Tuesday, September 27, 2011

Pukul Orang Awam. Apakah Polis Samseng Berlesen?

JITRA: Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang, dekat sini, pada 11.30 pagi, Sabtu lalu.

Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.

"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut.

"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.

"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul.
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab. Masa tu baru saya tau dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis," kata mangsa.

Dia berkata, dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya.

"Selepas kejadian itu, saya pergi ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu pipi kiri, bahu dan tulang rusuk kiri ada kesan lebam. Saya juga membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Ibrahim Mohamad Yusof ketika dihubungi berkata, beliau menerima laporan tentang kejadian itu.

"Kita sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya. - BERNAMA

13 comments:
Write comments
  1. Harap penyiasatan akan dibuat untuk memastikan siapa yang betul dan siapa yang salah dalam kes ini.

    ReplyDelete
  2. Jika didapati polis salah, harap tindakan yang sewajarnya akan diambil terhadapnya.

    ReplyDelete
  3. harap siasatan akan dilakukan dan siapa yang bersalah akan dikenakan tindakan..

    ReplyDelete
  4. betulkah ini tindakan pihak polis? kalau betul mereka ni memang sudah salahguna kuasa. bertindak ganas sehingga menyebabkan kecederaan.

    ReplyDelete
  5. hukuman tetap akan dikenakan kepada polis berkenaan jika benar2 bersalah. sebelum ni pun sudah banyak kes2 anggota polis yang berkelakuan begini.

    ReplyDelete
  6. jika benar suspek adalah anggota polis, tindakan tegas kena diambil terhadapnya, jgn salah guna nama PDRM.

    ReplyDelete
  7. Apa tidak rosak imej PDRM kalau anggotanya salah guna kuasa...

    ReplyDelete
  8. Tidak suka dengan orang yang suka gunakan keganasan bila mahu tunjuk kuasa.

    ReplyDelete
  9. penjenayah, perogol, pencuri, perasuah, pengedar dadah senang2 terlepas pula. mungkin inilah SOP polis, patutlah 'sangat' effisien...

    ReplyDelete
  10. jangan kerana memegang jawatan PDRM boleh buat sesuka hati jalan tugas yang diamanahkan macam tak effisien langsung

    ReplyDelete
  11. Ini barulah polis yang sangat tidak ada etika polis langsung. Buang dari jawatan dari polis. Polis tidak memerlukan orang seperti ini.

    ReplyDelete
  12. sudah salah tidak mahu mengaku salah lagi. Lepas itu bertindak seperti dia yang berkuasa dikawasan tersebut. Sungguh memalukan pihak polis.

    ReplyDelete
  13. Imej polis boleh dibersihkan jika semua samseng2 itu dikenakah hukuman mengikut undang2 kemudian diberhentikan serta merta..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.