Saturday, June 16, 2012

WARIS kecam Saddi Kutuk Lajim

PENGERUSI Penyelaras Persatuan Warisan Budaya Bumiputera Sabah (WARIS) kawasan Parlimen Batu Sapi Sandakan, Sapari Idal (gambar) menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman yang menyifatkan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin dalam media baru-baru ini sebagai mengelirukan rakyat Sabah.

Katanya, kenyataan penafian Lajim untuk tidak akan meninggalkan Barisan Nasional (BN) Isnin lepas tidak menggelirukan rakyat kerana ia sekadar ulasan mengenai pelbagai spekulasi yang mengaitkan diri beliau kebelakangan ini.
"Kenyataan beliau itu hanya satu pengakuan yang beliau masih dalam BN dan tidak menyertai pembangkang. Saya fikir itu tidak akan mencetus kekeliruan kepada rakyat," kata Sapari.

Dalam kenyataan itu, Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dari parti lain di Sabah bagi membincang dan menyelesaikan masalah rakyat.

"Perkara ini jelas dan sebagai rakyat yang berfikiran matang dan terbuka tentunya tidak timbul soal mengelirukan rakyat Sabah. Tiada apa perkara yang menggelirukan rakyat," ujar beliau.

Menurut Sapari, kenyataan Lajim itu sebaliknya perlu dilihat dan dinilai dari sudut positif bukannya dipolitikkan dan disensaikan kerana isu yang dibincangkan melibatkan kepentingan rakyat iaitu perubahan kepimpinan, pendekatan serta tindakan bagi menangani masalah rakyat Sabah teutamanya ketika berhadapan dengan PRU ke 13 akan datang.

"Sebagai pemimpin politik dan pemimpin beberapa badan NGO, saya yakin Lajim bukan sahaja menyuarakan masalah ini dalam mesyuarat rasmi parti dan kerajaan, namun sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat beliau berhak menyuarakanya di luar dari forum tersebut. Kita patut menghargai keberanian ini menyuarakan keperluan untuk perubahan kepimpinan bagi menambahbaik perjalanan kerajaan, " tegas Sapari.

Beliau juga membidas Saddi kerana sebagai pemimpin, dia perlu faham pemimpin berhak menyuarakan masalah rakyat dan tidak terlalu hipokrit mengakui seolah-olah tiada kepincangan walaupun realitinya bukan begitu.

"Pada kita, isu dan masalah rakyat perlu diperjuangkan walaupun terhadap pemimpin kurang menyenanginya," katanya.

Sapari menyifatkan ulasan yang dibuat Saddi akan hanya mengeruhkan keadaan, adalah lebih baik beliau memberikan tumpuan kepada kawasan yang beliau wakili (Sukau) kerana masih banyak keperluan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat di kawasan tersebut terutamanya isu tanah yang tiada penyelesaian dari mempertikaikan kenyataan pemimpin dalam BN sendiri," katanya.

Sapari yang juga Ketua Cawangan Umno Segaliud Bersatu berkata, dari segi fakta sejarah, Sabah perlu mengakui pengorbanan Lajim bersama rakan rakannya sebelum ini yang menyertai Umno telah membolehkan Sabah diperintah oleh kerajaan BN dan nikmatnya bukan sahaja diperolehi oleh rakyat walaupun belum menyeluruh dan inilah yang perlu diperjuangkan pemimpin politik terutamanya dari BN agar rakyat Sabah tidak jauh ketinggalan dalam arus kemajuan perdana negara.

"Pada saya Lajim adalah pejuang rakyat, kita belum pernah berlaku kes beliau dipukul oleh rakyat di kawasan yang beliau wakili, malah menjadikan wakil rakyat sejak beberapa tahun membuktikan beliau disenangi oleh rakyat membuktikan beliau komited membangunkan rakyat di negeri ini," jelas Sapari.

Menurut Sapari, kelantangan Lajim dalam menyuarakan masalah rakyat bukan sahaja di kawasan beliau seharusnya tidak dilihat sebagai penentang kerajaan sebaliknya dalam merealisasikan konsep, "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan", pemimpin seperti beliaulah (Lajim) yang diharapkan oleh rakyat di Sabah agar nikmat pembangunan kemajuan dan kebajikan rakyat di negeri ini terus terbela selaras dengan tanggapan Sabah sebagai Simpanan Tetap BN.

"Sebagai pemimpin berjiwa rakyat kita tidak perlu kepada sikap 'yes man" sahaja atau menjadi askar upahan untuk bercakap demi mempertahankan survival politik peribadi daripada mempertahankan hak dan kepentingan rakyat keseluruhanya di negeri ini," katanya.

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.