeri Pakatan memerlukan khidmat dan pengalaman Mohamed Taulan yang mempunyai hubungan baik dengan pegawai tadbir kerajaan negeri dan membanti Azizan menyelesaikan masalah pentadbiran, kata Mohamed Yusof.

Seorang lagi doktor yang juga bekas exco Dr Hamdan Khalib pula dilaporkan digugurkan dalam senarai calon untuk mempertahankan kerusi DUN Tanjong Dawai yang dimenanginya dengan majoriti 79 undi pada 2008.

Mohamad Yusof yang pernah ditahan ISA bagaimanapun menjelaskan Dr Hamdan mahu menarik diri dan tidak mahu dicalonkan dalam pilihan raya umum ini tetapi akan membantu parti dan kerajaan. -MK

39 comments:
Write comments
  1. awas rakyat kedah! jangan biarkan KEDAH jatuh sesekali di tangan muka 2 perompak sama ada yg BARU mahupon yg lama..

    ReplyDelete
  2. PAS bukan UMNO yg sanggup bunuh membunuh kerana perebutan kuasa dan pangkat...dan PAS tak mungkin jadi seperti UMNO yg memboikot calon PAS yg dipilih oleh Pusat....apa yg berlaku media cuba menjadi batu api dan mensensasikan setiap rungutan sorang dua ahli PAS utk diperbesarkan seolah PAS sedang bergolak.. itu kerja mereka selama ni dan jika dinilai.. boleh dikatakan berjaya kerana ramai pemimpin terperangkap dlm jerat media pro UMNO itu...tapi aku percaya pengundi akan memilih PAS yg lebih dekat dihati dari UMNO yg menyakitkan hati....

    ReplyDelete
  3. Kena bijak mengatur strategi & taktik. Mungkin apa yg dIlakukan oleh datuk seri azizan ada rasionalnye sendiri. Apapun, disamping menggunakan usaha & taktik yg ada, kita kena gunakan senjata yg paling ampuh, itulah senjata tawakkal pd Yg Maha Berkuasa. Usaha, do'a & tawakkal, insya-Allah diharap berjaya kekalkan kedah dibawah PAS/PR...

    ReplyDelete
  4. pemimpin pas... letak je mana-mana... tak ada masalah... pemimpin pas tidak takut kepada kekalahan...tu sebab letak la kat mana pun... mereka tetap terima amanah itu... kagum dengan pemimpin pas... besza sungguh dengan pemimpin umno yang nak duduk kat kerusi paling selamat

    ReplyDelete
  5. kalau takut beralih kawasan bertanding jangan masuk politik, sepatutnya kita mesti berani lawan tetap lawan, kalah menang adat pertandingan, merepek kat media buat apa

    ReplyDelete
  6. Adakah tumbang Dr Azizan selepas mengadap Agong ada kaitan dengan peruntukan membaiki jalan raya persekutuan yang berjumlah RM150 juta yang masih belum digunakan untuk membaiki jalan raya tetapi disalurkan kepada jentera PRU13 PAS di Sibuti? Sekarang mana nak cari RM150 juta ganti balik, wang untuk PRU13 pun tidak cukup lagi ni? Mungkin itulah sebabnya Aljuburi ke Amerika hari ini untuk meminta dana daripada penyokong Israel?

    ReplyDelete
  7. Baru-baru ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak, menyatakan kepada media bahawa dia masih lagi mampu memerintah negeri itu dan tidak perlu digantikan dengan orang lain. Dia mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mentadbir negeri itu dengan profesional.

    ReplyDelete
  8. Selain itu, katanya Kerajaan Pas Kedah tidak perlu berhutang dengan Kerajaan Pusat untuk membayar gaji kakitangan awam di bawah Kerajaan Negeri itu. Pendeka kata, dia sememangnya hebat, walaupun akhirnya dalam sidang media itu dia meminta “simpati” dari rakyat memandangkan dia baru saja sepenggal memerintah Kedah.

    ReplyDelete
  9. Dia membuat kenyataan itu apabila Datuk Mukhriz memintanya mempertimbangkan supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan menyerahkannya kepada Datuk Ir. Amiruddin Hamzah. Desakan itu dibuat memandangkan status kesihatannya yang sering terjejas sejak kebelakangan ini.

    ReplyDelete
  10. Selain itu, bekas Mufti Perlis yang selalu cuba mencari publisiti, Dr. Asri, yang dilihat seolah-olah condong kepada pro-liberal, memerli Azizan Razak menyatakan bahawa tiada sebarang perubahan untuk memartabatkan Islam di Kedah berbanding dengan apa yang berlaku di Kelantan.

    ReplyDelete
  11. Pertamanya, pada pandangan saya, cara Azizan Razak menjawab desakan Mukhriz itu menunjukkan bahawa dia tidak profesional. Mukhriz meminta dia meletak jawatan kerana di tidak sihat dan bukannya menuduh Azizan sebagai tidak profesional atau sebaliknya. Orang lain ambil berat mengenai kesihatannya, dia pula nak melenting. Profesionalkah begitu?

    ReplyDelete
  12. Keduanya, Azizan menyatakan dia tidak berhutang dengan Kerajaan Pusat untuk membayar gaji kakitangan awam negeri Kedah. Memang benar. Namun, apa yang dimaklumkan kepada saya, Azizan telah menyalahgunakan wang yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM150 juta setahun yang sepatutnya digunakan untuk memperbaiki jalan persekutuan di negeri itu.

    ReplyDelete
  13. Namun, dikhabarkan sebahagian besar wang tersebut telah digunakan untuk membayar gaji para kakitangan awam negeri itu. Perkara ini sememangnya diketahui oleh ADUN-ADUN Barisan Nasional tentang bagaimana Kerajaan Pas Kedah itu membuat “rolling” duit peruntukan jalan tersebut. Pengerusi Perhubungan UMNO yang juga ADUN Bakar Bata, Datuk Bahshah Hanipah, pernah mengutarakan persoalan “kehilangan” duit peruntukan dari Kerajaan Pusat itu.

    ReplyDelete
  14. Namun, Kerajaan Pas Kedah berdolak dalik dalam memberi jawapan dan memberitahu bahawa wang tersebut masih ada. Namun sampai sekarang, Kerajaan pimpinan Azizan Razak masih gagal membuktikan bahawa wang tersebut masih ada di dalam akaun Kerajaan Negeri. Apakah ini yang dikatakan “profesional” oleh Azizan?

    ReplyDelete
  15. Ketiganya, saya kurang bersetuju dengan kenyataan Dr. Asri itu. Memang benar Azizan tidak buat apa-apa yang memartabatkan Islam di Kedah. Namun, Nik Aziz, meskipun sudah berpuluh-puluh tahun mentadbir Kelantan, hanya sebuah masjid saja yang mampu dibinanya. Sedangkan rumah ibadat agama lain dan patung-patung berhala menjadi keutamaaan Kerajaan pimpinan Tok Guru itu.

    ReplyDelete
  16. Apa yang Tok Guru buat di Kelantan untuk memartabatkan Islam hanyalah menaikkan papan tanda yang memaparkan aurat muslim dan muslimah, serta larangan membuat maksiat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Malangnya, meskipun sudah berpuluh tahun dasar papan tanda itu dilaksanakan, aurat muslim dan muslimah di negeri Kelantan masih lagi terdedah di sana sini.

    ReplyDelete
  17. Malah, statistik yang dikeluarkan oleh Majlis Aids Malaysia baru-baru ini membuktikan Nik Aziz gagal membendung gejala maksiat melalui papan tandanya. Kelantan masih lagi menjuarai carta penghidap HIV di negara ini untuk tiga tahun berturut-turut, hatrik! Justeru itu, bolehkah kita katakan bahawa Nik Aziz melakukan sesuatu yang memartabatkan Islam di Kelantan berbanding Kedah?

    ReplyDelete
  18. Saya melihat, apa jua dasar yang dilaksanakan oleh Pas sama ada di Kedah atau Kelantan, adalah sangat kurang keberkesanannya. Dasar memang dilaksanakan, namun tidak mendatangkan sebarang hasil. Ini membuktikan ketidakcekapan Pas dalam pentadbiran secara menyeluruh.

    ReplyDelete
  19. Jika tumpu pada ekonomi, sosialnya akan tercicir. Jika tumpu pula pada sosial, ekonominya jatuh merudum. Dan jika ditumpu pula pada spiritual, makin teruk pula moral dan akhlak mereka. Jika tidak, takkanlah rumah pelacuran yang kurang 1 kilometer dari Pejabat Menteri Besar Kelantan pun Nik Aziz boleh tak tahu!

    ReplyDelete
  20. Justeru itu, Azizan tidak perlulah meminta simpati dari rakyat untuk mengasihaninya. Jika tidak mampu tadbir, mengaku sajalah dan berilah kuasa tersebut untuk ditadbir orang lain. Kalau jatuh tersungkur nanti siapa yang malu? Azizan mahu surat khabar melaporkan berita dimuka depan “Menteri Besar Kedah jatuh tersungkur dalam selut”? Bukan apa, UMNO sebenarnya “tak sanggup” Azizan Razak dimalukan sebegitu…

    ReplyDelete
  21. Barisan Nasional (BN) dijangka akan kembali menakluki Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13, terutama di kawasan marginal di mana pengundinya kurang daripada 65% adalah pengundi Melayu.

    ReplyDelete
  22. Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Media dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia, (UUM), Syamsul Anuar Ismail berkata, hasil simulasi terakhir menunjukkan BN akan memenangi lebih 2/3 kerusi di Kedah dengan majoriti tipis di beberapa kawasan.

    ReplyDelete
  23. Hasil kajian 4 fasa di 6 dun kawasan ‘hitam’ bagi BN, BN boleh kuasai semula kawasan seperti Sungai Petani, Merbok dan Padang Serai. Tapi peralihan sokongan India dan Cina kalau pada saat akhir pula akan kembalikan BN kepada keputusan pilihanraya seperti tahun 2004,” kata Syamsul.

    ReplyDelete
  24. Kajian dijalankan bermula awal 2011 sehingga Januari 2013 di bawah Pengerusi Kluster Politik dan Hubungan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

    ReplyDelete
  25. Menurut Syamsul corak pengundian di Kedah dilihat lebih tertumpu kepada pengundi yang pertama kali mengundi menyebabkan masing-masing, BN dan Pakatan Rakyat (PR) ada kelebihan untuk menang.

    ReplyDelete
  26. Mood orang Kedah memang dah bersedia bila nak pilihan raya, mereka sedang menunggu. Kajian daripada Syed Arabi dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga menunjukkan orang (pengundi) nak imej segar dan muda. Calon kitar semula mereka tak nak, wakil rakyat kena bagus dan diterima oleh pengundi.

    ReplyDelete
  27. Oleh kerana itu, pengundi di Kedah pasti akan memilih calon yang dikatakan ‘segar’ itu selain mempunyai latar belakang yang lebih menyakinkan bagi menjadi calon yang sesuai mewakili Kedah.

    ReplyDelete
  28. Kita yakin Mukhriz (Datuk Mukhriz Mahathir) adalah paling disukai pengundi bagi jawatan Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana kajian menunjukkan pengundi cenderong kepada pemimpin yang amanah, mudah dihubungi dan sering bersama rakyat,”

    ReplyDelete
  29. “Kalau kita tengok, Muhkriz melalui program NGO dia, politiknya ada imej baik. Kalau PAS masih letak Azizan dan UMNO cadangkan Mukhriz, PAS akan kalah. Mukhriz ada potensi untuk jadi Menteri Besar Kedah,” tambahnya.

    Justeru, dalam usaha kedua-dua parti untuk memenangi hati pengundi baru, Syamsul mencadangkan BN dan PR menggunakan media baru.

    ReplyDelete
  30. Kita jangkakan media baru Twitter, blog, Facebook dan Youtube akan mencorak pengundi muda, walaupun banyak info (maklumat) yang tak betul, fitnah dan sebagainya. Ini akan jadi bahan maklumat yang tinggi kepada golongan muda, dan mereka ini bergantung kepada media baru kerana lebih dekat mereka.”

    ReplyDelete
  31. Kerana apa? Sebab semua ini boleh diakses dengan cepat dalam mudah dikongsi. Politik ini persepsi bukan fakta, dia mudah dapat benda sensasi, itu sebenarnya disukai oleh pengundi. Contohnya akhbar tabloid lebih disukai berbanding akhbar arus perdana,” katanya.

    ReplyDelete
  32. Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kerajaan Barisan Nasional yang memerintah negara selama ini menjaga kebajikan kepada rakyat.

    ReplyDelete
  33. Katanya, kerajaan memerintah melaksanakan pelbagai program berteraskan kebajikan seperti membina masjid, membantu golongan miskin, membina stadium dan sebagainya.
    “Kita tidak nafikan apa yang dilakukan kerajaan BN untuk kebajikan rakyat,” katanya.

    ReplyDelete
  34. BN kini mempunyai peluang untuk menentang berikutan Pakatan Rakyat dilemahkan oleh persaingan sesama sendiri secara dalaman.

    ReplyDelete
  35. Bagi PRU-13, Kedah bukan hanya melihat pertembungan antara calon BN yang berpotensi dijadikan sebagai Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini memegang jawatan itu, malah ia turut dapat menyaksikan di kalangan atas pagar untuk mengubah undi.

    ReplyDelete
  36. Hal lain adalah undi rosak di Kedah yang terpaksa diambil kira pada pilihan raya umum yang lepas, apabila semua kawasan parlimen dan DUN yang mencatatkan sejumlah undi rosak.Dalam kes tertentu, undi rosak jauh melebihi dari kiraan undi majoriti.

    ReplyDelete
  37. Ianya mempunyai kaitan untuk parti-parti politik untuk mendengar rungutan bagi mengalihkan cubaan sejumlah besar merosakkan undi yang boleh mengubah keputusan.BN Kedah pada pilihan raya umum 2008 dilihat mengabaikan tanda-tanda ketara yang menunjukkan berlakunya perubahan sentimen rakyat.

    ReplyDelete
  38. Kali ini, pimpinan Pakatan Rakyat dikatakan akan membuat kesilapan yang sama dengan mengabaikan tanda-tanda kecemasan.Antara tanda-tanda yang paling jelas ialah tidak ramai yang hadir pada ceramah Pakatan Rakyat, terutama di kawasan majoriti orang Melayu.

    ReplyDelete
  39. Umno dan PAS merupakan barisan hadapan dalam politik Kedah, dengan kedua-duanya menjadi parti utama, masing-masing dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.