Friday, August 5, 2011

Bazar Ramadan Dilanda Ribut Kencang

Felda Sunga Koyan - “Keadaan tiba-tiba menjadi hingar bingar dengan tangisan kanak-kanak dan terdapat juga beberapa peniaga melaungkan azan bagi memohon kepada Allah supaya ribut segera berhenti.”

Demikian menurut peniaga sayur-sayuran, Norhazimah Hadi, 22, ketika menceritakan detik awal kejadian ribut di bazar Ramadan yang turut menempatkan pekan sehari, di sini.

Menurutnya, kejadian ribut dan hujan lebat itu kali pertama dialaminya sepanjang tempoh lebih 10 tahun berniaga dan ia tidak akan dapat dilupakan sehingga akhir hayat.

“Hujan lebat dengan angin kencang melanda tapak perniagaan sekitar jam 8.15 malam kelmarin dan berlarutan sehingga sejam setengah.

“Ketika itu saya lihat kebanyakan peniaga memegang payung dan kanopi masing-masing supaya tidak diterbangkan angin. Saya bersama adik-beradik yang lain turut bertindak demikian dan membacakan ayat suci al-Quran beramai-ramai supaya angin kencang tidak datang dan menerbangkan kanopi kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Norhazimah berkata, akibat kejadian itu, berpuluh payung dan kanopi milik peniaga mengalami kerosakan teruk.

Peniaga tanggung rugi

Seorang peniaga ikan bakar, Zulhazrul Zaiha, 30, berkata, semasa ribut melanda, dia sudah pulang ke rumah bersama keluarga untuk berbuka puasa.

“Saya baru tiga hari memulakan perniagaan ikan bakar untuk menambah sumber pendapatan sempena kedatangan bulan Ramadan.

“Selepas berbuka puasa, angin kencang berserta hujan lebat melanda kawasan ini dan saya tidak sedap hati mengenangkan tapak perniagaan di bazar Ramadan,” katanya.

Zulhazrul berkata, sejurus selepas hujan reda, dia bergegas ke tapak perniagaan dan terkejut apabila melihat tiang kanopi miliknya patah dan diterbangkan angin.

“Saya mengalami kerugian sekitar RM300 kerana kanopi dan beberapa peralatan perniagaan rosak teruk dan tidak boleh diguna lagi.

“Hari ini (semalam) juga saya terpaksa menutup perniagaan untuk membersihkan kawasan sekitar dan bercadang untuk membeli kanopi serta beberapa barangan lain yang rosak,” katanya.

Tiada sebarang kecederaan

Seorang peniaga air minuman, Jafri Siteh, 44, berkata, walaupun kejadian ribut itu antara yang paling teruk melanda, namun mereka bersyukur kerana tiada kecederaan menimpa peniaga dan pembeli.

“Ketika kejadian, kebanyakan peniaga sudah pulang ke rumah masing-masing untuk berbuka puasa dan yang tinggal hanya peniaga pekan sehari.

“Sebab itu ramai peniaga tidak dapat menyelamatkan payung dan kanopi dari diterbangkan angin kencang,” katanya.

Jafri berkata, kanopi miliknya turut diterbangkan angin dan masuk ke dalam longkang, namun nasibnya baik kerana besi khemah berkenaan tidak patah serta boleh digunakan semula.

“Hampir setiap tahun menjelang Ramadan saya akan menjual air minuman dan kejadian ribut itu merupakan peristiwa paling teruk melanda kawasan ini hingga mengakibatkan ramai peniaga mengalami kerugian kerana banyak peralatan rosak.

“Saya menganggap peristiwa ini sebagai dugaan Allah dan kami semua bersyukur tiada sebarang kecederaan dialami peniaga mahupun pengunjung,” katanya. -SH

9 comments:
Write comments
  1. Mujur tiada kecederaan yang menimpa peniaga dan pembeli.

    ReplyDelete
  2. harap mereka dpt hadapi dugaan ini dgn tabah.

    ReplyDelete
  3. semoga mereka akan terus tabah menghadapi ujian ini. syukurlah tiada yang tercedera dalam kejadian tersebut.

    ReplyDelete
  4. Dugaan di bulan Ramadhan.

    ReplyDelete
  5. Nasib baik tiada sesiapa yang tercedera.

    ReplyDelete
  6. Tabahkan hati untuk menghadapi dugaan Allah.

    ReplyDelete
  7. kerosakan & kerugian boleh diganti lagi tapi nyawa tiada gantian. Syukur tiada kecederaan.

    ReplyDelete
  8. Anggap ini sebagai satu duga kepada para peniaga.

    ReplyDelete
  9. Mungkin ini adalah peringatan dari TUHAN yang maha kuasa, elok kita bermuhasabah diri dan renung apakah kesilapan dan kesalahan yang kita tidak sedar dilakukan dlm bulan suci Romathan. Mungkin kerana asyik berniaga sehingga lupa dan tinggal sholat magrib, ishak dan tarawih dan mungkin banyak lagi maksiat lain yg tidak disedari berlaku disekitar bazar.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.