Thursday, October 13, 2011

Thailand Diisytihar Zon Bencana Akibat Banjir

Thailand pada Rabu mengisytiharkan satu pertiga wilayah negaranya sebagai zon bencana akibat kejadian banjir terburuk di negara itu dalam tempoh beberapa dekad.

Ia turut memaksa pengeluar automobil Toyota di sini memberhentikan pengeluaran kereta-keretanya yang terjejas daripada bencana tersebut.

Kerajaan Thailand menyasarkan untuk mempercepatkan operasi menyelamat selepas 281 orang terkorban dan berjuta penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda sejak dua bulan yang lalu.

“Kerajaan telah mengisytiharkan semua wilayah yang terjejas akibat banjir sebagai zon bencana kritikal bagi membolehkan gabenor-gabenor berkenaan meningkatkan penguatkuasaan bagi memberikan lebih banyak barangan dan mengurus belanjawan,” kata Timbalan Perdana Menteri Yongyuth Wichaidit.

26 daripada 77 wilayah negara itu kini terjejas teruk manakala ibu kota Bangkok pula dijangka dilanda banjir besar menjelang pertengahan bulan ini.

Pegawai-pegawai terbabit telah mendirikan benteng di sekitar lapangan terbang utama dan beberapa kawasan lain bagi melindungi bandar raya yang mempunyai 12 juta penduduk itu.

Sebahagian daripada penduduk juga mula menyimpan stok guni pasar, makanan yang tidak mudah rosak dan beberapa barangan keperluan lain sebagai persiapan.Beberapa kawasan di utara bandar raya ini mula dinaiki air sedalam beberapa meter.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra berpesan kepada penduduk yang tinggal di luar kawasan yang dibenteng itu untuk bersiap sedia menghadapi banjir tersebut.

“Jika kawasan dalaman Bangkok dilanda banjir, ia hanya akan terjejas sedikit tetapi kita perlu memikirkan nasib mereka yang tinggal di luar kawasan yang dibenteng,” katanya kepada pemberita yang ditemui di pusat operasi menyelamat mangsa banjir di lapangan terbang, di sini, Rabu.

Beliau dijadualkan untuk menghadap King Bhumibol Adulyadej bagi membincangkan krisis tersebut.

Pengeluar automobil Jepun itu berkata pengeluaran kereta di tiga buah kilangnya yang terjejas terpaksa diberhentikan sekurang-kurangnya sehingga Sabtu ini.

Toyota berkata, walaupun banjir itu tidak menjejaskan operasi tiga buah kilangnya di Samrong, Gateway dan Ban Pho secara langsung, ia masih mengganggu pembekalan alat gantinya.

Operasi pengeluaran automobil itu diberhentikan sejak Isnin dan syarikat tersebut hanya akan menentukan keputusan untuk menyambung semula operasi mereka pada Sabtu ini.

Banjir terburuk itu turut melanda negara jiran termasuk Kemboja sehingga mengorbankan lebih 200 orang. - AFP









No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.