Wednesday, June 22, 2011

Sarawak sekadar modal untuk kuasa politik?

Selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, penganalisa politik mendakwa bahawa Sarawak yang kononnya "deposit tetap" Barisan Nasional (BN memenangi 29 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak) telah menjadi "overdraft" (memetik Tay Tian Yan dari Sin Chew Daily). Ini kerana Pakatan Rakyat merangkul 12 dari 14 kerusi di kawasan bandar, dan pengundi di kawasan separa desa juga jelas mengubah kecenderungan pengundian mereka (memetik Bridget Welsh).

Ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PKR, DAP dan PAS) memperolehi jumlah undi 38.9%, peningkatan sebanyak 15.1% berbanding 23.8% pada tahun 2006 (memetik Andrew Aeria). Menurut perhitungan yang dibuat, BN kehilangan sejumlah 8% undi berbanding PRN ke-9 (termasuk undi yang kalah kepada calon bebas).

Menurut pemerhati, perubahan 7-8% undi lagi bakal menggulingkan kuasa kerajaan BN di negeri Sarawak, mengikut pola pengundian yang terkini. Namun, perkiraan ini agak simplistik, ada bahayanya kerana terlampau menekankan "angka". Pada hakikatnya, banyak lagi faktor yang harus dipertimbangkan, misalnya kuasa politik wang, politik pembangunan, kesedaran pengundi, pengendalian isu sosial ekonomi dan sebagainya - kesemua ini adalah kunci faktor pengubah.

PR telah membuat congakannya lebih awal lagi apabila menaruh harapan agar Sarawak di Malaysia Timur boleh berubah. Hujah "rampasan kuasa 16 September" oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim pada tiga tahun yang lalu dibuat kerana salah-tanggapnya bahawa hanya dengan memujuk sesetengah wakil rakyat Malaysia Timur untuk melompat, maka PR akan memerintah dengan majoriti mudah di parlimen.

Walaupun negeri Johor juga gedung kerusi parlimen untuk BN (25 daripada 26 kerusi), namun PR tetap memfokuskan tumpuannya kepada bumi kenyalang ini. Ketika berucap di Miri menjelang Hari Gawai, pemimpin DAP Lim Kit Siang (gambar kiri) berkata pola yang ditunjukkan dalam PRN Sarawak baru-baru ini adalah langkah pertama PR menawan Putrajaya (kerusi PR bertambah dari 6 kepada 15).

Dari segi "menang-kalah", baik BN mahupun PR, Sarawak dijadikan medan rebutan - sama ada ia digelar sebagai negeri deposit mahupun sebagai sebiji catur.

Berorientasikan Semenanjung

Aktivis sosial dari Semenanjung seperti Ong Boon Keong, Steven Ng, Chou Z Lam dan sebagainya, telah mula menyemai gagasan mereka sebaik sahaja PRU ke-12 melabuh tirai. Tidak kurang antara mereka yang memasuki kawasan pedalaman Sarawak untuk melakukan kerja-kerja seperti pendaftaran pengundi, pendidikan pengundi, rakaman dokumentari dan perkhidmatan komuniti. Malangnya usaha mereka dibalas dengan risiko larangan memasuki sempadan Sarawak. Untuk mereka, pertukaran kerajaan harus berasaskan kesedaran rakyat. Dan isu pencerobohan tanah adat orang asli yang berlaku telah memberi kesempatan agar rakyat disedarkan.

Sesungguhnya, kami tidak seharusnya meragui jiwa mereka yang prihatin atas prinsip keperimanusiaan, dan tuntutan politik mereka agak nyata, dan boleh dikatakan agak wajar. Mereka menaruh harapan agar perubahan di Malaysia Timur boleh membawa politik Malaysia ke arah sistem dua parti. Analisa pada umumnya menganggap keputusan PRU 8 Mac 2008 telah mencetuskan tsunami politik, dan telah melakar bentuk awal sistem dua parti di Semenanjung (Malaysia Barat).

Bagaimanapun, sama ada hujah "deposit tetap" mahupun cadangan menjayakan sistem dua parti dengan perubahan di Malaysia Timur, kedua-duanya tetap memperlihatkan fikiran yang bertitik tolak dari Semenanjung. Apakah Sarawak dan Sabah sekadar watak sampingan mahupun modal untuk politik Semenanjung? Ia umpama sepasang ibu bapa yang melahirkan satu lagi anak untuk membekalkan sumsum tulang, setelah mendapati anaknya sekarang berpenyakit sumsum tulang. Dari perspektif etika, anak bongsu ini dilahirkan untuk melanjutkan hayat anak sulung. Apakah nilai nyawa anak bongsu ini sekadar berada pada kedudukan sampingan?

Taib Mahmud (gambar kiri) juga kelihatan ghairah dengan kelebihan "deposit tetap" ini (PBB yang diterajuinya menang kesemua 35 kerusi yang ditandingi), sebagai modal untuk dirinya tawar-menawar harga dengan kerajaan persekutuan, sehingga kerajaan persekutuan tidak terdaya untuk melakukan apa-apa terhadap amalan rasuah di bawah kerajaannya. Lantaran daripada itu, kuasa, kedudukan dan hartanya tetap kukuh sehingga hari ini, dan kebal dari undang-undang. Meskipun diberi liputan yang luas dalam Sarawak Report, yang mendedahkan hartanya yang tidak setimpal dengan pendapatannya, malah pencerobohan tanah adat di bawah pentadbirannya, namun dinastinya tetap teguh.

Apakah strategi perubahan di Sarawak yang mengarah ke sistem dua parti hanya berorientasikan kepentingan Malaysia Barat? Tidak semestinya. Ini kerana sistem dua parti akan memanfaatkan Malaysia Timur, dengan imbangan kuasa, dan memperbaiki dasar yang tidak memanfaatkan rakyat.

Malaysia Timur menawarkan faktor imbangan

Seorang kolumnis MerdekaReview, Wong Chip Choo telah mengetengahkan satu pandangan yang mempunyai nilai rujukan. Menurut Wong, sama ada pemerintah mahupun pembangkang di Sarawak berkongsi pandangan sebegini - semakin lemahnya kerajaan persekutuan (BN), maka semakin tinggi kedudukan Malaysia Timur. Ramai antara bumiputera di Sabah dan Sarawak menganuti agama kristian, malah dengan populasi mereka yang agak besar ini, mereka boleh mengimbangi UMNO ketika memainkan isu agama Islam. Pengecualian yang diberikan kepada Malaysia Timur dalam isu Al-Kitab dan penggunaan kalimah Allah adalah contoh terbaik. Meskipun ia bukan penyelesaian yang wajar, iaitu dua kayu ukur di satu Malaysia, namun ia mungkin tidak akan berkesan seandainya hanya tentangan dari Malaysia Timur.

Dari dimensi ini, demokrasi dan keadilan di Malaysia Barat juga memerlukan populasi kaum dan agama dari Malaysia Timur untuk diseimbangkan dalam konflik. Apa yang menjadi sindiran, seandainya keseimbangan ini adalah satu kemestian dalam sesebuah negara, bukankah nisbah kaum dan agama kekal menjadi faktor penting dalam penentuan dasar?

Apakah Malaysia Timur dan Malaysia Barat boleh berunding dalam keadaan duduk sama rendah diri sama tinggi? Bagaimana untuk mengkaji 20 atau 18 perkara ketika Malaysia ditubuhkan?

Manifesto PR menawan Putrajaya yang dilafazkan Lim Kit Siang ketika berada di Miri nampaknya amat disenangi rakyat Malaysia Timur. Antaranya, penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji faktor kemunduran Sabah dan Sarawak, ketidakseiringan langkah pembangunan Timur dan Barat, pengagihan sumber alam semulajadi, peningkatan loyalti minyak dari 5% kepada 20%. Sememangnya, sebarang manifesto sedemikian sekadar penyelesaian berstrategi, dan hanya boleh dilaksanakan selepas rampasan kuasa. Ia hanya logamaya pada peringkat ini.

Kita tidak tahu sama ada perubahan akan berlaku dalam pilihan raya umum yang akan datang, dan tidak semestinya menaruh harapan agar PR akan berjaya merampas kuasa. Namun mereka yang mendahagakan demokrasi akan berharap agar sistem dua parti terbentuk. Saya orang Sarawak, dan saya tidak berharap Malaysia Timur hanya dilihat sebagai modal kuasa politik di Malaysia Barat.

*Wong Meng Chuo ialah penduduk Sarawak. Diterjemah dan disunting dari artikel yang disiarkan di kolum MerdekaReview, edisi Cina.

16 comments:
Write comments
  1. Betul, jangan jadikan Sabah dan Sarawak sebagai modal sahaja demi politik.

    ReplyDelete
  2. Sabah Sarawak akan bangkit selepas ini. Jangan tindas kami lagi.

    ReplyDelete
  3. biarlah rakyat yang membuat pilihan mereka sendiri. mereka tahu apa yang terbaik untuk mereka.

    ReplyDelete
  4. Keputusan PRN baru2 ini menunjukkan bahawa rakyat mahukan pembaharuan dalam sistem pemerintahan S'wak.

    ReplyDelete
  5. rakyat Sabah dan Sarawak perlu memilih secara bijak pada PRU-13 nanti.

    ReplyDelete
  6. rakyat Sabah dan sarawak pasti akan memilih parti yang terbaik.

    ReplyDelete
  7. jika rakyat bersatu hati melakukan perubahan, ia tetap akan berlaku.

    ReplyDelete
  8. Kerajaan membuat semua ini untuk memastikan rakyat Sarawak terjaga.

    ReplyDelete
  9. Sya yakin BN akan menang besar dalam pilihanraya akan datang...percayalah:)

    ReplyDelete
  10. Selepas pilihan raya 12, kedudukan Saerawak dan Sabah tiba-tiba dinaikan kerana berupaya menjadi 'King Maker'.
    Rakyat serta pemimpin harus menghargai perluang keemasan ini untuk menuntut hak yang semakin terhakis.

    ReplyDelete
  11. Malaysia Timur sepatutnya maju membangun kerana kurnia Tuhan yang melimpah kepada tanah ini. Hasil hutan dan minyak asli yang kaya tidak banyak dihayati rakyat setempat malah dibahagi kepada Sem.Malaysia.
    Tiba masanya kita menuntut bahagian yang lebih besar dari hasil tanah Malaysai Timur.

    ReplyDelete
  12. Pilih kerajaan tidak seperti pilih isteri. Pilih isteri yang sudi dan bagus. Boleh hidup susah sama susah, senang sama senang.
    Lain pula pilih kerajaan. Kalau bagus prestasinya, beri peluang untuk penggal kedua, jika tidak, satu penggal pun sudah lebih.

    ReplyDelete
  13. Rakyat Sabah dan Sarawak harus sedar bagamana untuk mengubah keadaan semasa dan bersedia untuk masa depan.
    Tidak banyak lima tahun dalam seumur hidup kita. Masa depan generasi baru dalam tangan kita.

    ReplyDelete
  14. Jika ada pimimpin yang berani dan iklas mempertahankan hak rakyat Sabah dan Sarawak, ia akan bertindak menuntut balik apa yang sepatut diberi kepada rayak kedua negeri ini.
    Dengan suara yang lantang dan jelas.
    Inilah pemimpin yang dinanti-natikan oleh rakyat Bumi Kenyalan dan Negeri Dibawah Bayu.

    ReplyDelete
  15. Sebenarnya pemimpin kedua negeri ini patut mempergunakan keadaan ini supaya jadi lebih berpengaruh.
    Bukan untuk agenda peribadi, demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

    ReplyDelete
  16. Biasalah orang politik mahu memperalat Sabah dan Sarawak untuk menang.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.