Friday, August 19, 2011

Isu gereja: Umno cabar SU Agung PAS

Umno Selangor mencabar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali untuk mendedahkan bukti kononnya Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah geraja di Petaling jaya awal bulan ini.

Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata Mustafa (gambar) tidak perlu untuk menyembunyikan bukti itu sekiranya ia benar.

“Buat apa hanya bercakap, kenapa takut? Mengapa nak rahsiakan sangat? Saya cabar beliau (Mustafa) untuk buktikan, kita tidak gentar walau seinci pun.

“Kalau ada bukti dedahkan, tak perlu nak simpan-simpan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed sebelum ini memberikan tempoh tiga hari kepada Mustafa untuk memohon maaf.

Bagaimanapun Mustafa mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Mustafa turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.

Menurut Abdul Shukor, PAS yang diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengabaikan dasar perjuangan parti Islam itu semata-mata mahu berkuasa.

Beliau menambah kontroversi pemeriksaan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama membuktikan parti Islam itu sudah tidak memperjuangkan Islam.

“Apa yang hendak ditakutkan sangat sehingga nak tuduh-tuduh, Jais juga di bawah bidang kuasa kerajaan negeri... mengapa takut sangat nak bertanggungjawab, kalau Umno jadi kerajaan kami akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

“Ini adalah masalah akidah orang Islam yang hendak dimurtadkan oleh pelampau Kristian, dalam Islam juga ada pelampau dan saya lihat PAS takut kehilangan pengundi dan sokongan dari kalangan pengundi Kristian sehingga mereka tidak sensitif dengan apa yang berlaku,” katanya.

Tambah Abdul Shukor, PAS kini bermatlamatkan kuasa bukan untuk mempertahankan agama Islam.

“PAS sekarang dah tak macam dulu, dulu perjuangkan negara Islam sekarang negara berkebajikan, PAS hari ini sudah tidak sensitif isu-isu Islam, pemimpin yang ada sekarang bukan nak perjuangkan Islam.

“Mereka kini berpesta di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah selepas dapat kuasa, bagi mereka yang menjadi keutamaan atau nombor satu adalah kuasa untuk tawan negeri dan negara, Islam diletakkan nombor berapa saya tidak tahu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang ini juga mahu kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim bertanggungjawab di atas tindakan Jais dan mengambil tindakan terhadap kumpulan Kristian yang cuba memurtadkan umat Islam.

Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.

Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan.

Tindakan Jais melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama mendapat bantahan banyak pihak.

Bagaimanapun Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali mempertahankan tindakan Jais atas alasan ada bukti pihak terbabit mahu memurtadkan umat Islam. -TMI

8 comments:
Write comments
  1. dedahkanlah bukti tu, jgn main cakap sahaja.

    ReplyDelete
  2. harap isu ini diselesaikan dengan baik..

    ReplyDelete
  3. lagi2 isu mengenai agama. isu ini janganlah dijadikan bahan untuk dipolitikkan.

    ReplyDelete
  4. biasa la.. untuk dapat kuasa mesti jaga hati semua pihak walaupun dalam hati tu keras membantah. bila sudah dapat kuasa baru wajah sebenar tu nampak sejelas2nya.. dalam kes sensitif seperti ini, tidak heran ada pihak yang akan memanfaatkan sebaik2nya untuk mendapatkan sokongan.. sebab itulah isu ini semakin hari semakin teruk, bukannya semakin hari semakin menuju kepada penyelesaian.

    ReplyDelete
  5. Sebaiknya PAS tidak patut menuduh yang bukan-bukan berhubung kes ini. Sedangkan siapa yang memerintah Selangor itulah yang memainkan peranan sebenarnya.

    ReplyDelete
  6. Kalau PAS ada bukti, janganlah simpan untuk diri sendiri.

    ReplyDelete
  7. Harap isu gereja ini dapat diselesaikan, jangan sampai perpaduan rakyat terjejas.

    ReplyDelete
  8. Sampai sekarang belum ada cerita lanjutan mengenai isu ni.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.