Thursday, September 15, 2011

AWAS : Awang Hitam kaki kebas duit


Sindiket penipuan membabitkan warga Afrika terus melakukan kegiatan haram menggunakan taktik terbaharu dengan mengaut keuntungan sebanyak RM243,000 selepas memperdaya 12 mangsa melalui kaedah ‘phishing’ dan ‘curi’ kad SIM telefon bimbit.

Sindiket yang dianggotai tujuh individu termasuk tiga wanita berusia di antara 20 dan 27 tahun itu didalangi oleh seorang pakar komputer dari Sierra Leone yang merupakan graduan Ijazah Sains Komputer.

‘Phishing’ ialah menggunakan alamat palsu ke laman utama sebuah bank.

Modus operandi suspek itu ialah menggodam maklumat pelanggan bank yang melakukan transaksi di kios-kios perbankan.

Difahamkan, sindiket hanya memerlukan sebatang pemacu pena untuk menyerap semua butiran transaksi pada komputer di kios berkenaan sebelum memindahkannya ke komputer peribadi suspek.

Suspek turut mencetak laporan polis dan salinan kad pengenalan palsu untuk dikemukakan kepada syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan kad SIM baharu.

Untuk memalsukan salinan kad pengenalan, suspek akan mengekalkan butiran peribadi mangsa tetapi gambarnya akan ditukar dengan gambar anggota sindiket.



Ia bertujuan untuk memudahkan rancangan mereka ketika pihak bank menghantar kod pengesahan transaksi (TAC) setiap kali mereka melakukan pemindahan wang dari akaun mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan ketika mendedahkan perkara ini berkata, sindiket bergiat di negara ini sejak awal tahun dan memilih kios bank yang kurang diawasi untuk mencuri data pelanggan.

Katanya, suspek dikesan menggunakan perisian khas yang dimuat turun dari Internet.

“Selepas mendapat segala data mangsa seperti nombor akaun, kata laluan dan butiran peribadi, suspek akan mencetak sendiri laporan polis dan salinan kad pengenalan untuk dikemukakan kepada syarikat telekomunikasi kononnya telefon bimbit mereka hilang atau disamun.

“Ia dilakukan kerana setiap transaksi memerlukan pengesahan termasuk mendapatkan TAC dari pihak bank yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas ke telefon bimbit mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya lagi, syarikat telekomunikasi kemudian akan membatalkan kad SIM lama dan menggantikannya dengan yang baharu dan menggunakan nombor yang sama.

Menurut Syed Azizan, sebelum itu, anggota sindiket akan menyamar sebagai kakitangan syarikat komunikasi untuk menghubungi mangsa dengan mengatakan perkhidmatan akan tergendala selama dua jam untuk kerja menaik taraf. Kesempatan itu akan digunakan untuk memindahkan wang mangsa ke akaun suspek.

“Dengan cara demikian, mangsa tidak akan mengetahui yang suspek sedang membuat transaksi menggunakan akaun mereka kerana TAC yang dihantar akan pergi ke telefon bimbit suspek,” katanya. -Kosmo

12 comments:
Write comments
  1. Para pengguna perlulah lebih berhati-hati dengan phising scam bila melayari web e-banking. Jangan melanggan web e-banking menerusi links yang diragui, lebih baik taipkan sendiri alamat web tersebut setiap kali.

    ReplyDelete
  2. Kalau ada apapa hal yang tidak faham ataupun keliru, terus pergi ke bank untuk tanya pekerja di sana. Janganlah menjadi mangsa seterusnya.

    ReplyDelete
  3. teknologi moden memudahkan manusia tapi dalam masa yang sama ia juga membawa keburukan kepada manusia.

    ReplyDelete
  4. pengguna yang kurang pengetahuan dan tidak berhati2 akan mudah tertipu oleh sindiket ni. diharap pihak polis akan dapat mengesan semua kegiatan2 'awang hitam' ni.

    ReplyDelete
  5. syarikat Komunikasi seharusnya melihat kad pengenalan original pelanggan ketika berususan, bukan sekdar melihat salinannya sahaja, lebih baik jika gunakan alat pengesan.

    ReplyDelete
  6. banyak sudah kes macam ini yang kita dengar..semua perlu sentiasa berhati-hati dan diharapkan masalah ini akan dapat diatasi..

    ReplyDelete
  7. Kelebihan yang ada telah disalahgunakan. Diharap sindiket ini dapat ditumpaskan dan dikenakan hukuman berat.

    ReplyDelete
  8. Syarikat telekomunikasi perlu memantau kes ini dengan lebih teliti.

    ReplyDelete
  9. Pintar juga mereka ini tapi sayangnya disalahgunakan kepintaran tersebut.

    ReplyDelete
  10. Jangan biarkan mereka ini berterusan. Pastikan sindiket seperti ini dapat ditumpaskan sebaiknya.

    ReplyDelete
  11. Sungguh bijak, tapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Semua kena berhati-hati jangan mudah terpedaya.

    ReplyDelete
  12. pergh.. semakin profesional sesuai dengan perkembangan teknologi.. pihak telekomunikasi dan bank perlu melakukan sesuatu bagi melindungi pelanggan mereka dari terus menjadi mangsa penipuan..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.