DESAKAN peminat sejati Harimau Malaya yang menuntut pembaharuan skuad bola sepak kebangsaan dengan Datuk K. Rajagobal mengambil tindakan drastik meletak jawatan selaku jurulatih, bukanlah satu cerita baharu sebenarnya.
Bermula apabila skuad negara ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura menerusi agregat 4-6 pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia pada Julai tahun lalu, kemarahan penyokong dilihat tidak lagi boleh dibendung sebaik dikecewakan lawan sama dengan keputusan 0-3 dalam aksi sulung kempen Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Dengan lebih 100 penyokong Ultras Malaya menghalang bas yang dinaiki pemain negara dari pekarangan stadium, laungan mereka yang menjerit ‘Rajagobal, apa yang engkau buat?’ juga sudah cukup mencerminkan kekecewaan peminat.
Pemilihan ‘tidak masuk akal’ Rajagobal dalam senarai 22 pemain skuad negara bagi mempertahankan kejuaraan kali ini juga mengundang skeptikal banyak pihak gara-gara prestasi semasa sebahagian daripada mereka dalam saingan liga domestik dilihat tidak sehebat mana.
Biarpun Rajagobal sebelum ini secara terbuka mengakui bakal meletak jawatan jika gagal membantu Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015, peminat tidak lagi mampu bersabar menunggu lama dan menuntut supaya jurulatih itu ‘angkat kaki’ sebaik kempen Piala Suzuki AFF kali ini berakhir, tidak kira mampu mempertahankan gelaran ataupun tidak.
Wakil Ultras Malaya, Redzuan Ahmad semasa ditemui pemberita malam kelmarin mempersoalkan kredibiliti Rajagobal dalam tempoh dua tahun ini selepas muncul juara edisi 2010.
“Maruah skuad kebangsaan jelas diperkotak-katikkan di gelanggang sendiri. Apa yang dibuat selama ini? Apa perancangannya dalam tempoh dua tahun selepas memenangi piala (Suzuki AFF). Inikah hasilnya?” katanya.
Seorang lagi penyokong, Hamdan Wahid dari Perlis memberitahu, dia kecewa cuti tahunannya yang diambil seminggu semata-mata untuk menyokong Harimau Malaya dilihat seolah-olah tidak berbaloi berdasarkan persembahan Harimau Malaya malam kelmarin.
“Kami bayar tiket RM30 tetapi kalah 3-0, tidak mustahil juga jika harga tiket dinaikkan RM50 selepas ini kita kalah lebih besar iaitu 5-0.
“Hendak merangkak pun tidak mampu, inikan pula hendak berlari. Jurulatih (Rajagobal) patut letak jawatan, jangan tunggu sampai kelayakan Piala Asia. Sekarang pun dia patut berundur jika beginilah gayanya persembahan pasukan kebangsaan,” katanya.
Seorang lagi penyokong yang hanya mahu dikenali sebagai Botak memberitahu, pemilihan kesebelasan utama Rajagobal juga memualkan penyokong.
“Baddrol (Bakhtiar) yang lebih kreatif tidak dibawa masuk ketika berdepan Singapura, sebaliknya Alex (Azamuddin Akil) yang sebelum ini bermain sebagai penyerang pula dibawa masuk menggantikan Amar Rohidan di bahagian tengah.
“Ini bukan lagi masa untuk eksperimen pemain. Sampai bila kami perlu mendengar alasan demi alasan Rajagobal setiap kali Harimau Malaya tewas,” katanya.
Apa yang pasti, di sebalik ‘sakit kepala’ Rajagobal memikirkan formula terbaik ketika berdepan Laos malam esok, masih ramai penyokong yang bertambah sakit hati jika perlawanan itu gagal diterjemahkan menjadi kemenangan ataupun yang lebih teruk, tersungkur buat kali kedua di depan penyokong sendiri.
Seandainya Malaysia terperosok di tangga tercorot kumpulan kali ini, sejarah baharu sudah tercipta buat Harimau Malaya yang mungkin sudah boleh berkira-kira mengharungi aksi kelayakan dua tahun lagi biarpun pernah mengecap nikmat selaku juara yang jelas sekadar bersifat sementara. -Kosmo
Tuesday, November 27, 2012
Rajagobal didesak undur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
itu lah standard dunia sukan di Malaysia. Pemain pulak..baru sekali diuji..terus dpt kemewahan. RM...banglo..tanah..saham...dan mcm2 lgih. Nik Aziz pun dah bagi banglo kpd seorg penjaga gol ke hape dari Kelantan tu. Trikut2 cara UMNO jugak. MBazir. Bukan kia tidak akui kebolehan dan apa3 pingat yg diperolehi...tapi rasanya banyak bentuk2 ganjaran yg boleh difikirkan. Pandalela dr SRwak tu katanya dapat habuan bukan main hebat jugak...tapi betul ke katanya dah kena buat latihan ringan je pulak. Cedera apa ntah. Bukan kita menidakkan pingat...tapi sayang,di saat ramai insan yg memerlukan wang ringgit, org lain yg pulak yg dapat. Aku perhatikn..mutu sukan negara, confirm tak akan meningkat kalau dgn stail yg ada.
ReplyDelete