Tuesday, June 21, 2011

Skandal Scorpene libatkan ‘komisen’ RM500 juta

Kerajaan Rakyat: Peguam Perancis yang mengendalikan skandal Scorpene yang difailkan Suara Rakyat Malaysia(Suaram) di Mahkamah Perancis, akan tiba di Kuala Lumpur pada 20 hingga 24 Julai ini.Kedatangan mereka ke negara ini adalah untuk memberikan maklumat terkini tentang siasatan kes itu.Skandal Scorpene melibatkan pembayaran ‘komisen’ hampir RM500 juta kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai Perimekar Sdn Bhd.

Perimekar dimiliki Ombak Laut, syarikat kepunyaan kenalan rapat perdana menteri, Abdul Razak Baginda dengan pemegang saham terbesar syarikat itu adalah isteri Razak.

Menurut Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel, peguam dari Perancis, William Bourdon dijangka berada di Malaysia selama empat hari untuk memberi penerangan kepada Suaram dan juga orang ramai berhubung status terkini siasatan itu.

“Peguam Perancis yang menyiasat skandal Scorpene ini akan tiba lewat bulan Julai sekitar 20 hingga 24 Julai untuk memberi maklumat dan memaklumkan kita tentang perkembangan terbaru siasatan skandal Scorpene di Perancis.

“Beliau dijadual menyampaikan ucapan pada 21 Julai di Pulau Pinang dan 23 Julai di Kuala Lumpur. Di antara ahli politik yang sudah bersetuju untuk turut serta adalah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua,” kata Cynthia.

Akhbar Suara Keadilan baru-baru ini mendedahkan dua lagi bayaran komisen berjumlah RM32.5 juta, selain RM493 juta yang didedah lebih awal dalam proses pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua komisen itu terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Sebelum ini, sebuah laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar RM493 juta, sebaliknya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

-Tranungkite

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.