Thursday, September 22, 2011

Bekas Atlet Boling SUKMA Dipenjara 5 Tahun

Melaka: Bekas atlet boling Sukan Malaysia (Sukma) negeri, Nor Afizal Azizan, 20, yang sebelum ini dilepaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran RM25,000 atas kesalahan merogol seorang gadis bawah umur tahun lalu, dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin membuat keputusan itu selepas meneliti secara terperinci fakta kes dan keseluruhan hujahan timbalan pendakwa raya (perayu) dan peguam tertuduh (responden) pada prosiding rayuan silang itu.

Beliau turut menegaskan mahkamah perlu berhati-hati menggunakan peruntukan Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah (KAJ) bagi kes rogol.

“Mengikut fakta, kedua-dua pihak iaitu mangsa dan responden sepatutnya dipersalahkan kerana mangsa juga sukarela dalam kejadian rogol ini. Namun, ini kesalahan serius walaupun ada fakta responden seorang atlet Sukma dan punya masa depan cerah, ia tidak cukup untuk mahkamah memberi pertimbangan hukuman mengikut peruntukan Seksyen 294 KAJ.

“Kesalahan Seksyen 376 Kanun Keseksaan ini dilaporkan berlaku setiap hari ketika ini, sebab itu timbul isu buang bayi dan sebagainya.

“Jika mahkamah mengesahkan perintah seksyen berkenaan, bermakna ia mengizinkan kejadian (rogol) berlaku,”katanya.

Ahmad Nasfy berkata, jika mahkamah meneruskan perintah Seksyen 294 KAJ akan menjadi rujukan yang tidak berpatutan (bad president) kepada mahkamah rendah dalam kes berkaitan selepas ini.

“Terpulang kepada mahkamah atasan menimbang keputusan ini. Atas semua sebab dinyatakan ini, saya mengubah keputusan hukuman dan perintah Seksyen 294 KAJ diketepikan dan diganti penjara lima tahun mulai hari ini (semalam),” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin merayu diketepikan keputusan hukuman Mahkamah Sesyen bertarikh 5 Julai lalu dan berhujah atas beberapa faktor, perbezaan umur responden dan mangsa, isu tiada paksaan atau suka sama suka serta status responden sebagai atlet boling bukan ‘tiket’untuk mendapat hukuman ringan.

“Beza umur responden enam tahun dengan mangsa sepatutnya dia lebih matang memikirkan kesan dan akibat perbuatannya. Malah, sebagai pemain boling dia sepatutnya menjaga imejnya dan tidak melakukan perbuatan salah di sisi agama Islam dan undang-undang.

“Selain itu, dia tidak patut menggunakan statusnya untuk dapatkan hukuman rendah.

Adakah semua atlet mesti diberikan peluang seperti responden jika melakukan kesalahan?” katanya.

9 comments:
Write comments
  1. Oleh kerana tersilap langkah, masa depan yang cerah dimusnahkan.

    ReplyDelete
  2. Kerana nafsu, badan binasa.

    ReplyDelete
  3. undang2 dikenakan tanpa mengira status dan kedudukan seseorang. semoga hukuman ini dapat menginsafkan Nor Afizal Azizan.

    ReplyDelete
  4. inilah akibat melakukan maksiat. rosak masa depan.

    ReplyDelete
  5. tidak kira siapa pun, jika melakukan kesalahan memang perlu menerima hukumannya.

    ReplyDelete
  6. Salah tetap salah itulah yang perlu.

    ReplyDelete
  7. tidak perlu ada penjenayah yang diberikan keistimewaan dalam undang2..

    ReplyDelete
  8. " mangsa juga sukarela dalam kejadian rogol ini". Saya tak faham. Kalau sukarela bukan namanya rogol!

    ReplyDelete
  9. Betul sebagai public figure, seharusnya menjaga tingkah laku dan fikirkan tentang masa depan. Jangan hancurkan masa depan dengan berkelakuan seperti itu. Juga saya setuju jangan gunakan pangkat atau pun status, kerana ini tidak adil bagi orang2 biasa yang melakukan kesalahan sama. Salah harus dihukum tidak ada keistimewaan.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.