Tuesday, September 27, 2011

Hudud : Kamal Koh Bidas Kenyataan Ahmad Zahid

Golongan yang menolak pelaksanaan hukum hudud telah menolak hak asasi manusia, menafikan hak masyarakat Islam di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Haji Kamal Koh berkata, mereka yang menentang hukum hudud bererti mereka telah menafi dan mencabuli hak asasi masyarakat Islam.

“Kenapa kita mesti mengorbankan hak kita, mengenepikan hak kita semata-mata untuk memenuhi kehendak orang lain,”? soal beliau ketika diwawancara oleh FMT mengenai isu hudud yang menjadi polemik dewasa ini.

Kamal Koh berkata, dalam negara demokrasi, kuasa terletak pada rakyat majoriti dan pendapat majoriti harus didengar dan diikut. Di negara ini, orang-orang Melayu dan Bumiputera yang beragama Islam merupakan penduduk majoriti.

“Seharusnya undang-undang Islamlah yang layak dilaksana dan digunapakai di negara ini, jika kita mengambilkira jumlah penduduk majoriti,” terangnya.

Beliau berpendapat isu hudud ini menyerlahkan masalah keyakinan orang-orang Islam sendiri tentang kelebihan dan kebaikan undang-undang Islam. Mereka mempersoalkan – bolehkah undang-undang ini dilaksanakan di negara ini?

“Ini merupakan krisis keyakinan,” kata beliau sambil membidas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyatakan hukum hudud belum dapat dilaksanakan kerana masalah kesesuaian dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Ujar beliau, “segolongan masyarakat mempunyai persepsi yang negatif dalam menangani hukum hudud kerana peranan media arusperdana yang sering memperlekeh isu ini dan menjadi tanggungjawab kita untuk menukar persepsi negatif ini kepada positif.”

Kamal Koh menyoal, “apabila Allah SWT mewajibkan pelaksanaan hukum hudud, adakah Allah tidak tahu di Malaysia ini terdapat masyarakat majmuk, yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain?

“Adakah Allah tidak tahu tentang perkara ini? Bukankah Allah yang mencipta masyarakat majmuk itu dan Dia juga yang mencipta hukum hudud?,” soal beliau lagi.

Seperti takut hantu

Katanya, sebenarnya mereka yang menentang hukum hudud adalah seperti kata (Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru) Datuk Nik Aziz (Nik Mat), “takut hudud seperti takut hantu.”

“Orang yang tidak faham hukum hudud atau tidak mengenal hantu, akan menentangnya secara membabi buta,” kata Nik Aziz.

Menurut Kamal Koh, penentangan Pengerusi DAP Karpal Singh juga tidak mempunyai asas kerana Nik Aziz mengumumkan bahawa pelaksanaan hukum hudud di Kelantan akan diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sebuah akhbar arus perdana semalam melaporkan bahawa Nik Aziz berkata kerajaan negeri mahu melaksanakan undang-undang itu melalui sistem mahkamah syariah.

Ini ekoran dari sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan juga menurutnya, tidak menghalang pelaksanaan hukum hudud dan qisas seperti mana yang disuarakan oleh pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr. Aziz Bari.

Menurut Aziz Bari, undang-undang Islam termasuk hudud dan qisas boleh dilaksanakan di Malaysia kerana perlembagaan tidak menghalangnya.

Kamal Koh juga mempersoalkan mengenai undang-undang negara yang diterima pakai sekarang ini sebagai warisan dari sistem undang-undang penjajah British.

“Negara kita seolah-olah belum merdeka kerana masih terikat dan terpaksa menerima pakai undang-undang penjajah (yang digubal oleh Lord Reid) yang dianggap sesuai untuk masyarakat majmuk dan undang-undang itu berkuasa (supreme) atas segala-galanya,” tegas beliau.

Kamal Koh juga menyarankan supaya kesedaran politik Islam dipertingkatkan di kalangan orang Melayu-Islam sendiri dan orang-orang bukan Islam juga harus diberi penerangan dan kesedaran tentang betapa indahnya undang-undang ciptaan Ilahi ini.

Nik Aziz pernah menyifatkan undang-undang Islam ini seperti nasi beriani. Orang-orang yang hanya makan nasi biasa tetapi tidak pernah makan nasi beriani tidak akan tahu betapa nikmat dan lazatnya nasi beriani. -FMT

10 comments:
Write comments
  1. Sebaiknya semua warga Islam membuat satu mengundian sama ada setuju ataupun tidak dengan pelaksanaan Hudud ini.

    ReplyDelete
  2. Harap keputusan yang terbaik akan diambil.

    ReplyDelete
  3. lain orang lain pandangannya mengenai pekara ini..

    ReplyDelete
  4. kita perlu faham apa itu hudud yang sebenar. ketidakfahaman mengenai hudud yang menyebabkan ramai salah faham mengenainya.

    ReplyDelete
  5. Kamal Koh menyoal, “apabila Allah SWT mewajibkan pelaksanaan hukum hudud, adakah Allah tidak tahu di Malaysia ini terdapat masyarakat majmuk, yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain?

    So what are you trying to say? Hudud Law is for everyone or Muslim only?

    ReplyDelete
  6. Apa kata orang Muslim di negara ini? Setuju atau tidak dengan hukum ini? Kalau ia dilaksanakan di Kelantan, takut pula ramai yang lari ke negeri lain.

    ReplyDelete
  7. hukum ini terhad kepada orang Muslim saja. penganut lain mempunyai peraturan dan hukum mereka masing2.

    ReplyDelete
  8. Rasanya betul kata Ahmad Zahid, dengan keadaan Negara kita sekarang ini mungkin Hukum Hudud belum sesuai. Memang majmuk mempengaruhi hukum ini. Maksud disini jika hanya orang islam yang mengunakan hukum hudud orang non-Islam bebas dengan hukum negara. Jadi memang tidak adil untuk itu. Maka biarkan hukuman sama rata. Maka undang-undang sekarang ini sudah mencukupi.

    ReplyDelete
  9. Biarlah kerajaan menentukan keputusan mengenai hukum hudud ini. Jika Kelantan mahu melaksanakannya tidak ada larangan. Lebih baik kerana setakat ini Kelantan adalah penyumbang jumlah pesakit HIV dan AIDS terbesar di Malaysia.

    ReplyDelete
  10. kenapa tidak laksanakan saja hukum hudud ini di Kelantan? tidak perlu tunggu lampu hijau dari kerajaan persekutuan kerana kerajaan negeri boleh melaksanakan sesuatu enakmen undang2 hanya dengan perkenan daripada Sultan..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.