Monday, December 10, 2012

Kemenangan BN tidak jamin kestabilan

Setelah menyaksikan gelagat pimpinan tertinggi dan perwakilan yang memekik dan menengking dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya, "Fokusnya apa ya?" Ada pula yang "berlembut hati" apabila Najib memohon maaf atas kekhilafan bagi pihak kepimpinan parti dan kerajaan.

Saya teringat sepatah dialog yang terkenal dalam drama bersiri Taiwan, "Untuk apa kita perlukan polis seandainya ia memadai sekadar dengan meminta maaf?"

Ia bukan kali pertama Najib "merendahkan diri" untuk memohon maaf. Namun sejauh manakah keikhlasannya? "Khilaf" dalam kamus bermaksud kesalahan lantaran kecuaian, kurang pengalaman dan sebagainya. Bukankah ia sesuatu yang kelakar bahawa sesebuah kerajaan yang memerintah untuk lebih 55 tahun melakukan kesilapan kerana "kurang pengalaman"? Lebih-lebih lagi, kita boleh maafkan seandainya wujud perselisihan faham atau berlakunya peristiwa yang menyinggung perasaan. Tetapi apakah "kesilapan" yang melanggar undang-undang boleh diselesaikan hanya dengan meminta maaf? Adakah pemandu akan dikecualikan saman AES jika mereka memohon maaf? Adakah peminjam PTPTN akan dikecualikan membayar hutang jika mereka meminta maaf? Semestinya tidak!

Adakah Najib sekarang mencadangkan bahawa misteri kematian Teoh Beng Hock, Kugan, Aminul Rasyid dan lain-lain; keganasan polis terhadap peserta perhimpunan BERSIH boleh selesai dan dilupakan - hanya dengan memohon maaf? Malah, apa gunanya memohon maaf tetapi pada masa yang sama terus memberi lampu hijau kepada Lynas untuk beroperasi, menghasilkan sisa radioaktif yang mengancam kesihatan generasi akan datang?

Ringkasnya, tiada apa-apa yang baru dalam PAU baru-baru ini. Serangan dengan retorik, propaganda, ugutan dan fitnah yang sama, tidak diuji dan tidak teruji. Saya terpinga-pinga apabila membaca komen bagaimana Najib membangkitkan semangat Umno untuk berperang menjelang PRU 13. Seandainya saya sebagai anak buah Najib, kaki saya pasti menggigil apabila berdepan dengan musuh, kerana ketua saya terlalu "pengecut" untuk berdebat dengan ketua musuh saya. Belum perang dah kalahlah, apa lagi?

Untuk saya, apa yang menarik dalam PAU kali ini adalah sasaran majoriti 2/3 yang digariskan Najib sendiri, ketika melabuhkan tirai PAU pada 1 Disember. Selama ini saya menganggap Najib tidak menunjukkan sikap yang tegas dalam hal ini. Najib mengambil alih jawatan PM daripada Abdullah Ahmad Badawi lantaran kegagalan Pak Lah mempertahankan majoriti 2/3. Hukumnya sama, Najib perlu berundur seandainya dirinya mengulangi kegagalan Pak Lah.

Mengungkit bab ini mencungkil ingatan kita bagaimana celarunya keadaan selepas UMNO dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008. Pak Lah bertanya balik kepada wartawan "Siapa tekan saya?", pada awal pagi 9 Mac, setelah diajukan soalan sama ada beliau berdepan dengan tekanan dalaman BN untuk letak jawatan.

Belumpun sampai 12 jam selepas Pak Lah menamatkan sidang media secara tergesa-gesa, mantan PM Mahathir Mohamad pula memanggil sidang media di kediamannya untuk mendesak agar Pak Lah berundur. Malah pengasas Umno Baru ini mengambil langkah drastik untuk keluar UMNO, semata-mata untuk mendesak agar Pak Lah disingkirkan. Untuk lebih setahun kemelut UMNO berlanjutan. Pelan peralihan kuasa diterima dan ditolak, diubah dan diterima kemudian. Desas-desus tersebar, penyokong Pak Lah datang dengan bas, merayu agar Pak Lah tidak melepaskan jawatan. Kemudian dikhabarkan pula akan berlaku pendedahan baru dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibuu, yang dilihat sebagai strategi untuk mematahkan kemaraan Najib. Akhirnya Najib tunduk, tetapi Pak Lah dicabar pula oleh bekas orang rapatnya, Muhyiddin Yassin.

Pergolakan dari 9 Mac 2008 hingga 3 April 2009 ini berakhir dengan kesudahan yang menguntungkan Najib dan Rosmah. Bayangkan, dengan 63.1% (140 daripada 222) kerusi parlimen yang ditawan, ia sebenarnya satu kedudukan yang agak selesa untuk parti pemerintah, di kebanyakan negara demokrasi. Namun, nisbah ini gagal memenuhi nafsu kuasa Umno-BN, yang sentiasa mendahagakan kuasa mutlak, meluluskan apa sahaja sesuka hati tanpa perlu mempertimbangkan suara pembangkang. Ketaksuban ini telah menyebabkan kekocakan politik tanahair.

Namun kita perlu sedar bahawa senario politik Malaysia telah memasuki satu era baru di mana mustahil kerajaan diberi mandat mutlak, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri. Rakyat semakin sedar bahawa pentingnya semak-imbang antara satu sama lain untuk memastikan hak mereka dijamin. Kuasa yang mutlak hanya menjurus kepada korup yang mutlak. Lihat bagaimana matangnya sesetengah negara Barat menangani senario 50-50 dalam pilihan raya. Tiada darurat diisytiharkan. Tiada ugutan tragedi 13 Mei berulang. Mereka sabar menunggu keputusan terakhir, dan memerintah mungkin hanya dengan lebih satu atau dua kerusi.

Oleh itu, seandainya kita mahu mengundi untuk kestabilan, Umno-BN bukan pilihan. Mereka memerlukan keputusan seperti PRU 11 pada tahun 2004, di mana lebih 90% kerusi parlimen dirangkulnya untuk mengekalkan kestabilan. Saya tidak menganggap Pakatan Rakyat memerlukan nisbah setinggi itu. Tidak timbul soalan Anwar Ibrahim akan digulingkan seandainya PR hanya menang 60% kerusi parlimen. Padahal, dengan 60% kerusi parlimen, kerajaan Pakatan sudah mampu memerintah dengan mantap. Soalannya cuma, apakah BN masih kekal wujud, meskipun memenangi 40% kerusi?

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.