Wednesday, June 22, 2011

Sabah Perlu Kuasa Autonomi Pelajaran

SELARAS usaha membangunkan pendidikan di Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri perlu diberikan kuasa dan autonomi dalam melaksanakan projek pembangunan berkaitan pendidikan, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi membolehkan keputusan dibuat dengan cepat dan tepat, tanpa perlu merujuk semua urusan ke Putrajaya, terutama bagi perkara-perkara kecil.

"Dengan cara itu, keputusan boleh dibuat dengan cepat, pelaksanaan dapat dimulakan tanpa melalui amalan birokrasi yang dikhuatiri menjejaskan matlamat kerajaan membangunkan bidang pendidikan kita," katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perdana 2011 anjuran Yayasan Kota Belud dan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, di sini pagi ini.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah, Bakhrin Hj Yusop.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata, dengan memberi kuasa kepada Jabatan Pelajaran Negeri, maka usaha boleh dilaksana untuk memberi fokus dan perhatian kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.

"Adalah satu hakikat jelas bahawa kemudahan pendidikan di Sabah dan Sarawak masih terkebelakang berbanding di Semenanjung, begitu juga dari segi pencapaian akademik, justeru langkah terbaik menanganinya ialah dengan memberi kuasa kepada Jabatan Pelajaran Negeri, membuat keputusan bagi perkara yang tidak melibatkan soal dasar.

"Dengan diterajui orang Sabah, maka Jabatan Pelajaran Sabah tentunya lebih memahami keadaan dan keperluan di tempat sendiri. Mesyuarat-mesyuarat kecil di KL perlulah dikurangkan.

"Yang penting, Jabatan Pelajaran Negeri diberi kuasa-kuasa sewajarnya, kerana jika tidak, kita akan terus berhadapan masalah dalam melaksanakan projek pembangunan pendidikan di negeri ini," katanya

Salleh juga berkata pembangunan bidang pendidikan di negeri ini menuntut anjakan paradigma secara serius, dan ia memerlukan keazaman politik di peringkat pimpinan kerajaan.

"Banyak sudah dilapor mengenai keadaan bangunan sekolah usang dan uzur, prestasi akademik yang mundur dan sistem pelaksanaan projek pendidikan yang tidak teratur.

"Ini semua tidak boleh dibiar terus terlanjur, justeru kita berharap agar difikirkan secara serius pemberian kuasa kepada Jabatan Pelajaran Sabah untuk memberi fokus utama," katanya.

Menurutnya, negeri Sabah perlu diberikan kuasa sewajarnya dalam menjayakan agenda pendidikan negara demi mengangkatnya setanding dengan negeri lain di Semenanjung.

-Sabahkini

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.