Monday, December 10, 2012

Habibie, samseng politik dan ekonomi Melayu

Semasa Bacharuddin Jusuf Habibie dilantik menjadi Presiden Indonesia ketiga menggantikan Soeharto pada 21 Mei 1998, seperti ramai rakan-rakan yang lain, saya tidak meletakkan harapan tinggi buat anak Bugis kelahiran Sulawesi Selatan ini untuk melakukan reformasi agar pemerintahannya benar-benar berbeda daripada kebobrokan Orde Baru.

Tanggapan itu mungkin disebabkan beliau dilihat "anak didik" Presiden Soeharto dan bukannya "putera reformasi" yang bangun menuntut perubahan bersama rakyat tertindas. Habibie yang memperolehi ijazah doktor falsafah kejuruteraan pada 1965 di Jerman dan bekerja dalam industri penerbangan di Hamburg kembali ke Indonesia pada 1973 atas permintaan Soeharto. Lima tahun kemudian, beliau menyertai kabinet sebagai Menteri Teknologi.

Tidak kurang yang memandang sinis -- termasuk saya di peringkat awalnya -- keupayaan BJ Habibie memulakan pembaharuan di sebuah republik yang mewarisi kacau-bilau, rusuhan dan demonstrasi, dengan imej Soeharto yang cukup kelam, terutama daripada segi rekod hak asasi manusia, demokrasi dan keadilan.

Saya masih ingat ada rombongan kecil penyokongnya datang ke pejabat Harakah, ketika Habibie dilantik baru Naib Presiden. Mereka seperti mahu menjelaskan bahawa Habibie sememangnya berbeda daripada Soeharto, dan bersedia untuk melakukan perubahan, di samping mempunyai semangat keislaman yang tinggi. Posisinya dalam Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) dtonjolkan dalam diskusi kami itu.

Semua pihak mengakui kehebatan ilmu dan kepakaran teknologi Habibie, yang sememangnya cemerlang dalam industri kejuruteraan pesawat sehingga pada tahun 1994 mendapat anugerah tertinggi Edward Wanner Award, sempena ulang tahun ke-50 International Civil Aviation Organization (ICAO), namun rekodnya dalam bidang politik dipersoalkan.

Berbanding Soeharto yang memerintah selama 32 tahun (1966-98), tempoh penggal Habibie sebagai presiden cukup singkat, hanya setahun lima bulan; sebagai Naib Presiden sekadar dua bulan tujuh hari.

Saya sendiri yang tidak memerhati dari dekat jasa dan bakti Habibie turut tidak memberi perhatian kepada sosok istimewa ini. Namun, begitu, saya menyedari tugas sulit yang terpaksa ditanganinya, terutama bagi melepaskan Indonesia daripada bebanan sejarah masa silam di bawah Soeharto.

Sehinggalah apabila saya terbaca komentar menarik seorang rakan, Azam Shairi, wartawan Astro Awani tentang buku "Habibie dan Ainun". Ia sebuah memoir Habibie bersama isterinya, antara lain mengisahkan saat-saat kematian Hasri Ainun (bermaksud "mata yang indah"), yang meninggal dunia di Munich, Jerman, pada 22 Mei 2010. Luar biasa detik-detik akhir pasangan yang berkasih sayang selama 48 tahun ini.

Namun, selepas mengikuti pidato Habibie (dan pengenalan ringkas oleh rakan karibnya, Anwar Ibrahim) di Unisel, Shah Alam, 6 Disember lalu, saya seperti tersipu malu dengan salah tanggapan terhadap rekod kerjanya selama ini.

habibie-anwar-mb-dinner-01

Bayangkan, Habibie membebaskan semua tahanan politik pada hari pertama menjadi presiden. Sungguh menakjubkan. Beliau tidak peduli dengan protokol atau peraturan lazim. Tanpa menunggu lama, media turut dibebaskan esoknya; begitu juga dengan pilihan raya bersih, sesuatu yang tidak pernah diimpikan di zaman Soeharto.

"Ini soal dhamir, dan tanggungjawab langsung dengan Allah," kata Anwar mengungkapkan tekad politik Habibie yang cukup kuat dan kepeduliannya terhadap nasib rakyat tanpa mengira kemungkinan kesan buruk di sebalik tindakan drastiknya itu.

Ternyata, Habibie seorang demokrat sejati. Beliau benar-benar pemimpin reformasi yang boleh dibanggakan ratusan juta rakyat Indonesia. "Seseorang itu tidak boleh ditahan, apatah lagi dipenjarakan, hanya kerana berbeda pandangan dengan pemerintah, kerana yang sebenarnya berkuasa adalah rakyat," tegasnya di hadapan hampir seribu hadiran, kebanyakannya mahasiswa.

Cukup sukar mencari personaliti hebat seperti Habibie, yang sedia mempertaruhkan jawatan, demi mempertahankan prinsip dan keyakinannya. "Pak Habibie datang sebagai sebagai penyelamat Indonesia dan sebaik menyempurnakan misinya beliau berundur secara terhormat dalam masa yang singkat," kata Anwar.

Ramai idealis yang berjaya menumbangkan diktator atau regim zalim, namun akhirnya tidak mampu melakar perubahan seutuhnya disebabkan terlalu banyak mengira risiko dan menghitung kemungkinan. Lebih malang apabila hanyut dipeluk kemewahan dan lupa diri dibalut kuasa yang mempesona.

Habibie, seorang pemberani dan pengukir zaman. Melalui langkah pertamanya Indonesia berada di atas landasan yang betul dan boleh menjadi teladan dari segi proses pendemokrasian. Sememangnya beliau berada dalam kelas tersendiri sebagai negarawan ulung.

Habibie juga mengingatkan saya kepada seorang lagi personaliti unggul dalam sejarah pembinaan bangsa Indonesia, Mohammad Natsir, Perdana Menteri pada awal 1950-an, yang meletakkan jawatan dalam tempoh singkat apabila berbeda fahaman dalam beberapa isu dasar dengan Presiden Soekarno.

II. Antara kerbau dan kucing dalam Umno

Presiden Umno, Najib Razak tidak perlu menunggu lama bagi melihat ucapannya yang berdegar-degar "mengisytihar perang" semasa PAU 2012 mendapat respons segera daripada "anak-anak buahnya".

"Najib sepatutnya berbangga kerana ahli-ahli Umno, bermula di Gombak, bingkas bangun bertindak untuk mempertahankan Putrajaya, dengan cara yang difikirkan sesuai oleh mereka," sindir seorang pengamat politik.

Malam 4 Disember, di Batu 8 1/2, Gombak, sekumpulan lebih 200 Pemuda Umno, difahamkan sebahagian besarnya pesilat, menunjukkan keangkuhan dan mempamerkan budaya samseng, dengan melakukan provokasi dan gangguan melampau, terhadap program Ceramah Merdeka Rakyat, antara lain membariskan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Umno Gombak, Megat Zulkarnain Omar Din, pernah dikaitkan dengan tindakan tidak beradab ke atas pemimpin DAP di Parlimen, pada awal 2009. Ada yang tercedera, termasuk aktivis PAS, dibaling batu dan ditikam objek tajam.

Insiden seumpama ini bukannya tragedi baru. Kes ceramah Pakatan diganggu, termasuk dengan mengadakan program Umno di lokasi berdekatan, dilakukan secara sistematik. Ia sengaja diatur, termasuk oleh pimpinan tertinggi Umno negeri, sebelah menyebelah, bagi menjejaskan tumpuan audien di majlis oposisi.

Anwar dalam ucapannya pada malam itu, yang sering diganggu pengacau Umno dengan kata-kata kesat tetapi langsung tidak menjejaskan tempo pidatonya, bertanya kepada hadirin: "Jika Najib datang ke Gombak dan kalau ada 30, 40 ahli PAS atau KeADILan datang kacau, apakah saudara ingat polis boleh benarkan?"

Beliau menyifatkan aksi samseng Umno itu sebagai "arrogance of power", amalan "bodoh, samseng dan takbur". Anwar menekankan, "rakyat akan ajar dalam PRU13, kita akan tendang mereka dari kuasa."

Ketua Umum KeADILan itu turut menyifatkan pihak yang terlolong memekik menganggu ceramah Pakatan sebagai pencacai kepada perasuah dan penzalim, yang dengan sewenangnya merampas khazanah kekayaan negara, tetapi masih berselindung di sebalik slogan "Hidup Melayu".

"Buat ceramah pun boleh cedera ... bukankah ini kurang ajar namanya? Ini tanda Umno resah gelisah dengan kebangkitan rakyat. Saya nak tahu, polis siasat atau tidak? Kita mahu negara dipimpin mengikut hukum.

"Saya mahu siasatan terperinci. Setiap anak muda yang luka, setiap orang yang dicederakan, saya mahu orang yang terlibat itu bertanggungjawab. Saya tak mahu negara ini jadi hak pengkhianat, samseng, atau pencacai kepada penzalim," tegas Anwar disambut tepukan bergemuruh hadirin.

Seperti kata AJK PAS Pusat, yang juga peguam terkemuka, Hanipa Maidin, politik samseng tercetus apabila idea berbeda tidak dapat diterima oleh pesaing, sehingga hujah tidak dapat dipatahkan dengan argumen, maka elemen kekerasan mengambil tempat.

Lebih menyerlah apabila sesuatu regim tidak sanggup berdepan dengan pembongkaran pelbagai skandal, dan terbayang akan kehilangan sokongan daripada rakyat, sebagai responsnya, kebangkitan itu mahu ditumpaskan dengan tindakan fizikal yang tidak bertamadun.

Kegelisahan makin tidak keruan apabila pelaku jenayah menjangkakan mereka akan dihadapkan ke muka pengadilan jika kerajaan baru di Putrajaya terbentuk.

Sayang sekali menyaksikan badut-badut Umno yang beraksi ganas itu sebenarnya hanyalah ahli atau penyokong akar umbi, sebahagian mereka mungkin diupah dengan sedikit bayaran.

Kadang-kadang kelompok di bawah ini "ikhlas dalam perjuangan" tetapi begitu terdorong oleh pidato berapi-api pemimpin. Semangat perkauman, yang diselindung melalui ungkapan sayang-kasih kepada bangsa dan agama, dinyalakan dengan marak.

Penggerak Umno di kampung-kampung ini juga tidak menyedari kecurangan dan kerakusan elit pemimpin mereka "merampok" hasil mahsul negara, sebahagiannya melalui undang-undang dan tidak akan dikesan oleh penguatkuasa.

Ada di antara mereka yang begitu bersungguh-sungguh dan komited untuk memenangkan Umno walaupun tidak mendapat imbuhan setimpal daripada ketua-ketua yang sibuk dengan projek demi projek.

Saya teringat "kisah kerbau dan kucing" yang sering diutarakan Cikgu Abd Wahab Abd Rahman, bekas AJK PAS Pusat dan kini masih aktif di Jerlun, bagi membandingkan nasib ahli-ahli biasa Umno dengan anak-anak pemimpin mereka.

Kerbau diperah keringat. Ke sawah membajak, dipalu belakangnya, diberi makan ala kadar, malah sehingga mati pun, kulitnya dijadikan gendang dan dipukul terus! Tetapi kucing di rumah, dipelihara baik-baik, menjadi kesayangan tuan, diberi susu dan ikan walaupun tiada kerja bermanfaat dapat dibuat.

Siapa kerbau dan siapa kucing dalam konteks Umno?

III. Pembangunan yang meruntuhkan masyarakat Melayu

Walaupun wartawan Harakah Pulau Pinang, Sabri Said sudah mewawancara tokoh korporat, Dato' Seri Abdul Rahman Maidin, yang baru menyertai PAS, namun saya tetap merasakan masih perlu berkenalan dengan pengusaha yang terlibat dengan pelbagai bidang perniagan selama 32 tahun itu.

Ternyata Abdul Rahman mudah dihubungi dan bersedia pula ke pejabat Harakah, petang 5 Disember lalu. Saya mengingatinya sebagai orang yang pernah menerajui MRCB dan menguasai kumpulan media NSTP dan TV3. Ketika itu, kira-kira akhir 1990-an, wajahnya sering muncul di kaca TV.

Baru-baru ini saya terkesan dengan pembabitan aktifnya dalam isu pengambilan tanah di Pengerang Johor. Tertanya-tanya juga bagaimana beliau sering berada di sana, bersama pemimpin popular PAS, Mazlan Aliman dan Salahuddin Ayub.

Malah, apabila beliau memilih untuk menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Batu Pahat, dan bukan di negeri kelahirannya di Pulau Pinang, ramai juga yang hairan, termasuk Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Rupanya kini Abdul Rahman terlibat dengan kerja-kerja kemasyarakatan, dalam Institut Peduli Rakyat (IMR), yang memperjuangkan isu-isu sosio-ekonomi rakyat, selain membabitkan kesihatan dan alam sekitar.

Dalam sembang santai lebih sejam bersamanya, saya tertarik dengan konsep pembangunan yang ditekannya. Abdul Rahman mengkritik cara dan pendekatan kerajaan Umno-BN untuk membangun orang Melayu.

"Mengambil tanah orang Melayu dan menghancurkan perkampungan mereka, kemudiannya memindahkan ke tempat lain memang mudah tetapi tindakan itu langsung tidak dapat membantu kehidupan orang Melayu," tegasnya.

"Zahirnya memang nampak orang Melayu agak maju, tetapi cubalah tinjau keadaan sebenar dalam rumah mereka. Benar, rumah agak tersusun di kawasan kediaman, tetapi saya yakin lapan daripada sepuluh keluarga dibebani pelbagai masalah, seperti hutang keliling pinggang dan konflik rumahtangga akibat problem sosio-ekonomi," tambahnya sambil menceritakan pengalaman melihat sendiri keadaan menyedihkan keluarga yang dipindahkan di Kuala Terengganu.

Beliau yang teruja dengan perjuangan Negara Berkebajikan PAS mahu memanfaatkan pengalamannya lebih tiga dekad dalam pelbagai bidang bisnes dan komuniti perniagaan bersama Parti Islam.

Tentunya Abdul Rahman dapat membuat penilaian sebaiknya terhadap kegagalan kerajaan membantu masyarakat Bumiputera selama ini serta mampu mencari jalan keluar. Disebabkan petang itu saya agak uzur, banyak persoalan tidak sempat dibangkitkan.

Diajukan laporan The Star, mengenai dakwaan Ketua Pemuda MCA, Wee Ka Siong bahawa beliau merupakan "orang yang paling rasis" pernah ditemui Timbalan Menteri Pelajaran itu, Abdul Rahman sekadar tersenyum dan enggan melayan tohmahan itu.

"Biarkanlah, lebih baik kita tak usah jawab, kalau jawab seolah-olah dia penting bagi kita," kata Abdul Rahman, yang merasakan ada perancangan tertentu bagi menyerangnya apabila beliau menyertai PAS.

"Saya yakin orang seperti Abdul Rahman dapat meningkatkan imej PAS terutama di kalangan orang Melayu. Beliau patut diberi peranan penting terutama berkaitan kemahirannya," kata seorang rakan.

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

2 comments:
Write comments
  1. lihat apa komen Zam terhadap Habibie. Betapa seorang yg dianugerah Wartawan Besar Malaysia menulis tentang seorang bekas Presiden Indonesia. Anda nilai sendiri. Pada saya seorang rakyat Malaysia amat memalukan!

    ReplyDelete
  2. Allah maha berkuasa. Apakah ada lagi manusia yg tidak sadar diri? Satu ke satu manusia yg mengaibkan manusia lain diberi petunjuk. Apakah masih tidak mahu insaf?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.