PAGI tadi, saya berpeluang berinteraksi dengan ahli akademi dan pelajar komunikasi dari lima buah universiti awam bagi membincangkan tajuk Media Massa: Antara Demokrasi dan Anarki
Saya amat gembira dengan reaksi mereka terhadap pembentangan saya, terutama sekali dengan ulasan dan pertanyaan mereka.
Wacana itu dianjurkan bersama oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Press Forum of Asia (PFA) bertempat di Hotel Royal Bintang, Damansara, bagi meraikan anugerah Tokoh Wartawan Negara yang saya terima 16 Julai lalu.
Dalam pembentangan itu, saya memetik tulisan Prof Gordon Graham, Universiti Aberdeen, Scotland, bagi mentakrifkan anarki.
Graham, antara lain, menulis (dengan izin): “The word 'anarchy' in understood in two ways, one positive and one negative. In the positive use, the way in which celebrated anarchists such as Proudhon and Kropotkin used it, anarchy is absence of government, and for that reason freedom from the coercive power of the state. The negative and more commonplace use of anarchy also denotes the absense of government, but precisely for that reason, it is thought of as a condition of lawlessness and chaos. In short, anarchy - society without the state - can be regarded as an ideal or as a danger.”
Saya mulakan dengan bertanya: “Di mana letaknya media massa, khasnya media massa Malaysia, dalam konteks amalan demokrasi dan kecenderungan kepada anarki sekarang?”
Kalau kita ikut definisi di atas, media massa boleh menjadi agen demokrasi dan boleh juga menjadi agen anarki.
Orang yang menentang kerajaan atau tidak mahukan kerajaan (anarkis) tentu menuduh media massa anarkis kalau media massa menyokong atau memihak kepada pemerintah. Sebaliknya, kalau media massa memihak atau menyokong mereka, mereka tentu berkata media demokratik.
Kalau sebelum ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT), media tradisional berkuasa mutlak dan babas memilih siapa yang hendak disokong, siapa yang hendak ditentang dan di mana hendak berkecuali.
Tetapi, bermula dengan era ICT dengan Internet sebagai pemangkin dan pendaya/pemboleh (enabler), pada tahun 1960 dan menjadi menular pada awal 1990an, monopoli maklumat dan propaganda oleh media tradisional, khasnya kelompok arus perdana, mula pecah.
Anjakan ICT/Internet Di Malaysia
Ironi, di Malaysia (Tun) Dr Mahathir Mohamad mempelopori revolusi ICT dengan penubuhan Koridor Raya Multimedia dan menjamin kebebasan alam siber, tetapi yang memanfaatkannya pada akhir 1990an aadalah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sekepas beliau dipecat daripada kerajaan dan sekali gus hilang kawalan ke atas media arus perdana. Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar menjadi komisar media massa.
Dalam perang besar media berikutan pemecatan Anwar itu, media digital mendapat anjakan radikal. Ia mula menyerang media arus perdana (MAP) yang sebelum itu kebal. Laman-laman web pro-Anwar (Maha Zalim, Maha Firaun) menggambarkan MAP sebagai “anarchic” manakala pihak-pihak tertentu dalam MAP pula melihat jaminan kebebasan alam siber sedang digunakan secara “anarchic.”
Kesilapan besar pemerintah dan MAP ialah memperkecil dan mempersendakan kemampuan media digital, terutama pada zaman (Tun) Abdullah Ahmad Badawi apabila MAP ditegah memetik daripada blog manakala blogger diberi pelbagai jolokan menghina seperti goblok, penembak curi dan “monkey” (monyet).
Apa yang mereka tidak sedar ketika itu ialah maki-hamun mereka itu membantu membangkitkan keinginan masyarakat untuk mengetahui siapa atau apa bendanya goblok, penembak curi dan “monkey” itu. Menjelang Pilihan Raya Umum 2008, media alternatif yang dipacu oleh Internet sudah memperoleh nyawa dan rohnya sendiri, dan digunakan dengan luas dan berkesan oleh pembangkang.
Unsur-Unsur Anarki Media
Kita tidak dapat menafikan lagi bahawa unsur-unsur anarki sudah mula muncul dalam media massa kita, khasnya yang berasaskan Internet.
Pendemokrasian masyarakat melalui Internet melahirkan apa yang dipanggil kewartawanan warga atau citizen journalism di mana orang biasa bertindak sebagai perakam, pemaklum dan pengulas – umumnya tanpa dikawal atau diupah oleh sesiapa.
Hasil pacuan teknologi komunikasi digital yang pantas dan umumnya murah atau percuma, warga menjadi pewarta. Tetapi, kerana mereka tidak terlatih mengenai selok-belok kewartawanan, tidak arif mengenai undang-undang dan etika serta terlalu ghairah, mereka mentakrifkan kebebasan secara literal. Maka timbulkan unsur-unsur anarki dalam komunikasi digital.
Prof. Graham menulis: “Since the authority of the state, though not identical with its power, indirectly rests upon that power, the potential for the internet to diminish the power of the state by creating spheres of activity indifferent to it, is at the same time a potential to diminish the authority of government. It is for this reason that an anarchist might welcome it.”
Pengkaji dan cendekiawan Barat telah memperkenalkan istilah “cyber anarchy or crypto anarchy”. Apakah Julian Assange, pengasas Wikileaks, seorang cyber anarchist atau Cyber Angel – anarkis siber atau malaikan siber?
Unsur-unsur anarki media ini sudah pun jelas di Malaysia. Kita sudah lihat bagaimana pemilik portal berita, blogger dan pemegang akaun Facebook serta Twitter, secara terang-terangan berbohong, memutarbelitkan fakta dan enggan mengamalkan hak menjawab (right of reply). Ini bukan sahaja berlaku dalam gelanggang Internet, tetapi mula menular menjangkiti media tradisional dan arus perdana.
Korupsi dan Komersialisasi Alam Siber
Tetapi, seperti apa juga penemuan sains, teknologi dan kegiatan manusia, media Internet dan kewartawanan warga sudah mula dikorupsikan. Blog, akaun Facebook dan Twitter sudah dikorupkan oleh politikus dan kapitalis. Hari ini, ada lebih banyak blog upahan daripada blog peribadi.
Di Malaysia, banyak blogger yang pada awalnya bebas, berkecuali atau anti-golongan yang berkuasa (anti-establishment) kini tidak bebas dan tidak berkecuali lagi. Malah ada yang sudah bertukar menjadi pro-establishment. Ada antara mereka kerana pilihan ideologi dan banyak juga kerana pertimbangan ekonomi.
Kesimpulan
1. ICT memberi kesan mendemokrasikan maklumat;
2. Telah memecahkan monopoli media tradisional/arus perdana ke atas maklumat dan pendiayahan;
3. Jaminan kebebasan siber dan kesukaran kawalan fizikal mendedahkan penyebaran maklumat siber kepada berbagai bentuk korupsi;
4. Anarki siber atau anarki kripto sudah menjadi sebahagian daripada landskap komunikasi massa;
5. ICT dan Internet sudah mula melahirkan satu generasi tanpa sempadan, tanpa wajah yang sangat terdedah kepada “hearsay” – cakap mulut;
6. Mengancam segala bentuk kuasa atau autoriti, termasuk agama;
7. Akan memainkan peranan yang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang berbanding PRU 2008. Kalau dalam PRU 2008, penggunaan Internet dimonopoli oleh pembangkang, kini parti-parti pemerintah juga cergas menggunakan media alternatif; dan
8. Dikhuatiri banyak pemilih tidak akan keluar mengundi kerana keliru manakala yang keluar mengundi pula akan membuat pilihan tanpa kefahaman yang jelas dan mendalam.
http://kadirjasin.blogspot.com
Sunday, October 21, 2012
Ciri Anarki Dalam Media Massa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.