Monday, June 27, 2011

Hak rakyat untuk berhimpun – Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengulangi pendiriannya ke atas perhimpunan Bersih, Pemuda Umno mahupun Perkasa yang akan diadakan serentak pada 9 Julai ini, sebagai hak orang ramai untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam (gambar), perkara itu termaktub di dalam perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Suhakam mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun seperti yang terkandung dalam, antara lain laporan tahunannya kepada Parlimen serta permintaan bagi pemansuhan Subseksyen (2), (2A) hingga (2D), (4), (4A), (5), (5A) – (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967.

Suhakam juga mengesyorkan agar pihak polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan dijalankan.

“Maka Suhakam menyeru agar pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman itu diadakan.

“Dan kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Suhakam juga akan memantau perhimpunan itu dengan sewajarnya.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram Bersih jika ia benar-benar didapati menggugat keselamatan awam dan negara.

Beliau bagaimanapun berkata, penggunaan akta tersebut buat masa ini masih belum diperlukan memandangkan pemantauan terhadap matlamat sebenar perhimpunan itu sedang dilakukan pihak berkuasa. -FMT

16 comments:
Write comments
  1. Apapapun, harap persefahaman akan dicapai.

    ReplyDelete
  2. Betulkah pembangkang bukan dalang di sebalik perhimpunan ini?

    ReplyDelete
  3. ada pihak yang bersetuju dan ada pula yang tidak bersetuju. tunggu saja la apa yang akan berlaku 9 julai nanti.

    ReplyDelete
  4. jika nak berhimpun punm kena pastikan jgn sampai mengganggu ketenteraman awam.

    ReplyDelete
  5. Setuju dengan Bersih kalau tuntutannya ikhlas untuk rakyat dan bukannya didalangi pembangkang. Tidak setuju dengan perhimpunan ini jika ia hanya akan mengundang kekecohan.

    ReplyDelete
  6. Harap2 berhimpunan aman tu tidak bertukar kepada keganasan.

    ReplyDelete
  7. harap semua pihak akan berfikir dengan baik dan rasional..fikirkan kesan yang akan timbul...

    ReplyDelete
  8. Kita mahukan sesuat dilakukan dengan ketenangan dan aman. Jadi BERSIH perlulah mematuhi arahan yang diberikan ketika itu.

    ReplyDelete
  9. Saya sokong pandangan Suhakam. Belum cukup masa buat kDM untuk menyelidik samada matlamat Bersih itu ada masalah atau tidak? Jika didapati ada yang bercanggah dengan undang-undang, sila umumkan dengan cepat.

    ReplyDelete
  10. Hak berhimpun harus dihormati. Perlembagaan harus dihormati.

    ReplyDelete
  11. Pandangan Suhakam bernas dan berfaktar. Disokong dengan merujuk kepada Perlembagaan Negara.

    ReplyDelete
  12. Siapa dapat membantah kenyataan dari Suhakam? Jelas hak ini diperuntukan dalam Perlembagaan.

    ReplyDelete
  13. Perlembagaan kita cukup adil dan secara menyeluruh. Cuma ada pihak yang sengaja mengabaikan hak yang diperuntukan kepada rakyat untuk berhimpun secara aman untuk menyuara.

    ReplyDelete
  14. Negara aman sekiranya semua pihak menghormati dan menaati Perlembagaan.

    ReplyDelete
  15. Malaysia menuju keamanan dan keadilan sejagat. Maknanya BERSIH untuk semua ...

    ReplyDelete
  16. bolehkah perhimpunan ini berjalan dengan aman dengan jumlah peserta 300 ribu orang? bolehkah suhakam memberikan jaminan semua aktiviti orang awam dan peniaga tidak akan terganggu?? kenapa Ambiga menolak pelawaan SPR untuk mengadakan perbincangan sekiranya beliau benar2 mahu pilihanraya adil??

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.