Sunday, June 26, 2011

Jemaah Islamiah: Kenyataan Menteri Bercanggah

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin menegaskan bahawa kerajaannya mempunyai bukti wujudnya ideologi dan gerakan fahaman pelampau Jemaah Islamiah (JI) bertapak di Malaysia, sebagaimana yang dilaporkan media.

Tan Sri Muhyiddin berkata kerajaan Malaysia memandang serius ancaman tersebut kerana kumpulan itu dianggap berbahaya, bukan sekadar sebagai pelampau agama, malah dalam beberapa hal, dianggap sebagai kumpulan pengganas.

'Sebagaimana yang dimaklumkan pihak berkuasa, ada bukti-bukti dan ia telah dinyatakan dalam media.

'Kumpulan ini menyalahgunakan Islam dan melatih mereka menjadi pejuang jihad.

'Ini jihad yang menyimpang dan membahayakan keselamatan negara,' kata beliau kepada pemberita selepas meninjau ladang ternakan lembu di Pusat Fidlot Nasional, Gemas, dekat sini, kelmarin.

Tan Sri Muhyiddin, yang diminta mengulas gerakan jihad yang memesongkan pemikiran pelajar sekolah agama dan maahad untuk membenci kerajaan, menambah bahawa pihak berkuasa mengetahui perkara itu dan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh.

'Mungkin pihak sekolah dan maahad tidak sedar perkara ini berlaku atau sengaja tidak sedar bahawa tempat pendidikan dan pengajian mereka itu digunakan bagi tujuan tidak baik ini,' ujarnya.

Justeru, katanya, kerajaan Malaysia mahu jihad yang menyimpang itu dicegah daripada berlarutan sehingga boleh membahayakan negara itu.

'Kalau sudah jelas kes itu ada, tindakan bersesuaian sepatutnya boleh diambil pihak berkuasa keselamatan.

'Pihak berkuasa boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri terbabit atau pihak berkuasa yang menjaga perihal sekolah dan maahad ini,' tambah beliau.

Ditanya sama ada isu JI itu melibatkan maahad atau sekolah di beberapa negeri, Tan Sri Muhyiddin berkata, setakat yang diketahuinya, hanya tempat tertentu sahaja yang menjalankan kegiatan tersebut.

'Kami haruslah ke tempat itu, tengoklah gerakannya. Tempat lain, tiada dalam pengetahuan saya,' tegasnya.

Akhbar Utusan Malaysia baru- baru ini melaporkan bahawa ideologi kumpulan ekstremis seperti JI disebarkan di kalangan pelajar sekolah di negeri itu.

Malah, para pelajar seolah-olah dipupuk dengan sikap membenci kerajaan, selain mereka diperlukan berbaiah dan melakukan demonstrasi sebagai persediaan menentang kerajaan. - UM

*****************

Malaysia bukan sasaran militan

Malaysia bukan sasaran serangan kumpulan militan, walaupun anggota kumpulan itu mungkin berada di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan keselamatan negara ketika ini cukup terkawal, dan berkata Malaysia mempunyai hubungan yang cukup erat dengan agensi risikan antarabangsa dalam hal itu.

“Sebenarnya, Malaysia bukan negara sasaran mereka…mungkin mereka ada di negara kita, tetapi bukan sebagai sasaran… setakat inilah.

“Kita ambil tindakan proaktif dan pencegahan. Maklumat yang kita peroleh bukan hanya dalaman agensi kita, tetapi juga daripada agensi antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Pendang di Kompleks Umno Paya Mak Inson hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan penahanan seorang anggota kumpulan militan warga Indonesia, Agus Salim, 34, Isnin lepas, yang dipercayai bersubahat dengan Mas Selamat Kasturi, pemimpin rangkaian Jemaah Islamiah (JI) Singapura, yang ditahan di Johor pada April 2009.

Gerakan Islam

Hishammuddin berkata gerakan militan bukan hanya berkisar kepada agama Islam sahaja kerana ancaman keganasan dalam dunia tanpa sempadan kini amat serius, dan ada satu kes mungkin akan diumumkan, yang tidak ada kena mengena dengan Islam, namun ia juga berkaitan dengan militan.

Sehubungan itu, katanya, beliau sering menekankan bahawa masalah warga asing, pekerja asing, pendatang asing tanpa izin, penyeludupan dadah dan penyeludupan senjata, malah pekerja asing yang datang secara halal, mempunyai kaitan dengan jenayah merentasi sempadan.

“Sebab itu, biometrik diperkenalkan baru-baru ini, dan ada juga dua, tiga sistem lain untuk kita buat tapisan…supaya sekurang-kurangnya kita dapat kenal pasti di mana mereka berada, sama ada mereka berada di sini dalam keadaan sah atau buat benda-benda lain yang lebih serius,” katanya.

Mengenai cadangan mengadakan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang dijadualkan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, Hishamuddin berkata tindakan itu boleh menjejaskan keselamatan kerana pihak yang tidak bersetuju mungkin akan berdemonstrasi bagi membantah perhimpunan itu.

“Bersih boleh mengundang kepada kehadiran pihak-pihak yang tidak bersetuju dan boleh membawa kepada perkara yang lebih serius. Polis dan kementerian akan pantau..jangan huru hara negara kita. Kalau dua pihak itu bertembung boleh jejaskan keadaan.

Demonstrasi

“Akhirnya rakyat sendiri akan tolak kerana jejaskan aktiviti harian mereka. Tiap-tiap kali demonstrasi orang ramai akan marah…orang nak berniaga, nak pergi kerja, nak hantar anak ke sekolah,” katanya.

Mengulas penubuhan Kelab Taat Suami di kalangan isteri berpoligami daripada Global Ikhwan Sdn Bhd, yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam, Hishammuddin berkata polis dan kementeriannya sedang menyiasat perkara itu.

Beliau berkata laporan awal menunjukkan mereka tidak menjejaskan keselamatan negara.

“Kalau tindakan kumpulan itu melanggar undang-undang, atau lebih serius boleh menjejaskan keselamatan negara, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Jabatan Pendaftaran Negara perlu melihat ciri keselamatan dan menjamin kerahsiaan maklumat dalam MyKad berikutan jenayah siber yang semakin meningkat. -Bernama

14 comments:
Write comments
  1. Kita kenalah bijak menilai.

    ReplyDelete
  2. harap pelajar sekolah agama dan maahad ini tidak tersilap dengan konsep jihad.

    ReplyDelete
  3. Fahaman agama perlulah diajar dari kecil lagi agar tidak terpesong dari akidahnya. Golongan2 ekstrimis ini akan sentiasa mencari jalan untuk meracuni pemikiran orang awam.

    ReplyDelete
  4. jgn biarkan kumpulan seperti ni menggugat keselamatan negara.

    ReplyDelete
  5. pasti JI dapat ditangani dinegara kita ini. Mereka ini adalah pengganas yang sanggup buat apa saja.

    ReplyDelete
  6. Say no to Jemaah Islamiah.

    ReplyDelete
  7. Jika ada bukti yang kukuh seperti yang dikatakan, tindkan awal dan tegas harus diambil sebelum terlambat.

    ReplyDelete
  8. Banyak juga kumpulan-kumpulan agama yang sesat. Rakyat harus cekap membezakannya.

    ReplyDelete
  9. Persatuan Isteri Taat memang ridiculous. Tidak faham kenapa zaman ini masih ada orang yang berfikiran kuno.

    ReplyDelete
  10. Berbagai jenayah merentasi sempadan banyak menjejaskan ketenteraman komuniti kita, pihak yang berkenaan harus bertindak lebih tegas, cekap dengan anggota polis dan imigresen yang mencukupi.

    ReplyDelete
  11. Pasukan polis kita cukup berpengalaman menangani masalah jenayah.

    ReplyDelete
  12. Proaktif dan pencegahan memang cara terbaik menangani jenayah seperti kumpulan palampau ini

    ReplyDelete
  13. langkah yang bersesuaian perlulah sentiasa diambil bagi menjamain keselamatan..

    ReplyDelete
  14. kenapa tidak ada kenyataan media oleh pemimpin pembangkang berkenaan dengan isu ini? apakah mereka hanya berminat untuk merampas kerajaan dan mengabaikan ancaman2 yang wujud di negara ini?

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.