RAMAI mengakui pendidikan kita menghadapi pelbagai masalah. Salah satu masalah yang besar ialah kemerosotan mutunya. Ini dapat kita lihat dengan jelas pada peringkat universiti. Tahun lalu tidak ada sebuah universiti pun dari negara ini yang mencapai tempat dalam senarai 400 universiti terbaik dalam dunia mengikut Times Higher Education (THE) Ranking.
Universiti di Asia yang mencapai kedudukan teratas dalam THE Ranking ialah University Tokyo, National University of Singapore dan University of Hongkong. Bahkan universiti di Thailand dan Filipina pun ada yang termasuk dalam senarai, walaupun kedudukannya tidaklah sebaik tiga universiti tersebut. Pada hal, 4-5 tahun dahulu ada universiti negara ini yang berjaya termasuk dalam senarai 200 universiti terbaik.
Saya memang bersetuju kita tidak boleh terlalu bergantung atau dipengaruhi badan seperti THE Ranking bagi menilai kedudukan universiti kita. Lebih penting daripada berusaha matian-matian untuk menaikkan ranking universiti, kita harus memastikan dua perkara. Adakah mereka berjaya memberikan sumbangan cemerlang kepada ilmu pengetahuan? Adakah mereka berjaya memberikan sumbangan yang bererti kepada kemajuan mesyarakat serta pembangunan negara? Jikalau kedua-dua perkara ini tercapai dengan memuaskan, maka dengan sendiri mutu atau ranking universiti kita akan meningkat.
Berdasarkan pencapaian universiti cemerlang, untuk mencapai matlamat memperbaiki ìrankingî dan meningkatkan mutu sumbangan universiti tempatan, perlu ada sekurang-kurangnya syarat berikut. Pertama, perlu ada peruntukan kewangan yang lumayan bagi membawa masuk skolar cemerlang yang boleh memandu atau bekerjasama dengan skolar tempatan untuk melaksanakan penyelidikan terbaik dan menghasilkan penerbitan serta hasil penyelidikan bertaraf tinggi.
Kedua, pimpinan universiti hendaklah berkelayakan cemerlang, berani meneroka jalan baru serta mempunyai visi. Ketiga, tiada campur tangan politik dan/atau sebarang sekatan undang-undang yang boleh mengekang perkembangan universiti sebagai pusat ilmu yang bebas.
Keempat, perlu wujud autonomi dalam bidang kewangan, pentadbiran dan akademik universiti. Kelima, hendaklah digalak komuniti pelajar yang berani bersaing sihat untuk mencapai kecemerlangan dan mempunyai sifat kritikal serta kreatif.
Kemerosotan mutu pendidikan bukan di peringkat universiti saja, bahkan berlaku juga di peringkat sekolah rendah dan menengah. Mutu pendidikan ini paling buruk terutama di kawasan desa dan apatah lagi kawasan pedalaman yang miskin.
Di kawasan-kawasan ini majoriti penduduknya adalah Melayu/Bumiputera. Sebagai contoh, kita ambil Sabah. Kita melihat dalam negeri ini keadaan kemiskinan paling meluas; di sini ramai rakyat yang hidup miskin dalam negeri yang boleh dikatakan kaya.
Di Sabah, terdapat 1070 sekolah rendah dan 215 sekolah menengah. Terdapat 283 sekolah tidak selamat yang melibatkan masalah struktur dan pendawaian elektrik. Terdapat 449 sekolah rendah dan 40 sekolah menengah yang daif – bangunan lama yang tidak terselenggara.
Terdapat 12 rendah dan 18 sekolah menengah yang menumpang. Terdapat 85 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah yang kerap dilanda banjir. Terdapat 114 sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik 24 jam dan oleh itu tidak guna dibekalkan dengan komputer. Terdapat 104 sekolah tidak mempunyai bekalan air bersih. Angka-angka ini saya kutip daripada kertas kerja “Ke Arah Memperkasa Pendidikan di Sabah” oleh Abdul Rahman Yakub.
Persekitaran serta alat sekolah yang serba daif pasti menimbulkan akibat buruk ke atas mutu pendidikan. Tidak kurang seriusnya, kebanyakan sekolah ini tidak mempunyai guru terlatih baik dan bermotivasi tinggi.
Bahkan di beberapa kawasan bandar pun di Sabah dan Sarawak terdapat ramai murid yang memasuki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Cina), yang dianggap lebih tinggi mutunya, lebih berdedikasi gurunya, lebih baik sistem pengajarannya dan lebih baik mutunya daripada kebanyakan Sekolah Kebangsaan, terutama dalam Matematik dan Sains.
Bercakap tentang Matematik dan Sains ini, kita dapati ada tanda-tanda yang menunjukkan tarafnya – dari segi pembelajaran dan pengajaran – semakin merosot di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Sebuah badan antarabangsa membuat kajian tentang “Trends in International Mathematics and Science Study” (TIMSS) empat tahun sekali ke atas murid-murid di tahun ke-4 dan ke-8 di seluruh dunia.
Berdasarkan kajian ini pada 2003 Malaysia tersenarai di tempat ke-10. Akan tetapi, pada 2007 kedudukannya turun kepada ke-20. Saya tidak sempat melihat kedudukannya pada tahun 2011. Akan tetapi, mengikut seorang teman yang melihatnya, kedudukan Malaysia sudah merosot kepada kedudukan ke-50.
Guru-guru sekolah nampaknya kurang minat dan dedikasinya. Di sesetengah negara guru dipilih dari kalangan siswazah terbaik; umpamanya di Finland, mereka yang diambil menjadi guru daripada kalangan lima peratus teratas. Akan tetapi di tegara kita, profesi perguruan kelihatan – terutama sekali di kalangan lelaki – sebagai pilihan terakhir, setelah gagal memasuki perkhidmatan awam misalnya.
Keadaan ini perlu berubah. Siswazah yang baik-baik hendaklah digalak dan dilatih menjadi guru dan gaji serta syarat kerja untuk profesi mulia ini hendaklah lumayan dan menarik.
Guru besar hendaklah seorang yang mempunyai dedikasi tinggi. Sekarang ada guru besar yang tidak menumpukan sepenuh masa dan perhatian kepada sekolahnya dan kebajikan guru serta muridnya. Ada yang kadang-kadang sering mengambil masa patut bertugas untuk mengekori atau melayan pegawai tinggi dan pemimpin politik, terutama yang bertaraf menteri.
Ini ada kaitannya dengan amalan melantik guru besar dari kalangan mereka yang mempunyai hubungan politik tertentu. Amalan ini, jika betul berlaku hendaklah diberhentikan.
Kini ada kelas-kelas khas untuk memberi pendidikan kepada OKU (Orang Kurang Upaya), daripada mereka yang mengalami autisme kepada dyslexia. Akan tetapi saya dapati kelas-kelas ini tidak mencukupi dan biasanya terletak di bandar-bandar. Ada di antara guru-gurunya yang kurang atau tidak terlatih sama sekali.
Saya harap lebih banyak peruntukan akan disediakan bagi membuka lebih banyak kelas pendidikan khas ini dan lebih ramai guru yang diberikan latihan untuknya. Kelas-kelas ini tidak boleh ditumpukan hanya di bandar.
-Oleh Dr Syed Husin Ali
Monday, December 10, 2012
Mengapa mutu pendidikan merosot?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Setiap kali Menteri Pelajaran berubah maka setiap kali itulah dasar berubah, guru bingung murid lagilah pening kepala!
ReplyDeleteSatu perkara yang tidak di sentuh oleh penulis ialah birokrasi di sekolah membebankan guru... kerana birokrasi ini kerja untuk mengajar diabaikan. Sekarang ini guru lebih banyak buat kerja yang tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran.... fikir-fikirkanlah.... penulis perlu masuk ke sekolah/universiti dan tulis apa yang anda dengar dan lihat... jangan kata guru tidak berdedikasi. Kalau nak rasa beban guru silakanlah jadi guru baru boleh tulis dengan baik...
ReplyDeleteTanya Mudim tak boleh menyelesaikan masalah.. dia akan cakap.. "Tolong jgn politikkan kedudukan sebagai TPM dan Menteri Pelajaran.. kalau saya letak jawatan.. nanti saya tak dapatlah jadi PM.." hehe
ReplyDelete