Tuesday, September 27, 2011

Apa dan mengapa ISA zalim?

http://loyarburok.com/wp-content/uploads/2010/07/ISA.jpg?6949c1RAKYAT Malaysia dihidangkan dengan berita indah kbahar dari rupa dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kononnya mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Meskipun disambut baik oleh pelbagai pihak, namun ISA masih adalah satu daripada tiga undang-undang utama di negara ini yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Undang-undang yang bakal menggantikan ISA juga dibimbangi akan mengekalkan roh ISA, malah bakal diperhebatkan lagi dengan gambaran ianya seperti Patriot Act (Akta Patriot) yang diamalkan Amerika Syarikat.

Apa itu ISA?

ISA adalah suatu akta yang memiliki kuasa penangkapan dan penahanan yang begitu luas dan sewenang-wenangnya itu. ISA di antara tiga undangundang di negara ini yang paling digeruni dan dibenci di negara ini.

Akta yang digubal pada 1960 merupakan sebuah undangundang penahanan pencegahan yang berkuatkuasa di Malaysia.

Sebarang individu boleh ditahan oleh pihak polis sehingga 60 hari tanpa sebarang perbicaraan berdasarkan pertuduhan melakukan tindakan yang diandaikan mengancam keselamatan negara.

Setelah tamat tempoh 60 hari, individu tersebut boleh terus ditahan selama dua tahun sepanjang suatu tempoh bergantung kepada arahan Menteri Dalam Negeri, yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan tersebut berlanjutan terus-menerus.

Pada tahun 1989, pindaan terhadap akta tersebut telah menggariskan bahawa keputusan serta kuasa Menteri di bawah akta tersebut adalah bebas dari kajian semula kehakiman.

Sebelum ISA, Ordinan Darurat 1948 – 1960 telah diisytiharkan oleh pihak British bagi menangani pemberontakan komunis.

ISA berkuatkuasa pada 1 Ogos 1960 Kerajaan Malaya telah menggubal ISA bagi menyambung Ordinan Darurat 1948 hanya untuk menangani ancaman pemberontakan komunis.

Setelah diperkenalkan pada tahun 1960, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman, telah memberi jaminan di Parlimen bahawa akta tersebut akan digunakan secara bertanggungjawab dan hanya terhadap komunis, pengganas dan anasir subversif.

Pemberontakan komunis telah berakhir secara rasmi pada tahun 1989 apabila Perjanjian Keamanan Haadyai ditandatangani.

Menyedari setiap negara perlu mempunyai undangundang penahanan pencegahan bagi melindungi keselamatan dalam negeri, namun ISA walaupun pada asasnya bersifat demikian, namun amalannya sering tersasar.

Ianya sering menjadi ‘alat’ untuk kerajaan mengekalkan kuasa politik.Pada tahun 1989, begitu ramai pemimpin pembangkang ditahan dalam Operasi Lalang walaupun pertelingkahan berlaku antara Umno dan MCA.

ISA kekal sebagai tunjang bagi kuasa untuk penahanan secara sembarangan tanpa perbicaraan yang ada pada Eksekutif ISA telah seringkali digunakan terhadap individu yang mengkritik kerajaan serta memperjuangkan serta mempertahankan hak asasi manusia.

Akta tersebut merupakan sebuah alat yang dikekalkan oleh pihak kerajaan meskipun selepas ini namanya ditukarkan kepada dua lagi undang-undang lain selepas ianya bakal dimansuhkan pada sidang Parlimen Oktober 2011.

Ribuan rakyat termasuk ahli kesatuan pekerja, pemimpin mahasiswa, aktivis pekerja, aktivis politik, kumpulan keagamaan, ahli akademik, dan aktivis NGO telah ditahan di bawah ISA.

Ada di kalangan aktivis politik pada masa lalu telah ditahan lebih dari satu dekad lamanya.

Selain daripada pencabulan hak asasi yang telah dialami oleh tahanan, ISA mempunyai kesan menakut-nakutkan rakyat.

Pasca 1989, ISA telah digunakan bagi menyekat aktiviti-aktiviti politik, akademik dan sosial yang aman serta membendung kritikan membina dari NGO serta kumpulan pendesak.

ISA menyebabkan pertengangan politik, dan perbezaan dasar tersekat, malah ianya menjadi ‘barah’ yang memandumkan amalan demokrasi.

Sejak Ogos 1960, seramai 10,662 orang telah ditahan di bawah pelbagai undang-undang pencegahan.

4,139 orang telah ditahan di bawah ISA.

2,066 orang telah dikenakan sekatan terhadap kawasan bermastautin serta aktiviti harian mereka.

12 orang telah dijatuhkan hukuman mati bagi kesalahan di bawah ISA antara tahun 1984 hingga 1993.

Tokoh dianiaya

Antara pemimpin politik yang pernah merasai penderitaan ISA ialah, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden, Dato’ Mahfuz Omar; ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad; Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dan pemimpin berhaluan kiri yang lain.

Sementara pada tahun 1998, ISA lebih terarah kepada kumpulan yang menolak pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan yang digelar Reformasi

Antaranya, Ezam Mohd Noor; Lokman Noor Adam; Saari Sungip; Dr Badrol Amin Bahron; Hishamuddin Rais; Tian Chua dan Badaruddin Ismail (Pak Din).

Sementara pasca 1998, kelompok aktivis Jemaah Islamiyah (JI); Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM) dan Darul Islam (DI) pula menjadi sasaran.

Pihak yang paling menderita akibat ISA ialah isteri (ataupun suami), anak-anak serta ahli keluarga terdekat yang terpaksa berpisah dengan orang tersayang bagi tempoh yang tidak diketahui secara pasti; kebiasannya, individu yang ditahan merupakan pencari nafkah tunggal bagi keluarga.

Anggota keluarga tersebut berhadapan dengan stigma sosial dan dalam banyak kes dipulaukan oleh saudara mara, jiran tetangga serta sahabat handai.

Ahli keluarga mereka yang ditahan juga telah dilaporkan sering ‘diganggu’ oleh pihak berkuasa.

ISA sangat bercanggah dengan rukun-rukun asas perundangan antarabangsa yang antara lain menekankan hak seseorang individu untuk bebas, kebebasan dari penahanan secara sembarangan, hak untuk dimaklumkan tujuan penahanan.

Penahanan ISA juga menghalang hak bagi seseorang individu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, serta hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dan terbuka di mahkamah.

ISA bertentangan dengan hak seseorang individu untuk membela diri beliau dalam sebuah perbicaraan yang adil dan terbuka. Individu yang ditahan boleh dikurung dan disoal siasat selama 60 hari tanpa sebarang akses kepada nasihat undang-undang oleh peguam.

-Detikdaily

12 comments:
Write comments
  1. ISA patut dimansuhkan buat selama-lamanya.

    ReplyDelete
  2. Rakyat tidak lagi memerlukan ISA. Tahanan tanpa bicara ini tidak adil untuk individu yang terlibat.

    ReplyDelete
  3. kini ISA telahpun dimansuhkan.

    ReplyDelete
  4. ISA sudah dimansuhkan dan ianya memang wajar dilakukan..

    ReplyDelete
  5. Yang menghairankan, individu yang sepatutnya masuk ISA tidak pula ditahan. Sedangkan perbuatannya sah2 boleh ancam keamanan negara.

    ReplyDelete
  6. Masih ada pihak yang mengganggap permansuhan ISA adalah gimik politik.

    ReplyDelete
  7. Anon, adakah individu tersebut adalah seperti Ibrahim Ali?

    ReplyDelete
  8. bila yang lama sudah tiada yang baru pasti akan muncul. diharap akta baru tersebut tidak sekejam ISA.

    ReplyDelete
  9. tidak dinafikan bahawa ada keadaan @ kes tertentu di mana ISA adalah baik / penting, ttp apa yg berlaku ialah pihak pemerintah menyalahgunakan kuasa tersebut utk 'mendiamkan' musuh politik n sekaligus menipu rakyat. jeffrey kitingan dituduh bersubahat utk membawa keluar sabah drpd malaysia ttp yg sebenarnya ialah beliau hanya menyuarakan hak 20 perkara sabah.

    ReplyDelete
  10. ISA sudah dimansuhkan maka kita menerima sebaiknya pemansuhan tersebut.

    ReplyDelete
  11. ISa dimansuhkan kerana sudah lapok dan perlu diganti dengan akta baru. Tapi sekurangnya keputusan ini dapat membuktikan bahawa ISA ini bukan akta yang perlu untuk Malaysia. Apa yang akan berlaku kita tidak pasti lagi, kita tunggu pengumuman yang akan diberikan oleh PM nanti.

    ReplyDelete
  12. dibenci dan digeruni kerana menghalang parti2 pembangkang melakukan huru hara..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.