Thursday, September 15, 2011

GST Lepas PRU, Rakyat Bakal Menderita?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata bahawa kerajaan sedang meninjau kemungkinan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis makan malam Persidangan CEO Global Forbes Ke-11 di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri telah diminta untuk memastikan segala sistem sudah bersiap-sedia. Katanya, isu sekarang ialah masa yang sesuai bagi pelaksanaan berkenaan.

"Kami telah umumkan, secara prinsip bahawa kita akan memperkenalkan GST dan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menubuhkan sistem bagi membolehkan kita untuk melaksanakan ini.

"Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST," kata Najib.

Beliau berkata adalah penting untuk bersedia memandangkan akan terdapat gangguan dan penilaian semula apabila tiba masa pelaksanaannya.

"Saya percaya apabila sesuatu sistem diperkenalkan, tidak kira betapa rapi persediaan dilakukan, tetap akan ada kesilapan dan kelemahan dalam pelaksanaan nanti," katanya.

Najib yang juga menteri kewangan juga mendakwa penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan GST semakin meningkat.

Daripada 12 juta rakyat, hanya 1.2 juta yang membayar cukai, katanya.

"Rancangan kami ialah untuk mengurangkan defisit fiskal kami daripada 5.6 peratus kepada 5.4 peratus tahun ini dan turun kepada kira-kira tiga peratus dalam masa beberapa tahun akan datang. Jadi, apabila kami mngurangkan defisit fiskal kami, akan terdapat lebih keyakinan dalam ekonomi serta kami akan dapat menyaksikan asas yang lebih kukuh di Malaysia," kata Najib.

Sementara itu, Bernama melaporkan pada dialog selama 45 minit itu yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarang dan Pengerusi Forbes Asia, Steve Forbes, Najib juga berkata tindakan afirmatif untuk membantu Bumiputera, yang diperkenal di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dikekalkan.

Bagaimanapun menurut perdana menteri, DEB akan berubah menjadi lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata strategi kerajaan sekarang yang mewujudkan lebih banyak peluang bagi Bumiputera, tanpa mengenakan kuota ke atas kaum lain, juga menarik bukan Bumiputera.

"Apa yang kita dapati ialah cara ini (tindakan afirmatif di bawah DEB), pertamanya, ia tidak popular dengan pasaran; dan keduanya, tidak benar-benar membantu bumiputera.

"Apa yang cuba kita lakukan sekarang ialah mengubahnya; tindakan afirmatif kekal, tetapi ia harus lebih mesra pasaran dan harus lebih berdasarkan merit," katanya.

Mengenai sama ada telah tiba masanya bagi Asean mengkaji untuk memperkenal mata wang baharu, Najib berkata negara-negara Asean akan tetap terbuka kepada idea dalam jangka panjang tetapi pendekatan mestilah terkawal bagi mengelak daripada gangguan dalam pasaran kewangan dan mata wang.

"Saya menerima hakikat bahawa dalam jangka pendek dan sederhana, dolar AS akan terus menjadi mata wang utama antarabangsa dan euro juga akan menjadi mata wang penting. Saya tidak melihat gambaran berubah dalam jangka pendek dan sederhana.

"Tetapi dalam jangka panjang, ia (idea mata wang baharu bagi Asean) masih terbuka. Tetapi biarlah pelaksanaan terkawal supaya kami tidak mengganggu pasaran kewangan dan mata wang," kata Najib.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara pertama menggunakan mata wang tempatan untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan China. -mk

17 comments:
Write comments
  1. GST dilaksanakan selepas pilihanraya? Wahai rakyat sekalian fikirkanlah kita mahukan kenaikan harga barangan lagi? Dengan kurangnya defisit kerajaan maka Rosmah dapat berbelanja lebih, dapat melancong ke luar negara lebih kerap, dapat membeli lebih banyak cincin berlian! Sama-samalah kita sokong Kerajaan Barisan Nasional yang memeras wang dari rakyat jelata. Tahniah Najib.

    ReplyDelete
  2. Pasti rakyat akan berfikir dua kali bila mengundi di PRU-13 nanti.

    ReplyDelete
  3. Harap GST ini tidak akan dilaksanakan di negara kita.

    ReplyDelete
  4. sekarang rakyat sudah tahu bahawa GST akan tetap dilaksanakan cuma masa saja yang diubah iaitu selepas PRU-13. jadi, rakyat sekalian..bagaimana?

    ReplyDelete
  5. kenapa terlalu banyak yang membebankan rakyat dalam pemerintahan Najib akhir2 ni? rasanya inilah yang menjatuhkan populariti beliau.

    ReplyDelete
  6. makin byk cukai dikenakan kepada rakyat.

    ReplyDelete
  7. harap keperluan dan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan..

    ReplyDelete
  8. Najib juga berkata tindakan afirmatif untuk membantu Bumiputera, yang diperkenal di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dikekalkan.

    Golongan Bumiputera mana yang dimaksudkan? Adakah ini cenderung kepada satu kaum saja?

    ReplyDelete
  9. Rakyat 12 juta? Dan 1.2 juta saja yang bayar cukai? Adakah pendapatan rakyat Malaysia masih di tahap rendah?

    ReplyDelete
  10. Maksudnya sudah pasti masih terlalu ramai rakyat kita yang berpendapatan dibawah kadar pencukaian pendapatan.

    ReplyDelete
  11. Apa pun keputusan perlulah dikaji sebaiknya. Kenapa perlu GST ini dilakukan? Penjelasan perlu untuk rakyat Malaysia sendiri.

    ReplyDelete
  12. "Najib, yang juga menteri kewangan, berkata strategi kerajaan sekarang yang mewujudkan lebih banyak peluang bagi Bumiputera, tanpa mengenakan kuota ke atas kaum lain, juga menarik bukan Bumiputera."

    Harap2 ramai la ba orang2 bumiputera ambil peluang ini...ini kira macam makanan tersedia di depan mata, tinggal nak jamah lagi...

    ReplyDelete
  13. Bagaimana nasib rakyat pada masa hadapan, pasti semua rakyat akan mengeluh dan geleng kepala dengan segala perbelanjaan.

    ReplyDelete
  14. Diharap kerajaan dapat mengukuhkan ekonomi negara agar segala defisit dapat dikurangkan, sekali gus meringankan beban rakyat.

    ReplyDelete
  15. rakyat dipaksa utk ikat perut tp pemimpin kita menghabiskan/sifon dana negara seperti tiada lg hr esok. konsep 1Malaysia hanyalah ungkapan murahan yg bermaksud "begini utk BN n begitu utk pihak lain". rejim 'kolonial' ini sudah terlalu lama di posisi comfort zone n x mungkin mampu utk kembali ke pangkal jln. satu2nya pilihan kpd rakyat ialah menunjukkan rejim ini pintu keluar pd GE13 nanti...

    ReplyDelete
  16. Rakyat sendiri mau tau kalau undi BN barang naik dapat gula gula GST so fikir-fikirkanlah.

    ReplyDelete
  17. Kalau diteliti, Pelaksanaan GST di negara ini merupakan satu langkah wajar memandangkan kebanyakan negara lain telah melaksanakannya. yang penting kerajaan perlu mengecualikan cukai tersebut terhadap barangan dan perkhidmatan keperluan asas supaya tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah disamping itu mengelak berlakunya inflasi. GST hanya perlu dikenakan kepada barangan atau perkhidmatan mewah yang mampu dibeli oleh pengguna berpendapatan tinggi. Disamping itu perniagaan kecil juga dikecualikan daripada GST.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.