Tuesday, November 27, 2012

Pantang Larang Semasa Hamil Yang Hanya Mitos

Bila seorang isteri menyampaikan berita gembira tentang kehamilannya pada suami tercinta, sering kita dengar pelbagai nasihat dari si suami kepada isterinya berdasarkan mitos pantang larang mereka yang terdahulu.

Begitu juga, setiap perlakuan dan pergerakan si isteri sudah mula dibelenggu dengan pelbagai pantang larang dan mitos sepanjang kehamilan, sehingga beliau bersalin. Ada di antaranya ingin saya kongsikan bersama semua pembaca.

Bentuk perut petunjuk jantina bayi

Terdapat andaian yang memberitahu perut yang menonjol ke hadapan atau membuncit ke atas memberi petunjuk janin yang dikandung adalah lelaki. Manakala, bentuk perut yang melebar pula dikatakan bayi perempuan.

Secara jelasnya, tiada fakta yang tepat yang dapat menyokong sumber yang dimaklumkan. Bentuk, ukuran mahupun arah perut tidak boleh dijadikan sebagai andaian.

Yang paling penting adalah menjaga, merawat dan menyayangi janin yang ada dalam kandungan sehingga selamat dilahirkan.

Minum kopi punca tanda lahir

Perlu ibu ketahui, sekadar mengambil secawan kopi sehari ia tidak akan menjejaskan kesihatan kulit anda. Justeru, kopi tiada kaitan yang jelas dengan tanda lahir yang ada pada bayi anda.

Bayi perempuan ‘curi’ kecantikan ibu

Akibatnya ibu kelihatan kusam dan tidak bermaya sepanjang kehamilan. Hakikatnya, wajah kusam dan kulit yang tidak cantik pada ibu mungkin terjadi akibat perkembangan janin sehingga menyebabkan kulit itu mengalami kekeringan.

Barangkali juga ia diakibatkan oleh suhu yang panas dan gangguan hormon. Perlu diketahui, kulit kering tidak dapat menjadi indikasi yang dapat menentukan jenis janin.

Elak jumpa orang cacat

Tatkala bertemu dengan seseorang yang berwajah buruk atau cacat, bakal ibu akan berasa bimbang. Ada juga saudara mara yang minta anda menghindari dari bertemu dengan golongan sebegitu.

Alasannya bimbang janin akan terkenan dan mengalami keadaan yang sama seperti mereka. Jangan bimbang, hal sebegitu tidak akan berlaku. Janin tidak akan menjadi buruk wajahnya hanya dengan melihat sesuatu yang buruk.

Sebaiknya dari awal lagi, amalkan membaca surahsurah pilihan untuk membantu ibu sentiasa tenang emosi sekaligus mempengaruhi janin dalam kandungan. Bakal ibu juga perlu mengambil vitamin yang dibekalkan oleh doktor agar janin dalam kandungan sihat dan selamat.

Gemar makan asam tanda dapat anak lelaki

Ada juga yang menyatakan ibu hamil yang gemar memakan coklat akan melahirkan janin perempuan. Justeru, bagi anda yang mahukan bayi lelaki akan meminta pasangan membelikan anda mangga muda.

Sabar ya bakal ibu! Tiada jaminan perubatan yang dapat menentukan keinginan makan sesuatu boleh menentukan jantina pada janin anda.

Bayi berambut buat ibu panas

Ianya hanyalah mitos, hal ini kerana gejala panas dalam adalah biasa buat wanita hamil. Terutama di akhir trimester, apabila janin mula memberikan tekanan kepada organ ibunya.

Ibu hamil perlu mengelakkan makan sambal

Dikatakan mengambil sambal berlebihan boleh menyebabkan kepala janin botak. Perlu diketahui cili bukan punca kepada kebotakan. Namun, ibu masih perlu mengurangkan pengambilan makanan pedas agar ibu dapat mengelakkan berlakunya masalah cirit birit.

Jangan makan nanas

Wanita hamil juga sering kali diingatkan agar tidak memakan nanas mahupun asam. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan keputihan, keguguran dan meningkatkan lendir pada paru paru bayi malah ada yang menyatakan ia boleh menyebabkan bayi kuning.

Perlu diketahui, nenas kaya dengan vitamin C dan ia membantu penyerapan zat besi dan menurunkan risiko jangkitan kuman dan pra matang. Namun, pengambilannya yang berlebihan iaitu lebih dari 1000mg/hari ia mampu mencetuskan masalah kesihatan yang lain terutama pada anda yang sensitif.

Jangan duduk di muka pintu

Kata orang tua ia boleh menyebabkan ibu sukar melahirkan. Hal ini kerana, perlakuan ibu dikatakan menghalang laluan orang. Perlu diingat, pintu merupakan laluan angin. Sebab itulah, bakal ibu perlu menghindari daripada berada di muka pintu untuk mengelakkan tubuh mereka sejuk dan berangin. Ia sama sekali tidak ada kaitan dengan proses kelahiran secara pembedahan.

Ibu hamil degil akan bermasalah

Ada yang memaklumkan jika bakal ibu tidak mahu mengikuti pantang larang yang diberikan bermakna bakal ibu akan dilanda masalah. Seharusnya bakal ibu jangan marah, ucapkan terima kasih dengan pandangan yang mereka berikan.

Namun, pandangan yang tidak boleh diterima, tidak perlu disimpan dalam hati sehingga mengganggu emosi ibu. Yakinlah bahawa baik atau buruk perjalanan hidup seseorang telah diatur oleh Allah.

Walaupun pelbagai mitos telah dikemukakan wanita hamil tidak perlu terlalu taasub sehingga menyebabkan perjalanan kehamilan anda menjadi tidak ceria.

-MingguanWanita

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.