Sunday, August 21, 2011

PSC : Kenyataan Najib Buat PR Makin Sangsi

Pendekatan yang diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam keghairahannya membawa penambahbaikan sistem pilihan raya ,hari demi hari menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli Pakatan Rakyat akan sejauh mana keikhlasan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) itu.

Hal ini kerana, Najib dalam kenyataan terbarunya berkata, parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu menunggu PSC.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat antaranya yang nyata terkilan dengan kenyataan terbaru Najib itu.

“Sejauh mana kesungguhan Barisan Nasional untuk penambahbaikan pilihan raya jika kenyataan yang tidak berapa cerdik ini dikeluarkan?," Nik Aziz dipetik sebagai berkata.

Najib petang semalam memberitahu pilihan raya umum ke-13 boleh diadakan bila-bila masa dan tidak akan bergantung pada prosiding jawatankuasa pilihan khas parlimen yang dibentuk untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan pilihan raya.

Bagaimanapun kata perdana menteri, oleh kerana jawatankuasa itu akan terbubar dengan sendiri bersama pembubaran parlimen, apa sahaja pembaharuan yang boleh dilaksanakan akan diadakan terlebih dahulu.

“Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam.

Sementara mandat semasa parlimen akan berakhir April 2013, sesetengah pihak berpandangan bahawa jawatankuasa itu memerlukan tempoh satu tahun untuk menyiapkan laporannya.

Jawatankuasa itu akan dibentuk Oktober ini

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai oleh sembilan orang dengan pengerusinya merupakan seorang menteri.

Turut melahirkan pendirian yang sama ialah Timbalan Presiden DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw yang meminta Najib menjelaskan sebab Kabinetnya mengesyorkan pembentukan jawatankuasa pilihan khas pada sesi Parlimen Oktober ini jika beliau berhasrat mahu memanggil pilihan raya umum bila-bila masa.

“Rakyat Malaysia tertanya-tanya dengan apa yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri apabila beliau mengatakan kerajaan akan berusaha untuk melaksanakan syor-syor dikemukakan oleh jawatankuasa sebelum pilihan raya.

“Sebaik sahaja jawatankuasa itu diluluskan oleh Parlimen pada sesi Oktober ini, ia akan mengambil masa, kemungkinan enam bulan atau lebih sebelum ia boleh memberi syor-syor dan undang-undang pilihan raya dipinda dan dilaksanakan,” kata Dr Tan yang juga ahli parlimen Kepong.

Oleh itu soal beliau, jika Najib mengisytiharkan pilihan raya umum awal, bagaimana syor-syor jawatankuasa pilihan khas ini boleh dilaksanakan. -GB

10 comments:
Write comments
  1. jawatankuasa yang ingin dibentuk diharap akan dapat menambahbaik sistem pilihan raya yang ada..

    ReplyDelete
  2. apa yang diharap adalah semoga sistem pilihanraya akan semakin baik.

    ReplyDelete
  3. Berani kerana benar, takut kerana salah. Usah berdolak-dalih jika tiada yang ingin disembunyikan.

    ReplyDelete
  4. “Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa, tiada apa-apa kaitan dengan jawatankuasa pilihan khas parlimen. Ada perkara yang boleh dijalankan lebih awal,”

    Apa sebenarnya fungsi PSC jika begitu? Harap diperjelaskan lagi.

    ReplyDelete
  5. rasanya pilihan raya tidak akan dijalankan pada tahun ini. apapun, segala persediaan perlu segera dibuat seawalnya.

    ReplyDelete
  6. Harap penubuhan PSC ini adalah untuk memastikan penambah baikkan sistem pilihanraya negara kita ini. Jadi harap PSC ini dapat memainkan peranan yang besar untuk semua ini.

    ReplyDelete
  7. susah juga bila berhadapan dengan pembangkang di negara ini.. bila tiada usaha, dia bising.. bila ada usaha dia pertikaikan pula kesungguhan BN.. senang cerita, pembangkang sebenarnya takut masalah ini diselesaikan kerana kelak mereka tidak akan mempunyai isu untuk dimainkan.. atau tuduhan mereka hanya untuk mainan media kerana mereka sebenarnya tidak mempunyai sebarang bukti untuk dibawa ke jawatankuasa tersebut.

    ReplyDelete
  8. bagi saya penubuhan jawatankuasa ini jauh lebih baik dan profesional berbanding dengan mengajak rakyat berhimpun dijalanraya..

    ReplyDelete
  9. I only hope for clean and fair election.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.