Friday, June 8, 2012

RCI Penanda Aras Kredibiliti Kerajaan

TIMBALAN Presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing berkata penubuhan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bukan sekadar memantau kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), malah menyekat kerakyatan songsang yang sudah lama menunjangi politik Sabah.

"RCI adalah penanda aras kredibiliti kerajaan dan menjadi satu kemestian yang tidak dapat ditolak," kata Bumburing.
Katanya, pemberian kad pengenalan projek bukan lagi cerita baru ini sejak zaman BERJAYA kerana PATI yang datang dari Filipina, Indonesia dan juga Paksitan telah diberikan kad pengenalan melalui sindiket yang telah berjaya dipatahkan pada 1995.

Bumburing berkata demikian dalam satu wawancara khas dengan Sabahklini.Net sejurus selepas merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Telupid yang di langsungkan di Dewan Belia Kampung Taviu, Jalan Telupid, kelmarin.

Menurut Bumburing, tindakan Perdana Menteri menubuhkan RCI itu memang baik dan wajar disokong oleh semua pihak; tetapi yang menjadi tanda tanya siapakah barisan ahli-ahli panel dalam jawatankuasa suruhanaya itu? Adakah hanya terdiri daripada ahli-ahli UMNO sahaja atau Pro-Kerajaan sahaja?

Untuk tidak meragukan semua pihak, ada baiknya jika ahli panel jawatankuasa RCI dilantik di kalangan tokoh bebas yang tidak menyertai mana-mana pertubuhan politik agar kredibilitinya tidak dipertikaikan kelak.

"Andai kata hanya ahli UMNO atau BN sahaja yang menjadi ahli panel tersebut, maka tentu banyak perkara songsang akan berlaku; malah memesongkan persepsi orang ramai terhadap RCI kerana akan dianggap tidak telus dan tidak ikhlas. Kita tidak mahu RCI hanya sekadar melepaskan batuk di tangga," ujar Bumburing yang menggesa agar RCI yang bakal ditubuhkan tidak menjadi seperti RCI menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Bumburing yang juga Pengerusi AMANAH Sabah menjelaskan mengikut statistik, unjuran nisbah bilangan populasi penduduk asal suku/bangsa Sungai di Kinabatangan baru berjumlah 31 ribu orang berbanding dengan jumlah PATI yang sudah menjadi Warga Negara Malaysia gara-gara memiliki mykad projek ialah 172,000 ribu.

"Senario ini amat berbahaya untuk keselamatan Negara kerana sudah berlaku 'reverse take over' di Kinabatangan,” kata Bumburing yang menggesa rakyat di Kinabatangan bertindak sebelum terlambat.

Tegas Bumburing lagi, jika kerajaan tidak dapat memantau keadaan ini melalui penubuhan RCI, maka sudah tentu Negara kita akan terancam.

"Bagaimana nasib anak bumiputera tulen? Kita tidak mempertikaikan bangsa mereka terutama yang datang sebelum merdeka, terutama yang mendapat kerakyatan secara sah; sebaliknya hanya menumpukan mereka yang medapat kerakyatan songsang," ujar Bumburing yang kesal kerana Kerajaan Persekutuan masih menunggu Terma Rujukan (TOR) yang sesuai sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Bumburing turut kesal kerana masalah kerakyatan songsang yang berlaku di Sabah sebelum ini telah merebak ke Semenanjung Malaysia sehingga mengubah pola pengundian dan hak kuasa untuk menubuhkan kerajaan.

"Mengenai kes kad pengenalan projek ini, saya sudah berkali-kali membawa isu ini ke persidangan Dewan Rakyat tetapi ramai memandang serong kepada saya yang kononnya membawa suara pembangkang; sedangkan saya hanya memperjuangkan hak rakyat Sabah dan kuasa kami memilih kerajaan yang sah," kata Bumburing yang mengakui landskap politik Sabah sudah jauh berubah sejak 1994.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
(sabahkini)

3 comments:
Write comments
  1. seorang pemimpin yang perlu dimenangkan dalam PRU13

    ReplyDelete
  2. banyak fakta bernas yg disuarakan oleh DS Wilfred Bumburing ini menyentuh persoalan sebenar isu PATI dan perkara yg tlh beliau sentuh memang merupakan mimpi ngeri bg PM/BN yg merestui pemberian myKad palsu ini kpd PATI sedikit masa dulu. Malah jika ahli panel RCI memang dipilih dr kalangan YB BN atau peg pencen yg mempunyai track record brsama BN sebelum ini...jelas penubuhan RCI adalah utk mempersendakan rakyat Sabah shj. Sebab jika dipilih dari kalangan peg kerajaan samada dah pencen atau belum yg benar2 berkaliber dan neutral, masalah besar yg trpaksa BN hadapi ialah ramai VVIP atau Tuan2 Besar yg telah dan pernah dilantik kejawatan utama negara,akan merengkok dlm penjara dan mereka yg brsekongkol pulak 'wajib' disumbat dibawah ISA. Itu yg utama dan barulah proses utk melucuthak pemilikan myKad mesti dimulakan oleh Peguam Negara. Masalahnya ialah bagaimana kalau beliau juga dari rumpun 'mereka' yg bersekongkol?

    ReplyDelete
  3. Rakyat bumiputra sabah atau orang asal negeri Sabah ingin melihat jawatankuasa yang mewakili RCI ini mestilah ianya terdiri Dari kalangan individu yang bebas mahupun NGO yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.Ini dapat memberikan keyakinan kepada rakyat mengenai ketelusan Dan integritinya.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.