Wednesday, June 29, 2011

Pejuang bahasa diserang bangsanya sendiri

“BEGINI rupanya nasib pejuang bahasa ibunda, diserang oleh anak bangsanya sendiri, di tanah tumpah darahnya sendiri…”

Itulah bait kata-kata yang amat mengesankan hatiku daripada seorang tokoh Sasterawan Negara, A Samad Said. Pengalamannya disembur air pemedih mata ketika menyertai demonstrasi menentang PPSMI, disingkap penuh semangat di Titi Hayun awal Mei lalu.

Tokoh yang tidak asing bagi mereka yang peduli. Namun ada juga yang buat-buat tidak mengenali, memandangnya sebelah mata. Mungkin mereka hanya memandangnya, hanya susuk orang tua yang biasa-biasa. Mata hati mereka terhijab, tidak nampak apa yang tersirat dalam gejolak nurani tokoh ini, adalah begitu luar biasa.

Kali ini, tiga hari aku dan teman-teman seperjuangan akan bersama-samanya dalam Kursus Penulisan Kreatif anjuran PAKSI dan CAP. Menjamu selera bersebelahan dengannya, aku merenung susuk tubuhnya yang sudah menjangkau usia 76 tahun itu. Siapa yang tidak teruja?

Raut wajahnya kutatap lama. Sudah sekian lama aku menanti saat begini. Misainya… Ya, misainya memang lain daripada yang lain. Memutih semuanya, dengan janggut dan rambutnya yang panjang. Begitu karismatik. Memang unik orangnya, seunik nukilan sasteranya.

Kudratnya masih kuat, gerak lakunya masih lincah. Pernah aku meminta untuk menolong membawa beg galasnya yang sarat, penuh dengan buku. Dia menolak dengan baik. Selayaknya dia dikurniakan Allah kecergasan sebegitu. Hobinya berjalan kaki di sekitar ibu kota agak berbaloi. Hobinya itu menguatkan stamina tubuhnya. Rupanya dia tidak betah berkereta semenjak dulu lagi.

Mendengar bicaranya yang sopan, lembut namun sesekali keras menegas. Luahan kerasnya kedengaran apabila beliau menyentuh soal karyanya di Dewan Bahasa dan Pustaka. Karyanya sudah sekian lama dipasung, bersarang begitu sahaja. Berapa kerat anak bangsanya dapat menikmati keindahan seni sasteranya yang telah mendekam sekian lama?

Dialah seorang diri, menjerit minta dibebaskan buku-bukunya yang amat dikasihinya itu. Pedih benar luka deritanya ketika menceritakan air tangannya yang semakin bersawang tidak dicetak lagi. Ke hulu dan ke hilirlah beliau sendirian. Ratap tangisnya siapa yang peduli?

Alhamdulillah, berkat kegigihan tanpa jemu, akhirnya buah hati pengarang jantungnya itu kini dibebaskan. Lalu diserahkan karyanya itu kepada PTS untuk ditanam, tumbuh subur dan kini buahnya dapat dinikmati seenaknya. Nampak benar puas di wajahnya. Karya besarnya itu telah bebas merdeka. Dia yang pernah menempuh derita penjajahan, mengerti benar erti kemerdekaan.

Ceritanya terpaksa menelan sup tikus semasa penjajahan Jepun di Singapura membuat aku geli geleman. Namun tergenang jua air mataku, sebak, membayangkan betapa derita dia di sisi bondanya yang sengsara di zaman penjajahan. Derita yang tak terungkap dek lidah. Namun hikmahnya, terakam jua karya agungnya, Salina, dek derita yang panjang itu.

Perjuangan Pak Samad hari ini lebih menyerlah. Beraninya tidak disorok lagi. Langkahnya ke hadapan tidak diundur lagi. Lantak, apa nak jadi, jadilah!

Ruang yang ada bersamanya tidak aku lepaskan. Antara soalan yang aku lontarkan kepadanya, “Jika Pak Samad seusia kami, apakah yang Pak Samad akan lakukan?”

Jawapannya spontan dan tegas, “Anak muda hari ini harus berani tukar kerajaan yang ada sekarang. Kerajaan sekarang telah diberi peluang memerintah semenjak merdeka. Namun kezaliman semakin merata. Kerajaan baru wajar diberi peluang untuk memerintah! Perjuangan seorang penulis bukan sekadar di mata pena. Penulis wajar turun ke lapangan, rasai denyut nadi derita rakyat.”

Dia tidak gusar lagi untuk berdiri tegak dan teguh, melontar amarahnya terhadap kezaliman dan ketidakadilan pemerintah. Melaungkan suara gemersiknya di pentas-pentas parti pembangkang bagi menyatakan kebenaran.

Beliau bukan berpihak kepada sesiapa tetapi memihak kepada kebenaran. Dia semakin matang di medan juang. Dia tidak ragu untuk menolak jemputan, sekiranya mana-mana tokoh yang hadir dalam majlis tersebut adalah pemimpin yang kontang jiwanya daripada cintakan bahasa ibundanya sendiri. Baginya bayaran wang ringgit bukan galang ganti sebuah maruah dan harga diri. Pengkhianat bahasa dan bangsa tidak dipandangnya walau sebelah mata.

Rasa meluatnya jelas kelihatan kepada kepura-puraan dan kemunafikan mana-mana pihak. “Penulis mesti jujur!” Itulah pesanan penuh makna yang akan kami jadikan prinsip dalam perjuangan. Apa ertinya perjuangan tanpa merasa Tuhan melihat setiap inci gerak laku dan bicara hati. Tanpa merasa diri itu milik Ilahi dan padaNya jua akan kembali.

Pulang dari Titi Hayun, aku sempat menatap karya terbarunya Al Amin di sebuah kedai buku di Bandar Kuantan. Begitu mudah untuk mendapatkannya. Ya, tidak sesusah dulu. Pemasaran proaktif yang dilakukan oleh PTS wajar diteladani syarikat-syarikat buku bumiputera yang lain. -Detikdaily

19 comments:
Write comments
  1. "Ruang yang ada bersamanya tidak aku lepaskan. Antara soalan yang aku lontarkan kepadanya, “Jika Pak Samad seusia kami, apakah yang Pak Samad akan lakukan?”

    Jawapannya spontan dan tegas, “Anak muda hari ini harus berani tukar kerajaan yang ada sekarang. Kerajaan sekarang telah diberi peluang memerintah semenjak merdeka. Namun kezaliman semakin merata. Kerajaan baru wajar diberi peluang untuk memerintah! Perjuangan seorang penulis bukan sekadar di mata pena. Penulis wajar turun ke lapangan, rasai denyut nadi derita rakyat.”

    Apa pendapat anda...

    ReplyDelete
  2. setiap orang ada pandangan mereka sendiri..jadi biarlah setiap orang menentukan pilihan mereka sendiri..

    ReplyDelete
  3. The power is in your hand

    ReplyDelete
  4. A. samad Said perjuangkan apa yang dia ingin perjuangkan. setiap orang ada perjuangan mereka sendiri. tapi pastikan kita berjuang untuk perkara yang baik.

    ReplyDelete
  5. Mentang2 A. Samad Said, ayat2 penulis artikel ini pun berbunga-bunga.

    ReplyDelete
  6. perjuangan A.Samad Said harus dicontohi. beliau bukan sekadar tokoh sasterawan negara.

    ReplyDelete
  7. Bayangkanlah terpaksa minum sup tikus. Hargailah keamanan yang kita ada sekarang.

    ReplyDelete
  8. Rasanya beliau tidak ada niat pun mahu menyertai BERSIH. Mungkin puisi beliau disalahfahamkan oleh pihak lain. Puisi agak mendalam maksudnya jika kita tidak begitu memahaminya.

    ReplyDelete
  9. Kenapa hasil karyanya 'dipasung'? Padahal beliau adalah antara sasterawan terbaik di Malaysia...

    ReplyDelete
  10. Jika dia betul bersalah, tahan beliau dengan cara yang betul. Jika tidak bebaskan beliau dan jangan ganggu beliau lagi.

    ReplyDelete
  11. Gaya artis memang unik dan berbeza dari yang lain.
    Biasanya orang seperti ini tidak mudah berubah fikirannya.

    ReplyDelete
  12. Saya tertanya-tanya apa jadi dengan manusia zaman sekarang. Macam berlumba-kumba nak timbulkan kontroversi. hhuhuhu

    ReplyDelete
  13. Setuju ikan keke. Buatlah apa yang patut asalkan tidak mennyusahkan orang lain.

    ReplyDelete
  14. Penulis mesti jujur. Jika tidak menyokong itu tidak jujur. Pak turut semuanya jujur.

    ReplyDelete
  15. Pandangan seorang sasterawan terhadap Bersih berlainan dari ahli-ahli politik.
    Sasterawan tidak ada agenda peribadi. Pandangannya neutral. Tidak memihak pada sesiapa tetapi pada kebenaran.

    ReplyDelete
  16. Belum ada peluang membaca karya sasterawan negara ini.

    ReplyDelete
  17. Berapa umur Pak Samad?

    ReplyDelete
  18. A Samad Said has written many good masterpiece. Its too bad that he got into trouble for his works.

    ReplyDelete
  19. A Samad tidak patut mencampur adukkan karya seninya dengan politik.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.