Saturday, June 11, 2011

Mat Sabu Siap Sedia Hadapi Sasaran UMNO

Mohamad Sabu berkata beliau tidak gusar jika menjadi sasaran terbaru kecaman dan fitnah Umno, berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Presiden baru PAS minggu lalu.

"Saya tidak mahulah diuji kerana umur pun sudah semakin meningkat, tetapi sekirannya datang ujian saya akan sabar menghadapi," kata Mohamad Sabu kepadaTVselangor.

Mohamad Sabu kerap dipandang oleh Umno sebagai penceramah utama parti Islam itu yang berupaya mempengaruhi pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan sikap kesederhanaan beliau.

Ucapan-ucapan Mohamad Sabu mengenai rasuah dan penyelewengan kuasa dan kepemimpinan talam dua muka yang penuh sinis bukan sahaja mencuit hati hadirin diceramah tetapi turut menghantar mesej yang tajam kepada pemimpin-pemimpin Umno.

Pelantikan beliau sebagai orang kedua tertinggi dalam Jawatankuasa Pusat Parti awal bulan ini menjadikan Mohamad Sabu sebagai tonggak utama PAS, sekaligus menjadikan beliau sasaran utama Umno.

Mohamad Sabu berkata beliau sudah lali dengan budaya fitnah yang diamalkan pemimpin-pemimpin Umno demi kelangsungan jangkahayat politik mereka.

Ditanya kemungkinan beliau diserang oleh Umno secara lebih hebat, seperti mana yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu berkata Umno akan membuat kesilapan besar jika Anwar diheret ke penjara sekali lagi.

"Saya yakin mereka tidak mampu mengulangi perkara seperti itu, sebab pilihanraya yang bakal berlangsung ini. Mungkin mereka akan kehilangan kuasa kerana rakyat akan membuat perhitungan,"kata beliau.

Anwar dipenjarakan enam tahun setelah dipecat dari kerajaan dan Umno dan dibebaskan pada tahun 2005 setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau telah disabit di atas tuduhan liwat dengan keterangan-keterangan rapuh dan dipaksa.

Kini beliau sekali lagi menghadapi pertuduhan liwat dengan keterangan-keterangan mencurigakan daripada saksi dan pengadu sendiri.

Anwar juga diaibkan dengan pengedaran video lucah dengan dakwaan-dakwaan Umno kononnya Ketua Pembangkang itu adalah pelaku dalam rakaman berkenaan.

Mengenai pemilihan PAS yang lalu, Mohamad Sabu berkata dakwaan Utusan Malaysia dan juak-juak Umno kononnya wujud perbalahan dalaman di PAS bersabit perjuangan Negara Berkebajikan menyerlahkan budaya fitnah Umno.

Mohamad Sabu berkata dakwaan itu tidak logik dan hanya cubaan berterusan Umno untuk memburukkan PAS tanpa sebarang bukti atau hujah bernas.

"Macam mana mahu berbalah, bermesyuarat pun belum, selepas bermuktamar ada yang balik ke kampung masing-masing, ada yang mengambil cuti kerana letih, macam saya tiap-tiap hari dihubungi pihak wartawan, jadi bila masa kami berjumpa dan berbalah, bertemu pun belum," kata Mohamad Sabu kepada TvSelangor.

Beliau mengulas laporan-laporan Utusan Malaysia yang cuba memberi gambaran kononnya PAS diambang perpecahan berikutan perjuangan parti itu menegakkan Negara
Berkebajikan yang turut didokong oleh parti komponen Pakatan Rakyat.

Utusan dan pemimpin Umno mendakwa langkah itu menunjukkan PAS mengabaikan perjuangan menubuhkan Negara Islam dan parti itu tidak lagi didokong oleh pimpinan ulama.

"Media kawalan Umno ini kami cukup pelik, tiba-tiba mereka menunjukkan mereka begitu sayang kepada kepimpinan ulama, sedangkan mereka menyerang hebat dan mencerca para ulama PAS dan kenapa mereka tiba-tiba sayang, ini semua rakyat boleh baca iaitu mereka hanya mahu melaga-lagakan sahaja bukan mereka sayangkepada ulama," kata Mohamad Sabu.

Semalam Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan konsep Negara Berkebajikan adalah selari dengan Islam dan tidak timbul soal parti itu luntur dalam
perjuangan demi Islam.

Mohamad Sabu juga berkata Umno semakin terdesak dalam reaksinya terhadap pemilihan barisan kepimpinan Pusat PAS. Barisan depan parti Islam itu dilihat akan memberi kesan kepada peluang Umno untuk menawan semula kerusi-kerusi yang hilang kepada PAS pada pilihanraya umum akan datang.

Utusan semalam mencadangkan Umno mewujudkan sayap Ulama dan menjemput ulama-ulama yang tewas pada pemilihan PAS menyertai Umno.

"Kalau Umno tergerak mahu mencadangkan untuk adakan majlis ulama sendiri, kami akan melihatlah bagaimana mereka mahu laksanakan dan peranannya serta termasuk dasar parti mereka, jangan hanya bercakap di peringkat cadangan sahaja," kata Mohamad Sabu.

Tambah Mohamed Sabu lagi, kenyataan sedemikian diada-adakan Utusan solah-olah menggambarkan parti kerajaan itu semakin akur bahawa riwayat hidupnya bakal beralih kepada menjadi pembangkang selepas pilihanraya umum ke 13.

"Dan barang kali mereka tahu yang mereka bakal menjadi pembangkang maka mereka bersedia seperti apa yang ada dalam pembangkang hari ini." katanya. -tvsnews

15 comments:
Write comments
  1. UMNO tak menjadikan Mt Sabu sebagai sasaran untuk diserang, mat sabu ni yang takut dgn bayang2 sendiri.

    ReplyDelete
  2. tunggu dan lihat sajalah siapa yang menjadi sasaran siapa sebenarnya.

    ReplyDelete
  3. Good luck to Mat Sabu.

    ReplyDelete
  4. Mungkin Mat Sabu sengaja nak jadi sasaran untuk daptkan publisiti.

    ReplyDelete
  5. PRU makin hampir, ahli2 politik pun sudah mula mengatur strategi untuk mendapatkan perhatian.

    ReplyDelete
  6. adakah sebarkan fitnah mengenai isu video seks adalah strategi baru ahli2 politik?

    ReplyDelete
  7. biarlah PRU dapat dijalankan dengan bersih dan adil.

    ReplyDelete
  8. sebenarnya tindakan Anwar lah yang lebih banyak mencurigakan.. tidak mahu berkerjasama dan tidak mampu menjawab soalan. kenapa pemimpin2 PAS tidak mahu melihat sudut2 itu? kenyataan Mat sabu ini juga lebih kepada fitnah.. kalau adapun yang menyerang Mat Sabu, ada kemungkinan dilakukan oleh ahli2 sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan baru PAS..

    ReplyDelete
  9. Pembohongan dan penipuan tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak terutamanya pihak yang membohong untuk agenda peribadi.

    ReplyDelete
  10. Jangan fikir rakyat ini bodoh dengan mecipta pembahongan untuk menjatuhkan seseorang. Rakyat ada mata dan otak, masih terang belum nyanyuk lagi.

    ReplyDelete
  11. Sebagai pemimpin dibarisan paling depan, serangan peribadi tidak dapat dielakan. Budaya politik sekarang lebih bercondong kepada serangan peribadi bukan dengan polisi parti untuk menarik sokongan.

    ReplyDelete
  12. Pemimpin yang mampu menghadapi segala tamparan dan serangan dari musuh barulah ia boleh dikatakan sebagai pemimpin yang kuat.

    ReplyDelete
  13. Apa yang dihadapi Mat Sabu tidak dapat dibandingkan dengan yang dihadapi oleh Anwar. Cukup hebat dan kotor.

    ReplyDelete
  14. Mat Sabu seorang ahli politik yang cukup matang dengan pengalaman menceburi politik melebihi 25 tahun.

    ReplyDelete
  15. Jika tidakada bukti tidak baik menuduh. Jadi apa pun kita tunggu saja laporan dari pihak polis berkenaan video tersebut.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.