Sunday, June 26, 2011

Lagi Gambar Lucah Ditemui Dalam Surah Yasin

http://www.simplyislam.com/images/products/53195.jpgGEORGETOWN: Sebanyak 11 keping gambar lucah diselitkan dalam 11 naskhah Yasin ditemui dalam Masjid Negeri Pulau Pinang, di sini petang kelmarin, kejadian kedua di negeri ini selepas kes pertama dilaporkan di Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas, dua minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, seorang pengawal keselamatan masjid terkejut apabila menemui sekeping gambar lucah dalam naskhah Yasin yang diambil dari rak ruang solat utama untuk dibaca sebelum solat Asar.

Imam Besar Masjid Negeri Pulau Pinang, Yusuff Ahmad, berkata pengawal berkenaan kemudian memeriksa beberapa naskhah lain di rak berkenaan dan mendapati ada lagi naskhah yang terselit gambar lucah yang semuanya berjumlah 11 keping.

Setiap keping gambar berwarna yang dianggarkan bersaiz 10 sentimeter lebar itu, mempamerkan pelbagai aksi lucah diselitkan di halaman berlainan 11 naskhah surah terbabit. Kes berkenaan dilaporkan di Balai Polis Kampung Bharu, Air Itam, petang kelmarin.

Yusuff berkata, beliau yakin individu yang melakukan perbuatan berkenaan beragama Islam kerana bukan Islam akan diperiksa oleh pengawal keselamatan di kaunter pelancong masjid berkenaan manakala naskhah Yasin berkulit hijau itu bukan milik masjid yang mempunyai naskhah dicetak sendiri.

“Kami tidak tahu apa motif pihak terbabit tetapi bersyukur kerana dapat dikesan sebelum majlis bacaan Yasin selepas solat Maghrib," katanya sambil menyifatkan kejadian berkenaan sebagai perkara serius.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan meminta semua pihak supaya bertenang kerana siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama Islam.

Dua minggu lalu, hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah yang bersiap untuk majlis bacaan Yasin bagaimanapun terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah dipercayai dimuat turun dari laman web sebelum dicetak dengan ukuran sama besar, kemudian digunting dan dilekatkan dalam naskhah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, ketika dihubungi berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan individu sama terbabit dalam kejadian menyelit gambar lucah dalam surah Yassin dan kedua-dua kes dipercayai membabitkan lebih daripada dua pelaku. -BH

14 comments:
Write comments
  1. Perkara ini wajar disiasat. Siapa yang melakukannya?

    ReplyDelete
  2. kerja siapalah semua ni. memang melampau betul..

    ReplyDelete
  3. Tak takut dilaknat ke? Jangan menyesal.

    ReplyDelete
  4. Harap pelaku ini akan ditangkap polis.

    ReplyDelete
  5. sungguh biadab mereka yang melakukannya.

    ReplyDelete
  6. Keadaan ini amat menyakitkan hati. Kenapa ada pihak yang sanggup mencemarkan kesucian tempat beribada dengan perbuatan demikian?

    ReplyDelete
  7. Dalang perbuatan ini tidak takut dan tidak sedar akan dosa yang mereka lakukan.

    ReplyDelete
  8. Apakah muslihat perbuatan ini? Baik kita doa agar Tuhan mengampuni dosa dia yang melakukan perbuatan ini.

    ReplyDelete
  9. Tak perlulah marah, dia tidak faham dengan dosa yang dia lakukan. Tuhan tetap menyayanginya jika dia tampil bertaubat.

    ReplyDelete
  10. Harap polis dapat mencekup orang ini dan menamatkan kes ini dengan segera.

    ReplyDelete
  11. Kenapa pilih tempat suci untuk melakukan jenayah ini? Kenapa?

    ReplyDelete
  12. Mungkin ada pihak cuba untuk menaikkan kemarahan rakyat islam.

    ReplyDelete
  13. perbuatan yang sangat biadap. harap pesalah akan dapat ditangkap dan dikenakan tindakan yang tegas.

    ReplyDelete
  14. mungkin setiap masjid perlu ada CCTV..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.