Friday, October 19, 2012

Kebakaran dekat Semporna, 611 hilang tempat tinggal

Seramai 611 orang hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang memusnahkan 81 rumah di Kampung Selamat, dekat Semporna hari ini.

Pengawai Bomba dan Penyelamat Semporna Mohd Razali Ag Ahmad berkata kebakaran itu turut menyebabkan lima penduduk kampung berkenaan cedera ringan.

"Kelima-lima mereka dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan," katanya ketika dihubungi di Semporna.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 11.41 pagi.

Dua jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna dengan bantuan sebuah jentera dan 12 anggota dari balai Tawau dan dua jentera utiliti bersama tujuh anggota dari Kunak, berjaya mengawal kebakaran pada pukul 1.50 petang.

"Ketika tiba di lokasi, api sedang marak dan merebak dengan cepatnya. Kami berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada pukul 3.53 petang," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati jumlah kerugian yang dialami ialah kira-kira RM938,000.

Kampung Selamat yang terletak di pinggir pekan Semporna merupakan satu daripada perkampungan yang padat di daerah ini.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN Senallang Datuk Seri Nasir Tun Sakaran yang ditemui selepas melawat lokasi kejadian, berkata beliau telah meminta jawatankuasa bencana alam Semporna untuk bertindak segera membantu mangsa kebakaran.

Selain ditempatkan sementara di Dewan Masyarakat Semporna, keperluan lain seperti makanan juga akan disalur kepada mangsa, katanya.

- Bernama

7 comments:
Write comments
  1. takziah kepada mangsa, moga nasib mereka dibela.

    ReplyDelete
  2. Diharap pihak berkuasa dapat membantu mangsa

    ReplyDelete
  3. Kesian mangsa kebakaran tu

    ReplyDelete
  4. Besarnya kerugian dalam kebakaran ni

    ReplyDelete
  5. Rumah dibina terlalu dekat, api pun merebak dengan cepat.

    ReplyDelete
  6. Mesti ada rumah warga asing ni..

    ReplyDelete
  7. Mujur tiada yang terkorban/ alami kecederaan teruk.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.