Sekretariat BERSIH 2.0 di Seksyen 4, Petaling Jaya hari ini diserbu dan digeledah oleh polis.
Sepuluh anggota tiba kira-kira 15 minit lalu, kata Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah yang juga mengetuai kumpulan NGO Empower.
Maria berkata pihaknya menerima pelbagai tekanan hebat daripada pihak berkuasa bagi membatalkan perhimpunan aman pada 9 Julai ini bagi menuntut pilihan raya adil dan bebas diadakan di negara ini.
Beliau yang ketika itu di bangunan Parlimen berkata dia dimaklumkan polis datang dengan lima kereta tanpa logo polis yang bercermin gelap dan mereka juga tidak memakai seragam. Sebuah trak besar polis tiba kemudiannya.
Sementara itu, menurut seorang petugas di pejabat BERSIH yang tidak mahu dikenali berkata, kumpulan polis itu tiba dengan membawa pemotong besi.
Tetapi mereka tidak menggunakannya apabila pekerja membenarkan mereka masuk.
Anggota polis didakwa tidak membawa sebarang waran dan kemudiannya terus menyelongkar fail dan menggeledah pejabat itu.
Tumpuan mereka adalah baju-T BERSIH yang kemudiannya dihitung jumlahnya sebelum dirampas oleh polis.
Adalah dipercayai serbuan dilancarkan dari IPD Selangor dan diketuai oleh seorang pegawai yang hanya dikenali sebagai ASP Rosli.
Polis juga mencatatkan butiran Mykad kakitangan Empower yang dijadikan sekretariat BERSIH 2.0.
Selain itu, butiran Mykad kira-kira 20 wartawan dan jurugambar yang berkumpul di luar pejabat itu juga dicatatkan selain diminta membekalkan nombor telefon masing-masing.
Pada sidang akhbarnya di lobi parlimen, Maria berkata beliau dimaklumkan bahawa polis kemudiannya merakamkan kenyataan daripada kakitangan BERSIH.
Beliau juga mencabar ketua polis negara bagi membuktikan bahawa mereka telah melakukan jenayah dan hentikan 'menakut-nakutkan' rakyat.
Menurut Maria sejak beberapa hari lalu hampir 100 orang telah ditahan kerana memakai kemeja T BERSIH dan mengedarkan risalah berhubung perhimpunan 9 Julai ini.
“Ini adalah hak asasi manusia, adalah hak kita untuk berhimpun secara aman dan kami telah berulang-kali tekankan bahawa ia adalah perhimpunan aman.Kita tidak akan timbulkan huru-hara seperti yang didakwa,” katanya.
Dalam serbuan tersebut, tujuh beg barang, lima kotak dan empat kain rentang dirampas.
Manakala tujuh petugas Empower (NGO yang bergabung dalam BERSIH) dibawa ke ibupejabat polis Petaling Jaya untuk soalsiasat. -MK
Sepatutnya polis tidak boleh masuk tanpa waran.
ReplyDeletetindakan polis ni tak wajar..
ReplyDeleteKalau mahu geledah mesti ada waran. Prosedur apa yang mereka gunakan ini?
ReplyDeleteharap penyelesaian terbaik akan dapat dicari berhubung isu bersih ini.
ReplyDeleteIni hanya akan membangkitkan semangat mereka untuk berhimpun kerana tindakan polis semakin tidak relevan dan tidak mengikut etika kerja.
ReplyDeleteini adalah usaha untuk menghalang perhimpunan BERSIH.
ReplyDeleteMacam-macam timbul masalah semenjak perhimpunan bersih ini hangat diperkatakan.
ReplyDeleteKalau perhimpunan Bersih diteruskan juga, entah apa lah yang akan berlaku nanti.
ReplyDeleteHarap ketegangan yang timbul tenatang isu ini dapat diredakan segera.
ReplyDeletetidak ada istilah aman kalau jumlahnya mencecah 300 ribu orang berarak dijalan raya. aktiviti orang awam terganggu, harta benda awam terpaksa berhadapan dengan risiko kerosakan, tekanan dari luar negara yang mungkin boleh menjejaskan ekonomi Malaysia, dan sebagainya.. kenapa penganjur Bersih tidak mahu berbincang dengan SPR jika benar2 mahu menyelesaikan masalah itu??
ReplyDelete