Sunday, June 5, 2011

IC haram: Usaha menidakkan kuasa rakyat

SAYA segera bersetuju dengan kenyataan Tuan Mohamad Sabu (Harakah 27- 29 Mei 2011) bahawa sindrom pemberian kad pengenalan segera kepada rakyat asing untuk dimasukkan ke kawasan tenat BN adalah suatu tindakan menggadai negara. Malah ia merupakan suatu pengkhianatan tanah air yang tidak wajar diampunkan oleh rakyat yang sedar.

Sama ada rakyat Malaysia sedar atau tidak, membaca atau tidak, jahil atau pandai, mereka perlu diberikan penerangan berkenaan konsep pilihan raya yang menjamin pengekalan maruah tanah nusa bangsa. Memenangkan parti tertentu dengan menggunakan sokongan pihak luar seperti rakyat negara lain sebagai penentu politik dan siasah masa depan negara adalah agenda yang cukup bejat.

Gettell menegaskan negara adalah: komuniti yang bermastautin mendiami wilayah tertentu, menuntut dengan sah kemerdekaan dan mempunyai sebuah organisasi pemerintahan, dengan mencipta dan menjalankan hukum secara menyeluruh di dalam sempadan negaranya.

Negara tidak akan berdaulat jika keutuhannya diraih melalui undi dan sokongan rakyat luar.

Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:

1. warganegara Malaysia;
2. berumur tidak kurang dari 21 tahun pada kelayakan;
3. seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan
4. tidak hilang kelayakan. Akan tetapi jauh daripada itu, rakyat yang dibenarkan untuk memilih perlu diterapkan agar memahami peri penting undinya mencorak kemakmuran negara, kemerdekaan, keharmonian dan kedaulatan daripada dicemari anasir luar.

Dalam aspek siasah Islam, si pengundi perlu memahami tujuan membuang undi adalah untuk mempastikan masa depan negara masih berada dalam lingkungan wilayah pentadbiran dan mengamalkan syariah serta syiar islam. Mereka perlu celik dan kenal mana calon yang adil, bermatlamat ke arah kebaikan serta mendukung keutuhan agama.

Pilihan raya adalah satu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili rakyat di parlimen. Ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan penggubal undang-undang, eksekutif, perundangan dan kerajaan tempatan. Di sisi syara’, pilihan raya merupakan suatu bentuk aqad wakalah (perwakilan).

Dan dalam peristiwa baiat ‘Aqabah II, Rasulullah s.a.w. meminta 12 orang sebagai wakil daripada 75 orang Madinah ketika itu yang dipilih oleh mereka sendiri. Riwayat ini juga menunjukkan bahawa Rasulullah melakukan proses perwakilan (wakalah). Dengan demikian, hukum asal wakalah dalam syariat Islam adalah harus (boleh).

Golongan Ahlul Sunnah dan jumhur ulama berpendapat bahawa ketua negara hendaklah dipilih secara pilihan raya. Pemilihan khalifah merupakan ikatan kontrak di antara khalifah dan umat.

Justeru, istilah yang dipakai dalam kontrak ini dinamakan “Bai’ah.” Jika zaman Rasulullah, bai’ah mudah diperolehi lantaran penduduk Madinah menyerah urusna pemilihan kepada ahli halli wal aqdi yang adil iaitu sahabat Nabi yang tersohor, zaman terkemudian menyaksikan pemilihan ketua negara Islam lebih kompleks dan akhirnya pilihan raya demokrasi ala Barat diterima pakai kerana ia mendekati kaedah pemilihan kepimpinan zaman Rasulullah. Kerencaman pemikiran rakyat, fertiliti yang semakin meningkat, umat Islam yang pelbagai bangsa dan budaya mengkehendaki sistem pilihan raya menggantikan undi bai’ah secara ahli halli wal aqdi yang terhad kepada beberapa orang sahaja zaman Rasulullah.

Berdasarkan hal ini, kedaulatan Khalifah adalah didapati daripada rakyat, rakyat merupakan sumber kekuasaan yang sebenar dan ikatan di antara rakyat dengan ketua negara adalah ikatan sosial. Justeru, Dr Yusof Al-Qaradhawi menyatakan bahawa sistem pilihan raya pada pandangan Islam adalah suatu kesaksian (syahadah) terhadap keletakan seseorang calon yang bakal dan akan dipilih.

Namun, hal ini tidak bermakna jika politikus yang gilakan kuasa sanggup meremehkan urusan kewarganegaraan, memberi lesen kuasa undi kepada sesiapa sahaja yang sanggup membuta tuli mengundi mereka, yang akhirnya akan menghasilkan parti pemerintah yang menang dari aspek kertas undi tetapi kalah dalam perlaksanaan mandat negara kerana rakyat tidak lagi menyokong mereka. Dalam erti kata lain mereka memerintah dalam situasi “syok sendiri.” Adakah ia suatu kenikmatan hidup yang mereka kejari?

Dahulu Hasnar Ebrahim pernah ditahan ISA pada tahun 1980-an kerana mendedahkan bahawa beliau pernah bermesyuarat bersama Megat Junid, dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara membincangkan kaedah pemberian K/P kepada pendatang di sabah. Lantaran itu sebarang retorik BN bahawa mereka sedang menyelesaikan isu pendatang haram adalah dusta malah hipokrit kerana Projek K/P segera di Sabah jelas direstui oleh Mahathir.

Selepas kes K/P palsu dilaporkan sekitar 1990-an, 17 kakitangan JPN termasuk Jabar Khan ditahan ISA juga sebagai satu cara kambing hitam tindakan Mahathir.

Gempar juga apabila seorang buruh Indonesia yang menunggu kad pengenalan selama 30 tahun mendedahkan bahawa beliau diminta menyokong BN jika inginkan kad pengenalan biru.

Malah beliau diminta mengundi bukan di alamat tetapnya di Lembah kelang sebaliknya di Johor untuk membantu kawasan BN.

Kini, didedah pula hal sepucuk surat yang dihantar oleh Umno Bahagian Hulu Selangor kepada Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein bertarikh 23 Mac 2011 menyatakan jika ingin mengekalkan kerusi parlimen tersebut, Umno bahagian meminta “jasa baik” menteri supaya membawa masuk “bakal pengundi” terutamanya pemastautin tetap (PR - Permanent Resident) sebanyak 2,000 orang.

Jika Machiavelli masih hidup, beliau juga akan mengutuk tindakan kerajaan sebegini kerana Machiavelli cukup benci kepada pemerintah yang berjaya atas bantuan tentera upahan, tentera rakyat asing serta bergantung kepada para menteri yang hanya pandai mengampu.

Rakyat perlu disedarkan bahawa mereka kini tiada lagi nilai di mata BN kerana rakyat asing akan menggantikan rakyat Malaysia sebagai penyokong dan pengundi BN.

Beri K/P kepada warga asing jelas suatu tindakan menghina rakyat sendiri, menidakkan kuasa undi rakyat sendiri.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Gopeng 2011

25 comments:
Write comments
  1. Betul, harap perbuatan mengkhianat negara sendiri ini akan diberhentikan.

    ReplyDelete
  2. Pilihan Raya dan undian adalah hak rakyat tulen negara.

    ReplyDelete
  3. Jangan mengkhianat negara demi kepentingan diri.

    ReplyDelete
  4. Jika benar hal ini berlaku, ini adalah tidak adil dan mengancam keselamatan negara.

    ReplyDelete
  5. jgn biarkan pemberian IC diberikan dgn sewenang-wenangnya.

    ReplyDelete
  6. pilihan raya sepatutnya dijalankan secara bersih dan adil. parti pembangkang mahupun BN tidak boleh menggunakan taktik kotor yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

    ReplyDelete
  7. Isu ni tidak akan pernah abis. sebab sudah berakar umbi dari dlu lagi.

    ReplyDelete
  8. isu IC haram ini seringkali kita dengar, tapi setiap pekara memerlukan bukti. apa pun, semua pihak perlu sentiasa memastikan pilihanraya diadakan secara adil dan bersih.

    ReplyDelete
  9. IC haram telah pun berlaku di sabah..namun tetap ditidakkan oleh persekutuan..

    ReplyDelete
  10. mereka yang bersekongkol adalah pengkhianat negara dan harus dijatuhkan hukuman mati..

    ReplyDelete
  11. kemasukan rakyat asing di negara kita juga harus dikawal dan dikurangkan jumlah yang sedia ada..

    ReplyDelete
  12. dalam politik, kedaulatan negara adalah perkara kedua..yang penting parti boleh menang dan tidak berlaku peralihan kuasa..di malaysia itulah yang berlaku..

    ReplyDelete
  13. Artikal atas amat bermakna dan patut dijadikan rujukan bagi pihak yang gilakan kuasa hingga sanggup mengadaikan maruah dan menghampakan amanah yang diberikan.

    ReplyDelete
  14. Ini satu perbuatan yang boleh disifatkan sebagai mengkhianati negara.

    ReplyDelete
  15. Rakyat kenalah bijak menolak segala perbuatan yang mampu merosakan kestabilan negara.

    ReplyDelete
  16. Penulis telah menghujah panjang dan menggunakan bahan sejarah sebagai rujukan. Hujahan ini berfakta dan mengajar kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah berlaku pada masa silam.

    ReplyDelete
  17. Harap pagar pagar makan padi, nanti mereka turut jadi mangsa perbuatan khianat pendatang ini.

    ReplyDelete
  18. Benarkah pekara ini berlaku? Sejauh mana tahap kesetiaan golongan yang dikatakan akan diberi ic?

    ReplyDelete
  19. Masalah ini harus ditanggani segera. Isu ini makin lama makin menjadi-jadi.

    ReplyDelete
  20. Lakukan apa saja asalkan hal ini dapat ditanggani dan dalam masa yang sama semua pihak harus mainkan peranan masing-masing bagi mengelakkan hal ini berlanjutan.

    ReplyDelete
  21. Jangan bagi IC kepada mereka yang tidak layak.

    ReplyDelete
  22. Rakyat sendiri tahu apa yang akan mereka lakukan. Mereka pandai memikirkan yang baik untuk diri mereka. PAS tidak perlu risau dengan semua ini.

    ReplyDelete
  23. pengerusi SPR kata jika ada pihak tertentu yang mempunyai sebarang bukti berhubung perkara itu, beliau meminta supaya ia dikemuka kepada pihak SPR bagi membolehkan siasatan dilakukan. beliau juga meminta maklumat seperti nama mereka, nombor pasport dan butirannya sebagai pengundi... jangan main fitnah sahaja.. buktikan jika benar berlaku..

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.