Thursday, August 18, 2011

BN punca semangat sambut merdeka pudar

Tindak tanduk Kerajaan BN yang amat mengecewakan rakyat menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara semakin pudar dari setahun ke setahun.

Pada dasarnya, semua rakyat Malaysia pasti ingin merayakan sambutan kemerdekaan negara, tetapi kekecewaan rakyat terhadap tindakan Kerajaan BN menyebabkan rakyat tidak bersemangat untuk menzahirkan semangat patriotisme masing-masing menerusi sambutan perayaan hari yang amat bermakna itu bagi setiap warganegara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keadaan itu agak berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh rakyat negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk Indonesia, apabila tibanya bulan sambutan kemerdekaan negara masing-masing.

Menurut beliau, antara bukti kekurangan semangat rakyat negara ini untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara boleh dilihat dari kekurangan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah, kenderaan-kenderaan dan premis-premis masing-masing.

Katanya, keadaan yang tidak memberangsangkan itu pula ternyata semakin ketara dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi pada tahun ini apabila bulan Ramadhan yang lebih menguasai suasana.

"Kerajaan BN sepatutnya faham dengan reaksi rakyat itu dan patut bertindak bijak mengatasi masalah. Reaksi seperti itu sudah ditunjukkan oleh rakyat sejak beberapa tahun lalu.

"Antara kekecewaan rakyat dengan tindak tanduk Kerajaan BN termasuklah tindakan kerajaan yang amat mengecewakan dalam melaksanakan pilihanraya sehingga pilihanraya di negara kita tidak pernah bersih dan adil.

"Apabila rakyat memprotes dengan mengadakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu, Kerajaan BN mengarahkan pula pihak polis supaya berperang dengan rakyat yang berhimpun secara aman dan tanpa senjata yang menyertai perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sepatutnya, menurut beliau, kerajaan mendengar suara-suara yang baik dari rakyat kerana dengan itu barulah boleh diperbaiki segala kelemahan yang ada dalam kerajaan, tetapi tindakan Kerajaan BN ternyata sebaliknya.

"Itulah yang mengecewakan rakyat dan menyebabkan semangat rakyat untuk merayakan sambutan kemerdekaan turut berkurangan atau luntur dari setahun ke setahun, bukannya kerana rakyat negara ini sudah hilang rasa cinta dan sayangkan tanah air," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, keadaan itu diyakini akan berterusan selagi Kerajaan BN tidak berusaha mengatasi kekecewaan rakyat berhubung segala tindak tanduknya yang tidak disenangi itu.

Namun selagi Umno memerintah negara ini, beliau yakin, seluruh rakyat tidak akan berpeluang untuk menikmati keadaan lebih baik dalam negara ini kerana para pemimpin Umno BN tidak mungkin akan berusaha memperbaiki segala kepincangannya disebabkan kepentingan mereka sendiri untuk terus kekal berkuasa.

"Sekiranya Pakatan Rakyat yang memerintah negara dengan perubahan yang dijanjikan, kita yakin keadaan itu akan berubah dan rakyat pasti akan kembali bersemangat untuk merayakan sambutan kemerdekaan negara.

"Jadi kepada seluruh rakyat, saya harap jangan menjadi lemah untuk terus melakukan perubahan yang baik terhadap negara kita, walaupun dikecewakan, walau siapa pun yang memerintah negara," ujar beliau. -HD

11 comments:
Write comments
  1. Teruskanlah perjuangan, jangan sekali berputus asa.

    ReplyDelete
  2. pasal rakyat kurang semangat patriotik pun nak salahkan BN. bagaimana pula dgn Anwar yang memburukkan nama negara? bulankah itu lebih tidak patriotik.

    ReplyDelete
  3. ini pun mahu salahkan BN? tidak perlulah pekara ini dipolitikkan. sepatutnya semua pihak berusaha menyemarakkan bulan kemerdekaan ini.

    ReplyDelete
  4. Setuju dengan faz. Macam PAS nak memerintah sesebuah negara jika isu seperti ini pun hendak dipolitikkan? Sikit2 nak menuding jari menyalah satu pihak saja.

    ReplyDelete
  5. Usaha untuk menyematkan semangat patriotisme sudah banyak dilakukan. Terpulang kepada kesedaran individu itu sendiri.

    ReplyDelete
  6. adakah kurang mengibarkan jalur gemilang adalah penentu tahap patriotik di kalangan rakyat? kalau kempen pilihanraya, bilangan yang hadir bukan bilangan sebenar yang akan menjadi pengundi sesuatu parti yang buat kempen.

    ReplyDelete
  7. isu bendera ni janganlah dipolitikkan. harap semangat patriotik rakyat akan sentiasa menyemarak terutama di bulan2 kemerdekaan ini.

    ReplyDelete
  8. siapa yang hasut rakyat mengadakan perhimpunan? siapa yang menjadikan rakyat sebagai perisai untuk berperang dengan anggota polis? apa usaha PAS dalam menaikkan semangat patriotik dikalangan rakyat di negara ini? jangan asyik menuding jari kepada pihak lain sedangkan diri sendiri juga tidak melakukan apa2 malah memburukkan lagi keadaan.

    ReplyDelete
  9. Rasanya itu tidak benarlah. Mungkin sebab utama adalah hari Kemerdekaan kita jatuh pada bulan Puasa. Maka kurang aktiviti yang dapat dilakukan kerana terbatas. Tapi kita tengok selepas Puasa sudah pasti banyak aktiviti akan dilaksanakan untuk hari kemerdekaan kita ini.

    ReplyDelete
  10. apa yang kamu (neji) tahu? luadan tulis ada betulnya. itu neji tak fikir ka..!!

    ReplyDelete
  11. UMNO/BN adalah penjajah/penindas alaf baru,mcm rasa bersalah utk celebrate kemerdekaan!

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.