Salahuddin Ayub menegaskan bahawa demonstrasi jalanan tidak akan berlaku sekiranya parti atau pembangkang diberi ruang yang secukupnya untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Naib Presiden Pas berkata pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan yang memerintah terpaksa mengambil tindakan seumpama itu apabila ruang untuk bersuara secara aman dan teratur disekat dan dihalang.
"Ruang bersuara ketika pilihan raya kecil dan pilihan raya umum terlalu kecil, maka rakyat yang ada hanya lidah dan gigi ini turun ke jalan raya untuk menuntut hak mereka," kata beliau ketika mengambil bahagian dalam Debat Sinar di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini, malam ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian berkatal, pemimpin negara tidak sewajarnya berfikiran sempit, sebaliknya perlu melihat demonstrasi jalanan sebagai hak peluang rakyat untuk bersuara.
"Ini setiap kali ada perhimpunan, mesti ada gas, tu yang jadi huru hara," katanya lagi.
Salahuddin berkata, hak asasi manusia tidak boleh dibunuh dalam demokrasi.
Justeru, katanya pemimpin harus urus dan pimpin tangan anak muda tidak secara sempit tetapi secara adil dan seimbang seperti di negara Korea.
Katanya, sekiranya cukup ruang,tidak perlu demonstrasi jalanan dan tidak perlu menyatakan secara jalanan.
Dalam perbahasan ilmiahnya katanya, bagi negara yang berpura-pura dengan keadilan demokrasi, demonstrasi jalanan itulah yang melahirkan demokrasi.
Salahuddin berkata, demonstrasi secara aman boleh dijadikan sebagai alat untuk menghentikan kemelut kepada negara yang impikan demokrasi.
“Jika ada pengasingan kuasa, kerajaan tidak akan jatuh sebaliknya kerajaan penakut sahaja yang takut kepada demonstrasi jalanan.
“ Masalahnya, kami tidak dapat secara lembut (kebebasan bersuara) jadi demontrasi jalanan adalah cara terbaik untuk kukuhkan demokrasi,” katanya.
Salahuddin berkata, perlu diingat ketika zaman Nabi Muhammad SAW, sewaktu perang Badar dan Qubra juga bermula daripada protes.
Maka dalam konteks Bersih 3 katanya, ia perlu dilihat dengan niat yang betul dan diterjemahkan secara jelas.
Sehubungan itu katanya, perlunya ditubuhkan suruhanjaya diraja yang benar-benar bebas untuk menyiasat secara jelas pihak yang mencetuskan provokasi.
"Polis kata ada video, tetapi sampai sekarang tidak juga ditayang. Jika begitu, kami juga ada video dakwaan polis mengasari peserta perhimpunan,” katanya. -SH
Saifuddin: Demo bukan cara kukuh demokrasi
SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menolak keras demonstrasi jalanan adalah cara yang terbaik untuk mengukuhkan demokrasi kerana pendekatan sedemikian hanya boleh mengganggu ketenteraman awam dan hak rakyat.
“Demonstrasi jalanan jelas memberi impak negatif kepada orang ramai dan komuniti sekitar kawasan yang terlibat seterusnya menjadi punca kepada kekacauan berlaku apabila demonstrasi jalanan (diadakan),” kata beliau ketika berhujah pada Debat Sinar bertajuk “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi" di sini, malam ini.
Beliau memberi contoh insiden yang terjadi ketika perhimpunan Bersih 3.0 April lalu, pelbagai jenis risiko seperti kecederaan boleh berlaku khususnya ke atas mereka yang menyertai demonstrasi jalanan.
Justeru, beliau menyeru kepada orang ramai untuk mengukuhkan demokrasi di kalangan rakyat negara ini melalui pelbagai cara.
“Kita seharusnya menjadi lebih liberal dengan meggunakan medium media baru seperti Twitter, Facebook dan mengadakan perundingan untuk mencapai dan mengukuhkan demokrasi dalam negara kita,” katanya.
Beliau turut bertegas agar rakyat perlu mengukuhkan demokrasi dengan cara menguasai ilmu pengetahuan dan beliau turut mengimpikan agar dapat memajukan anak bangsa Malaysia.
“Walau bagaimanapun demokrasi perlu dikukuhkan dengan cara yang lebih matang dan progresif agar negara kekal aman dan untuk mencapai misi ini, kita mesti mempunyai cara tersendiri,” kata beliau ketika membalas hujah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.
Jelas beliau, demonstrasi jalanan tidak sepatutnya diadakan kerana rakyat sendiri perlu tahu menggunakan ruang dan medium lain bagi menyuarakan sebarang perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan yang memerintah.
“Jika ada sebarang perbezaan pendapat dalam politik, kita perlu menggunakan cara debat atau berbincang secara baik, jika ada sebarang kesilapan, kita boleh betulkan bersama-sama secara sopan, bukan menggunakan emosi,” tegas beliau.
“Kita menolak sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan ini kerana kerajaan sedia maklum dan bertanggungjawab kepada kebajikan rakyat. Kita tidak mahu gadaikan keselamatan orang awam dengan mengadakan sebarang demonstrasi jalanan,” kata Ahli Parlimen Temerloh ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, beliau sendiri tidak nampak sebarang bentuk penyelesaian masalah dengan mengadakan demonstrasi jalanan ini kerana ia jelas tidak dapat mengukuhkan demokrasi.
Katanya lagi, pilihan raya yang diadakan di negara ini juga merupakan hak dan pilihan rakyat dan oleh itu, kemenangan rakyat menjadi isu pokok, bukan isu kemenangan kepada mana-mana parti politik yang bertanding.
Debat Sinar berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam itu dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.
Debat Sinar ini, yang kedua dianjurkan oleh Sinar Harian, bertajuk "Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi".
Debat Sinar pertama diadakan bulan lalu. -SH
Thursday, June 21, 2012
Debat : 'Demonstrasi Jalanan- Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Write commentsNote: Only a member of this blog may post a comment.