Thursday, August 11, 2011

PTPTN : RM53.4 Juta Wang Pendahuluan Pembiayaan Ke IPT

http://farm5.static.flickr.com/4075/4943839198_c224b24473.jpgPerbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM53.4 juta sebagai wang pendahuluan pembiayaan kepada 35,664 pelajar yang akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bermula 3 September depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, semua pelajar yang layak akan menerima wang sebanyak RM1,500 seorang, dua minggu sebelum tarikh pendaftaran kemasukan ke IPT bermula.

"Ini adalah salah satu usaha yang mana selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan. Percayalah, kerajaan akan terus membantu golongan muda kerana mereka adalah harapan negara dan kita akan melakukan yang terbaik untuk menjamin masa depan golongan belia," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di Seri Perdana, di sini, pada Rabu.

Turut hadir, ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pemimpin-pemimpin pelajar yang mewakili 38 IPTA-IPTS dalam negara dan 30 wakil pelajar dari universiti asing turut serta pada majlis itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan itu diberikan kepada pelajar yang keluarga mereka berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan dan yang belum pernah mendapat pembiayaan PTPTN sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai program bersifat proaktif bagi memastikan masa depan golongan muda di negara ini terus terjamin dan bertambah baik.

Sebagai kerajaan prihatin yang mengutamakan kebajikan rakyat, Najib berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak pernah memikirkan untuk menaikkan yuran pengajian IPT.

"Walaupun semua harga barangan naik termasuk harga rumah, barang makanan seperti nasi lemak, teh tarik tetapi yuran pengajian tidak naik. Saya nak tegaskan bahawa yuran pengajian tidak pernah dikaji di negara ini," katanya.

Menurutnya, rusuhan yang berlaku di London dan di beberapa negara Timur Tengah seperti di Libya baru-baru ini, menunjukkan bahawa golongan muda tidak diberikan peluang yang sewajarnya dalam pendidikan dan pekerjaan.

Najib berkata, kewujudan 21 IPTA dan berpuluh-puluh IPTS sejak negara mencapai kemerdekaan, jelas menunjukkan bahawa pendemokrasian pendidikan di negara ini berjalan lancar. - BERNAMA

No comments:
Write comments

Note: Only a member of this blog may post a comment.