Thursday, September 22, 2011

Polis cuai diperintah bayar RM900,000

Seorang lelaki yang lumpuh akibat ditembak polis hari ini berjaya dalam tuntutan samannya apabila Mahkamah Tinggi memerintahkan pihak polis membayar ganti rugi berjumlah RM900,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Siti Khadijah S. Hassan Badjenid memerintahkan Lans Kopral Nadzri Ahmad dan Ketua Polis Negara membayar jumlah itu meliputi kos tambang ke hospital, kos ulang alik sebagai pesakit luar, kos beg kencing, kehilangan pendapatan dan lain-lain.

Dalam penghakimannya Siti Khadijah berkata perbuatan Nadzri yang melepaskan tembakan terhadap Johari Kasman, 28, (plaintif) jelas menunjukkan salah guna kuasa dan terdapat percanggahan antara keterangan pakar dan afidavit pembelaan berhubung jarak tembakan dilepaskan.

Katanya semasa kejadian Nadzri bertugas dengan memakai pakaian preman dan menahan plaintif kerana berkelakuan mencurigakan tetapi plaintif enggan berhenti hingga timbul pergelutan.

Siti Khadijah berkata walaupun kejadian tembakan itu berlaku, Nadzri tidak melepaskan tanggungjawabnya begitu sahaja malah bertindak membawa plaintif ke hospital.

"Defendan pertama telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Berat mata memandang, berat lagi memikul tanggungjawab. Plaintif mempunyai empat rekod jenayah lampau yang kesemuanya kesalahan mencuri kenderaan.

"Defendan berkata ketika kejadian (23 Oktober 2004) plaintif memandu menggunakan motosikal curi dengan nombor pendaftaran palsu, tetapi defendan tidak mempunyai bukti bahawa plaintif terlibat pada hari itu," katanya.

Pada 18 Oktober 2007, Johari mengemukakan saman terhadap Nadzri dan Ketua Polis Negara kerana cuai hingga menyebabkannya lumpuh setelah ditembak di belakang.

Johari mendakwa Nadzri tidak memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan gagal memberi amaran sebelum menembaknya.

Menerusi pembelaan, kedua-dua defendan berkata tindakan menembak itu bertujuan mempertahankan diri dan sebelum pergelutan berlaku plaintif bertindak menghayun topi keledar beberapa kali hingga terkena kepala Nadzri.

Katanya Plaintif juga cuba merampas pistol defendan.

Sepanjang prosiding Johari memanggil empat orang saksi manakala defendan seramai enam orang.

Peguam V Rajadevan mewakili Johari dan Peguam Kanan Persekutuan Mariam Hasanah Othman mewakili defendan. - Bernama

14 comments:
Write comments
  1. Polis itu hanya menembak bila suspek tersebut enggan berhenti, siapa suruh menjadi penjenayah, sudah ada 4 kali rekod jenayah.

    ReplyDelete
  2. Suspek juga cuba merampas pistol polis, siapa yang salah di sini? Penjenayah pula yang dibela.

    ReplyDelete
  3. disebabkan tiada bukti yang cukup maka penjenayah ni yang menang, polis pula kena bayar ganti rugi.

    ReplyDelete
  4. Rasa tidak adil pula tapi memang sudah keputusan mahkamah, terima sajalah.

    ReplyDelete
  5. Bingung siapa yang salah, siapa yang betul.

    ReplyDelete
  6. Bukti sangat penting dalam kes mahkamah.

    ReplyDelete
  7. mungkin kerana kekurangan bukti maka, polis dianggap cuai..

    ReplyDelete
  8. kena terima keputusan mahkamah.

    ReplyDelete
  9. polis mesti ikut SOP utk membuat tangkapan walaupun terhadap penjenayah...

    ReplyDelete
  10. Lain kali jangan bertindakan terburu-buru, padahnya kita tidak tahu nanti.

    ReplyDelete
  11. 900,000 jumlah duit saman yang dikenakan. Baguslah, harap pihak polis tidak akan bertindak terburu-buru lagi.

    ReplyDelete
  12. selain berhadapan dengan risiko kehilangan nyawa, tugas polis juga sering berhadapan dengan salah guna kuasa.. apa boleh buat la, terima saja la keputusan mahkamah..

    ReplyDelete
  13. Yang bersalah tetap bersalah dan terpaksa membayar ganti rugi.

    ReplyDelete
  14. Harap dimasa akan datang tidak berlaku lagi perkara seperti ini.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.